BEIJING: China menutup 44,000 laman web dan homepage serta menahan 868 orang tahun lalu dalam satu kempen menentang internet lucah yang akan diteruskan sehingga berakhirnya Sukan Olimpik Beijing.
China melancarkan operasi terhadap pornografi online dan laman web yang tidak sihat selepas Presiden China, Hu Jintao berkata penyebaran internet seumpama itu bakal memberi ancaman kepada kestabilan sosial.
Kumpulan hak asasi berkata, kempen terbabit digunakan untuk membanteras gejala tidak sihat di internet menjelang Olimpik.
Xinhua memetik pihak berkuasa sebagai berkata sebanyak 534 kes jenayah membabitkan laman lucah, manakala 1,911 yang lain didenda.
Kira-kira 440,000 mesej pornografi juga dipadamkan, kata agensi terbabit.
Pihak berkuasa mendaftarkan sejumlah 199,000 halaman web tahun lalu, lapor Xinhua tetapi menolak lebih 14,000 yang lain kerana gagal mendapatkan pendaftaran rasmi atau memohon untuk kelulusan pihak berkuasa.
- Reuters