
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65, meninggal dunia pagi ini akibat kanser.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Pantai pada 5.25 pagi ini di sisi kedua-dua isterinya Puan Sri Faizah Shuaib dan Norzilah Jalil dan anak-anaknya, kata anaknya Megat Firdouz.
Jenazah allahyarham kemudian dibawa ke kediamannya di No.2, Jalan SS7/3 Kelana Jaya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan adalah antara orang kenamaan yang datang awal sebaik sahaja jenazahnya tiba di rumah pada 9.10 pagi.
Turut sama bekas Menteri Penerangan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.
Megat Firdouz berkata bapanya dapat tidur lena malam tadi berbanding sebelum ini.
Katanya kanser prostat yang dihidapi bapanya bermula 16 bulan lepas dan semasa dikesan sudah berada pada peringkat keempat.
Megat Junid dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai pada 19 November 2007 bagi mengeluarkan darah beku dari dalam perut.
Allahyarham pernah menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura.
Megat Firdouz berkata doktor memberitahu bahawa bahawa badan bapanya menjadi lemah disebabkan kanser yang dihidapinya sudah menjangkiti buah pinggang, hati, paru-paru dan otak.
"Tidak ada apa-apa yang dapat kami lalukan sebab tekanan darahnya dan degupan jantungnya turun dan beliau sudah empat kali dimasukkan ke ICU," katanya.
Megat Firdouz berkata bahawa pada pukul 4 pagi tadi, bapanya memberikan respons dengan menggenggam tangan beliau.
Megat Junid dilahirkan di Kampung Bandar, Teluk Intan, Perak, pada 8 Disember 1942, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Air Mati, Teluk Intan pada tahun 1949 hingga 1953, sebelum melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, pada 1954.
Megat Junid, yang pernah menjadi guru dan pemegang ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Universiti Malaya, mula membabitkan diri dalam arena politik secara serius apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir pada 1976.
Megat Junid juga pernah menjadi Ketua Penerangan Umno.
- BERNAMA