Rabu, 23 Januari 2008

Telefon berkamera jadi tetikus?

PARA pengkaji di Britain sedang membangunkan sebuah perisian yang memuatkan telefon bimbit berkamera dengan fungsi seperti tetikus. Ia membolehkan pengguna menggunakan telefon bimbit berkamera untuk menggerakkan item pada skrin komputer.

Ketika perkembangan perisian itu masih di tahap terlalu awal, teknologi itu nanti membolehkan manusia melakukan skrol dengan telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang produk atau membeli barang seperti tiket kapal terbang menerusi komputer.

Berkomunikasi dengan komputer peribadi (PC) menerusi teknologi tanpa wayar Bluetooth, pengguna boleh sama ada menggerakkan telefon itu sendiri atau dengan menggunakan stylus pada skrin telefon untuk skrol skrin komputer. Patrick Olivier dari Universiti Newcastle berkata, beliau kini sedang mengusahakan teknologi tersebut bersama pengkaji Dan Jackson dari universiti yang sama dan Nick Pears dari Universiti York.

Selepas berkomunikasi dengan kamera telefon bimbit menerusi Bluetooth, PC akan membentuk koordinat pada monitornya dan dihantar kepada telefon bimbit berkamera. Apabila telefon itu mendaftarkan imejnya dan mengenal pasti paparan koordinat yang ditetapkan oleh PC menerusi teknologi pemprosesan imej, komputer akan tahu apa yang boleh dilihat di telefon bimbit, maka tindakan skrol PC dapat dilakukan.

Pengkaji-pengkaji itu sebelum ini telah membangunkan prisian bagi Symbian dan Windows Mobile OSes bagi Pembantu Digital Peribadi (PDA) dan telefon berkamera, beritahu mereka.

"Ketika teknologi ini menjanjikan harapan, ia masih dalam peringkat pembangunan dan beberapa isu sudah mula dikenal pasti,'' kata Pears.

"Perakaman imej dan kadar pemprosesan imej pada telefon bimbit adalah agak perlahan. Jadi, anda tidak boleh menggerakkan telefon bimbit sepantas yang anda mahu. Ini adalah salah satu perkara yang cuba kami perhalusi dan perbaiki," kata Pears.

Kosmo!