
ADNAN kini dan ketika kecil.
DARIPADA seorang remaja berkaca mata yang pendiam, seorang paparazzi, Adnan Ghalib kini menjadi terkenal selepas menjalinkan hubungan dengan penyanyi popular bertaraf jutawan, Britney Spears.
Sejak beberapa tahun lalu, Adnan mencari rezeki dengan mengekori setiap pergerakan penyanyi itu tetapi kini dia sendiri menjadi tumpuan kamera ke mana sahaja dia berada.
Adnan yang berumur 35 tahun mula dikaitkan dengan Spears selepas penyanyi itu mencetuskan kontroversi selepas enggan menyerahkan dua anaknya kepada bekas suaminya, Kevin Federline pada tahun lalu.
Selepas insiden itu, penyanyi itu membuat kenyataan bahawa Adnan adalah satu-satunya orang di dunia yang paling dipercayai.
Mereka kemudian kerap keluar bersama dan dalam perbicaraan kes mengenai hak melawat kedua-dua anaknya, Adnan didapati menemani Spears untuk pergi ke sebuah mahkamah di Los Angeles.
Spears juga dilaporkan akan memeluk agama Islam dan pasangan itu juga dikatakan merancang untuk berkahwin tidak lama lagi.
Beberapa rakan lama Adnan menceritakan bahawa ketika kecil dia adalah seorang budak lelaki yang baik dan pendiam serta dibesarkan secara tradisional oleh keluarga Islam.
Ketika berumur 17 tahun Adnan, menyimpan jambang dan misai dan pada masa itu dia tidak kelihatan sebagai seorang lelaki yang bakal menjalinkan hubungan dengan penyanyi terkenal.
Keluarga Adnan berasal dari Afghanistan sebelum berhijrah ke London, Britain pada tahun 1977 ketika dia berumur lima tahun.
Dia kemudiannya berpindah ke Birmingham, England dan keluarganya tinggal di sebuah rumah teres di satu kawasan perumahan yang majoritinya adalah penduduk beragama Islam.
Ketika masih remaja, Adnan mengembara ke selatan London di mana dia tinggal selama beberapa tahun untuk mencari pekerjaan.
Adnan kemudiannya pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu kakaknya yang telah berkahwin dan menetap di California.
Tidak lama selepas itu, dia mengambil keputusan menetap di California dan bekerja di sebuah bar sebelum bertukar kerjaya sebagai seorang paparazzi.
Adnan juga sudah berkahwin tetapi berpisah dengan isterinya, Azlynn Berry kira-kira setahun lalu.
Sejak berhijrah ke AS, Adnan jarang pulang ke Britain dan kali terakhir dia menjejakkan kaki ke kampung halamannya adalah pada tahun 2006 bagi menghadiri majlis perkahwinan seorang rakannya.
Beberapa rakannya memberitahu bahawa Adnan juga gemar bermain kriket, mendengar muzik Bangra serta suka menghabiskan masa bersama rakan-rakan.
Seorang rakannya yang membesar di daerah Small Heath di Birmingham berkata, Adnan adalah seorang lelaki yang sederhana dan mudah mesra.
“Kami adalah satu kumpulan yang besar yang tinggal di kawasan perumahan yang sama dan sering bertemu di tempat yang sama.
“Satu perkara yang saya masih ingat mengenai Adnan adalah dia mampu membuatkan kami semua tersenyum.
“Ketika saya mengenalinya, teman wanita adalah perkara terakhir yang kami kerap fikirkan dan Adnan juga adalah seorang yang aktif.
“Kami selalu berkumpul di taman permainan untuk bermain kriket dan Adnan adalah seorang yang suka bersukan terutamanya bermain kriket serta bola sepak,” katanya.
“Kami jarang berbual perkara yang berkaitan wanita tetapi Adnan mempunyai suara yang menawan dan saya rasa Spears tertarik dengan kelebihannya itu,” ujarnya.
Menurutnya, Adnan juga seorang kelakar dan kerap bergurau tetapi mereka mula terputus hubungan selepas masing-masing meningkat dewasa.
Rakan-rakan Adnan itu terputus hubungan dengannya selama beberapa tahun selepas dia berhijrah ke London untuk mencari pekerjaan.
Bagaimanapun, mereka bertemu semula dalam satu majlis perkahwinan pada tahun 2006 dan rakan-rakannya terkejut melihat perubahan Adnan.
“Dia memberitahu kami bahawa dia kini menetap di Los Angeles dan bekerja dengan merakamkan gambar selebriti terkenal di Hollywood.
“Pada mulanya, saya menyangka Adnan bergurau kerana saya tidak pernah melihat dia memegang kamera atau menunjukkan minat dalam bidang tersebut ketika masih remaja,” kata rakannya itu.
Menurut rakannya itu, dia mendapat tahu Adnan menjalinkan hubungan dengan Spears selepas dihubungi oleh sepupunya.
“Sepupu saya berkata, anda mungkin tidak percaya siapa yang sedang menjalinkan hubungan dengan penyanyi popular itu sekarang,” jelasnya.
“Saya berharap hubungan Adnan dan Spears akan berkekalan dan mereka hidup dengan bahagia.
“Spears kini menghadapi tempoh yang sukar selepas kehilangan hak penjagaan anaknya tetapi saya yakin Adnan dapat membantu dia,” katanya.
– Agensi