Ahad, 20 Januari 2008

Hizbullah simpan mayat askar Yahudi


BEIRUT: Pemimpin Hizbullah, Sheik Hassan Nasrallah, mendakwa kumpulannya mempunyai mayat askar Israel yang maut dalam perang di Lubnan 2006 yang disifatkan ditinggalkan rejim Zionis di perkampungan dan kawasan Hizbullah.

Media Barat menyifatkan pengakuan Nasrallah, bertujuan memberi tekanan kepada Israel supaya menerima usaha pertukaran tahanan.

Ini disebabkan rejim Zionis itu dipercayai menawan sekurang-kurangnya tujuh askar Lubnan manakala Hizbullah pula menawan dua askar Israel yang ditahan dan menjadi punca tercetusnya konflik berkenaan.

Ulasan Nasrallah itu turut menjadi tajuk utama media Israel semalam. Pegawai tentera Israel yang enggan dikenali, pula mengesahkan Hizbullah menyimpan mayat askarnya yang terbabit dalam perang Lubnan itu.

“Israel tidak akan berunding dengan Nasrallah mengenainya,” kata pegawai berkenaan.

Kali terakhir negara Yahudi itu menukar mayat dengan Hizbullah pada 1998 apabila ia mengembalikan jenazah anak lelaki Nasrallah.

- AP