Selasa, 15 Januari 2008

Kaji semula larangan bawa telefon bimbit ke sekolah

ADA dua lokasi yang perlu diberi tumpuan khusus untuk meningkatkan keselamatan berikutan beberapa kes kanak-kanak hilang sejak kebelakangan ini iaitu sekolah dan rumah, termasuk kawasan persekitarannya seperti taman permainan. Ketika Kementerian Pelajaran sudah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara mengambil langkah tambahan segera untuk meningkatkan keselamatan murid, taman perumahan pula perlu segera menubuhkan atau mengaktifkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Bagi yang belum menubuhkan badan seperti itu, lakukannya segera, termasuk di Taman Medan, tempat Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang sejak Rabu lalu, yang dikatakan tiada KRT lagi. Di sesetengah kawasan, contohnya KRT Pantai Dalam di ibu negara, ahlinya secara bergilir-gilir mengawal kawasan sekitar mulai jam 10 malam hingga 6 pagi yang bukan saja menjamin keselamatan penghuninya, malah harta benda seperti kecurian kenderaan. Malah, penghuni di sesuatu kawasan itu boleh memberi sumbangan sukarela kepada KRT seperti untuk membeli 'walkie-talkie' bagi petugas. Pokoknya, semua bersatu hati menjaga keselamatan kawasan masing-masing.

Kita mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran mengarahkan semua sekolah mempertingkatkan kawalan keselamatan. Pada 2002, kementerian itu melancarkan Program Sekolah Selamat membabitkan kerjasama warga sekolah termasuk guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan pengawal keselamatan, selain ibu bapa serta masyarakat. Ia antara lain bertujuan memastikan keselamatan pelajar ketika mengikuti sesi persekolahan dan merancang persediaan menghadapi sesuatu krisis tidak diingini termasuk kemalangan, bencana alam, keganasan dan seumpamanya. Arahan terbaru yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengkehendaki semua pengetua dan guru besar untuk memastikan murid yang datang awal dikumpulkan setempat dalam kawasan sekolah, manakala yang pulang lewat juga dikehendaki menunggu ibu bapa di situ. Pengetua, guru besar dan guru juga diarah memberi peringatan kepada semua murid mengenai pelbagai kaedah menjaga keselamatan diri pada setiap kali perhimpunan dan di dalam kelas sebelum sesi persekolahan berakhir. Semua murid digalak memakai pakaian seragam sekolah atau baju mempunyai lambang sekolah ketika mengikuti aktiviti di luar kelas kerana ia memudahkan mereka mendapatkan pertolongan jika berlaku kecemasan.

Tindakan dilakukan Kementerian Pelajaran itu menyerupai polisi keselamatan sekolah yang sudah lama wujud di beberapa negara luar. Di New Zealand misalnya, semua kawasan sekolah dikawal ketat dan pelajarnya tidak dibenar keluar pintu pagar, selagi ibu bapa tidak menjemput mereka. Jika bukan ibu bapa, sesiapa yang ingin mengambil pelajar di situ dikehendaki menunjukkan surat kebenaran ibu bapa atau penjaga dan nama mereka turut dicatat pengawal keselamatan, termasuk nombor plat kenderaan. Berapa banyak sekolah di negara kita membuat amalan seumpama itu? Berapa ramai pelajar sanggup duduk di dalam kawasan sekolah ketika menunggu kedatangan ibu bapa? Tengoklah sendiri di kawasan sekolah, kebanyakan pelajar lebih suka berkeliaran di luar kawasan sekolah atau berjalan ke arah pusat beli-belah. Bagi sekolah yang melarang pelajar membawa telefon bimbit, elok rasanya larangan itu dikaji semula bagi memudahkan pelajar menghubungi ibu bapa jika berlaku kejadian tidak diingini. Bagi mengelak masalah gangguan dalam kelas, sekolah boleh menyediakan sudut khas menyimpan telefon bimbit dan pelajar boleh mengambil balik selepas tamat waktu persekolahan.

Berita Harian