
BAGI rakyat negara jiran iaitu Singapura dan Brunei, kelebihan nilai mata wang mereka yang lebih tinggi berbanding ringgit mendorong mereka untuk terus memilih Malaysia sebagai pusat beli-belah termasuk barang makanan. Malah, harga barangan tertentu yang lebih murah di negara kita seperti minyak petrol, minyak masak dan tepung yang dijual pada harga subsidi, turut menarik minat mereka serta warga Thailand dan Indonesia. Ini kerana harga barang terbabit di tempat mereka lebih tinggi kerana tidak diberikan subsidi oleh kerajaan masing-masing. Kerana itulah berlaku kegiatan penyeludupan barang dari negara Malaysia ke negara sempadan. Contohnya, baru-baru ini 60 warga Singapura cuba membawa pulang 300 kilogram (kg) minyak masak berasaskan kelapa sawit tetapi berjaya dihalang Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor. Pada masa yang sama, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah mematahkan cubaan menyeludup 114 kilogram minyak masak ke Thailand. Berikutan itu, sejak awal bulan ini bekalan minyak masak bersubsidi ke semua premis perniagaan di kawasan bebas cukai di pintu masuk negara ini dihentikan bagi mengelak bahan itu dibeli rakyat asing atau diseludup ke negara jiran.
Subsidi yang diberikan kerajaan untuk meringankan beban tidak seharusnya dinikmati warga asing yang masuk ke negara ini semata-mata bagi membeli barang itu. Kerana itu, kita amat mengalu-alukan langkah terbaru kerajaan untuk melarang warga asing membeli barang makanan yang disenaraikan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk dibawa pulang ke negara masing-masing. Langkah itu dibuat bagi memastikan warga asing tidak mengambil kesempatan menikmati subsidi yang diberikan kerajaan kepada rakyat negara ini bagi barang terbabit. Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), juga mahu memastikan pelancong negara jiran khususnya Singapura dan Thailand masuk ke negara ini untuk melancong, bukannya melencong dan mengambil peluang mendapatkan subsidi bagi barang terbabit yang diberi untuk rakyat Malaysia. Akta Kawalan Bekalan 1961 menyenaraikan 21 barang yang dikawal harganya dan daripada jumlah itu, 10 adalah makanan termasuk gula, susu, garam, tepung gandum, minyak masak, ikan, beras, padi, roti dan ayam. Kita tahu kerajaan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menanggung subsidi harga barang kawalan seperti susu, tepung serta gula bagi kemudahan dan menjaga kesejahteraan rakyat.
Kerajaan membelanjakan sehingga RM60 bilion dalam tempoh 10 tahun lalu bagi subsidi pembelian gas memasak dan kenderaan serta RM635 juta setahun bagi subsidi minyak masak berasaskan sawit. Malah, kerajaan dijangka menanggung subsidi kos bahan api sehingga RM35 bilion tahun ini jika harga minyak mentah dunia terus berada pada paras kira-kira AS$100 setong dan kadar runcit di pasaran semasa kekal. Kerana itu, kita berharap pemantauan dan penguatkuasaan lebih kerap dilakukan bagi memastikan barangan subsidi ini tidak dibawa keluar untuk mereka yang tidak sepatutnya. Kita mahu warga asing masuk ke negara ini melancong, bukan mencari peluang mendapatkan subsidi yang disediakan untuk rakyat Malaysia. Ini bukan bermakna rakyat asing tidak boleh membeli barang di negara ini untuk dibawa pulang ke negara asal kerana larangan itu cuma membabitkan barang makanan yang dikawal. Rakyat asing masih boleh membeli pakaian dan sebagainya selain mengisi petrol kenderaan mengikut had ditetapkan. Kita sedar setiap pelancong yang datang memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan dan kita tidak mahu langkah melarang mereka membawa balik barang kawalan itu menjejaskan kedatangan mereka ke negara ini.
Berita Harian