Rabu, 16 Januari 2008

Menteri letak jawatan kerana cinta


ROM – Menteri Kehakiman Itali, Clemente Mastella meletakkan jawatannya semalam selepas satu arahan dikeluarkan bagi menahan isterinya yang juga seorang ahli politik.

Bagaimanapun, parti politik yang diwakili Mastella memberitahu bahawa ia tidak akan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Itali, Romano Prodi.

Kerajaan pimpinan Prodi yang baru berusia 19 bulan menghadapi kemungkinan dibubarkan sekiranya Parti Udeur yang diwakili Mastella menarik balik sokongan di parlimen.

“Saya meletakkan jawatan kerana memilih cinta terhadap keluarga daripada cinta terhadap kuasa,” kata Mastella di parlimen.

Beliau meletakkan jawatan selepas isterinya, Sandra Lonardo diletakkan dalam tahanan rumah selepas dia disiasat berhubung satu tuduhan rasuah.

Mastella mendakwa tindakan yang dikenakan terhadap isterinya itu merupakan cubaan terbaru untuk memburukkan nama baik beliau.


– Reuters