Isnin, 21 Januari 2008

Menukar daerah pelacuran


SEORANG model (kiri) memperagakan fesyen di daerah yang terkenal dengan aktiviti pelacuran di Amsterdam, Belanda.

KAWASAN pelacuran yang terkenal di Amsterdam, Belanda berubah menjadi ‘pentas peragaan’ apabila model-model memperagakan pelbagai fesyen.

Pentas peragaan itu diadakan kelmarin di mana para pereka pakaian menunjukkan hasil ciptaan baru mereka kepada orang ramai yang mengunjungi kawasan berkenaan.

Kawasan pertunjukan fesyen itu sebelum ini dikenali dengan gelaran ‘daerah lampu merah’ kerana ia menempatkan premis pelacuran yang terkenal di Amsterdam.

Bagaimanapun, suasana di lokasi itu bertukar dengan model-model memperagakan pakaian dengan diiringi oleh muzik dan ucapan.

Acara itu diadakan di sepanjang terusan di Amsterdam dan di sebuah kawasan utama pelacuran.
Perubahan itu dilakukan kerana pihak perbandaran mahu membersihkan kawasan berkenaan yang sebelum ini juga terkenal kerana aktiviti jenayah.

Bandar raya Amsterdam memang terkenal kerana mempunyai beberapa `daerah lampu merah’ yang dikenali di Belanda sebagai Wallen sejak lebih 100 tahun lalu.

Kegiatan melanggan pelacur itu berterusan walaupun aktiviti pelacuran di negara hanya disahkan oleh undang-undang Belanda pada 2000.

Bagaimanapun, terdapat undang-undang baru yang mengehendaki sesebuah kawasan yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah ditutup.

Pelaksanaan undang-undang baru itu menyebabkan pihak pengurusan bandar raya Amsterdam membeli 55 bangunan yang dijadikan pusat pelacuran.

Pihak pengurusan bandar raya itu membeli bangunan berkenaan daripada seorang bekas usahawan pelacuran.


MODEL ini menunjukkan fesyen terbaru ketika berdiri di pintu sebuah bangunan yang pernah menjadi pusat pelacuran di Amsterdam.

“Ketika satu lawatan oleh pihak berkuasa bandar raya Amsterdam ke kawasan itu pada 1 April lalu, saya mencadangkan mengapa tidak anda menempatkan pereka pakaian di sini,” kata Pengarah Agensi Fesyen HTNK, Mariette Hoitink.

Beberapa bulan kemudian, pihak berkuasa bandar raya itu menggunakan idea Hoitink dan memintanya mencari 20 pereka fesyen.

Hasilnya, lahirlah projek `daerah lampu merah fesyen Amsterdam.’

“Saya tidak mempunyai kekurangan calon untuk mendapatkan pereka fesyen.

“Saya mungkin mampu meletakkan pelajar-pelajar atau orang muda tetapi saya memilih untuk menempatkan bakat-bakat dalam bidang fesyen,” jelas Hoitink.

Menurutnya, pereka-pereka fesyen yang terkenal menghargai projek itu kerana ia membantu kerjaya mereka.

“Hasil ciptaan pereka-pereka itu adalah mahal dan mereka gembira untuk mencari satu ruang yang mampu dibayar untuk menunjukkan ciptaan mereka, tempat untuk bekerja dan tempat tinggal,” jelasnya.

Pihak berkuasa bandar raya itu menetapkan satu tarikh bagi membuktikan bahawa `daerah fesyen’ itu mampu membuahkan hasil.

Timbalan Datuk Bandar Amsterdam, Lodewijk Asscher berkata, para pereka itu mempunyai tempoh setahun untuk membawa perubahan di kawasan pelacuran.

Menurutnya, pereka-pereka itu perlu membuktikan bahawa satu generasi pelanggan baru mampu mencetuskan pulangan ekonomi di kawasan berkenaan.

Jika projek itu gagal, pusat-pusat pelacuran yang pernah beroperasi di kawasan tersebut mungkin kembali aktif.

Kawasan itu pernah menjadi pusat pelacuran ketika Amsterdam memasuki zaman keemasan pada tahun 1600-an.

Selepas Perang Dunia Kedua, ia menjadi lokasi pelancongan popular di mana beberapa kedai kopi menjual ganja secara terbuka.

Kebanyakan pelacur yang melakukan aktiviti di kawasan berkenaan ketika ini adalah pendatang haram.

Berikutan perubahan itu, beberapa pelacur itu kebingungan dan berang bila melihat
jurugambar merakam gambar di kawasan berkenaan yang pada lazimnya dianggap
sebagi zon larangan merakamkan gambar.

– Agensi