
Gunung berapi Tungurahua, Equador meletus pada minggu lalu sekali gus memaksa lebih daripada 700 penduduk lari meninggalkan kampung halaman. Gunung berapi Tungurahua meletuskan gumpalan abu tebal dan batu-batu besar turut menyembur keluar.
Pakar-pakar kajian geologi percaya bahawa gunung berapi itu bersedia untuk meletup pada bila-bila masa dan hanya menunggu beberapa hari untuk meletus. Tungurahua yang membawa maksud kerongkong api dalam bahasa tempatan, terletak kira-kira 130 kilometer dari selatan ibu kota Quito.
Gunung berapi ini menjadi aktif sejak 1999 dan kali terakhir ia direkodkan meletus ialah pada Ogos 2006. Sepanjang minggu lalu sehingga hari ini, Tungurahua mengeluarkan bunyi 'berderam-derum' sambil memuntahkan asap tebal yang menutupi langit.
Menurut ketua perkhidmatan kecemasan di wilayah Chimborazo, Marcelo Villagomez, ramai daripada penduduk di situ enggan barpindah dan ini membuatkan pasukannya bimbang terhadap keselamatan mereka.
"Anda boleh merasakan pergerakan di situ," katanya.
Pada 2006, gunung berapi ini telah melenyapkan sebuah desa yang terletak berdekatan dengan kawah Tungurahua, meragut empat nyawa dan memaksa ribuan yang lain melarikan diri.
Pakar gunung berapi tempatan menjangkakan lebih banyak 'aktiviti' akan berlaku di gunung berapi Tungurahua kerana ia terletak di tengah-tengah kitaran letusan yang bermula pada 1999 selepas sedekad tidak 'aktif'.
Kawah gunung berapi ini berkeluasan 1.6 kilometer di bahagian selatan sebuah resort pelancongan di bandar Banos.
Kosmo!