
BAGAIMANA untuk mengekalkan pokok tua yang bersejarah pada dekad-dekad mendatang? Cuba klonkannya! Itulah yang sedang diusahakan ke atas beberapa batang pokok bersejarah di New York, Amerika Syarikat. Ia termasuk sebatang pokok bic berusia 100 tahun.
Terpinggir dan sering tidak diendahkan oleh para pelancong yang lalu lalang, selama ini pokok itu hanyalah sebatang pokok yang hanya digemari oleh burung dan tupai.
Tetapi pokok bic yang tumbuh di Cherry Hill, Central Park, New York itu, baru-baru ini meraih perhatian ramai apabila dipilih sebagai pokok pertama daripada 25 batang pokok bersejarah untuk diklon sebagai sebahagian rancangan untuk menambahkan jutaan pokok baru di ruang-ruang awam bandar itu dalam dekad akan datang.
Pelajar-pelajar pertanian dari Sekolah Tinggi Queens memasukkan serbuk hidraulik pada dahan-dahan atas pokok berketinggian 60 kaki itu dan menggunting satu seksyen pada bahagian pokok yang baru tumbuh berukuran enam hingga 12 inci, dan dihantar ke nurseri pokok saintifik di timur Oregon.
Jika segalanya berjalan lancar, sampel pokok padanan genetik itu akan ditanam semula dalam projek Jutaan Pokok Bandar Raya New York yang diumumkan pada tahun lalu.
“Kami mahu membuang stereotaip tentang New York yang dilabel sebagai bandar pencakar langit dan destinasi pejalan kaki,” kata pesuruhjaya taman tersebut, Adrian Benape.
“New York akan dipenuhi dengan pohon-pohon bersejarah,” katanya.
Pokok-pokok sasaran itu, termasuklah pokok daripada sembilan spesies berlainan. Semua pokok yang dipilih ialah pokok-pokok yang sekurang-kurangnya berusia 100 tahun.
Antaranya ialah pokok paling tua di bandar tersebut, pokok elm St. Nicholas di Manhattan, yang dikatakan telah wujud sejak zaman Revolusi Amerika iaitu 230 tahun lalu.
Naib Presiden Bartlett yang turut terlibat dalam pengklonan itu, David McMaster memberitahu, terdapat dua peringkat proses pengklonan.
“Hasilnya nanti adalah pokok-pokok yang mempunyai genetik yang sama, tetapi tidak serupa dari segi bentuknya dengan pokok asal. Pokok-pokok yang diklon mestilah dipastikan sihat.” ujarnya.
Kosmo!