
PHNOM PENH: Polis Kemboja menghalang aktres Hollywood, Mia Farrow, dan aktivis lain dari meletakkan bunga di muzium 'Killing Fields' semalam, sebagai sebahagian kempen menamatkan kekejaman seperti di wilayah Darfur di Sudan.
Kira-kira 100 polis bersenjatakan cotar menghalang Farrow, yang mengetuai kumpulan gesaan Impian untuk Darfur, dan aktivis lain dari memasuki perkarangan Tuol Sleng, sekolah tinggi Phnom Penh yang menjadi pusat penyeksaan utama rejim Khmer Rouge yang diterajui Pol Pot.
“Darfur tiada kena mengena dengan Kemboja. Pergi buat bantahan di Darfur,” kata Ketua Polis Phnom Penh, Touch Naruth, kepada wartawan selepas ketegangan singkat itu berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Kumpulan berkenaan, yang merancang menyalakan obor simbolik Olimpik di perkarangan sekolah itu, mengadakan majlis serupa di Chad, Rwanda, Armenia, Jerman dan Bosnia sebagai sebahagian kempen mendesak China menekan Khartoum supaya menamatkan keganasan di Darfur.
Kumpulan itu, yang mengandungi mangsa terselamat dalam pembunuhan beramai-ramai Rwanda, mengadakan sidang akhbar lewat semalam.
Beijing menjadi hos Sukan Olimpik 2008 dan kumpulan hak asasi manusia mensasarkan China dengan harapan menggunakan tumpuan dunia ke atas negara itu untuk mempengaruhi dasar luar China.
China, pelabur besar dalam industri minyak Sudan, dituduh melanggar undang-undang antarabangsa dan menyemarakkan pertumpahan darah dengan menjual senjata kepada Sudan yang kemudian disalurkan ke Darfur.
- Reuters