
Aedes Aegypti
SINGAPURA: Dua lagi kes jangkitan demam chikungunya yang mirip demam denggi dan berpunca daripada nyamuk, disahkan di republik Singapura.
Ini menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti penyakit kepada lapan orang kesemuanya setakat ini.
Media tempatan memetik kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), semalam, menyatakan semua mangsa itu sudah dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) di Hospital Tan Tock Seng.
Empat mangsa sudah ditahan untuk tujuan pengasingan dan pengurusan. Kesemua mangsa tinggal di deretan rumah kedai di Clive Street.
Mengikut kenyataan itu lagi, semua mangsa terbabit juga tidak ke luar negara dalam tempoh terdekat sebelum ini yang menimbulkan andaian mangsa terbabit dipercayai dijangkiti chikungunya di Singapura.
Malah ini kali pertama demam chikungunya merebak di republik kecil berkenaan.
Kenyataan Kementerian itu menyatakan, penyakit bawaan nyamuk itu mula dikesan pada 2006 tetapi kesemua 13 kes yang dilaporkan ketika itu berpunca daripada jangkitan di luar negara.
Gejala penyakit itu sama seperti demam denggi iaitu demam, sakit sendi, menggigil dan rasa mual. Tiada sebarang penawar atau ubat bagi penyakit itu yang lazimnya hilang secara sendiri dan amat jarang membawa maut.
Namun, pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam amarannya kelmarin mendakwa ia boleh menyebabkan kematian jika dijangkiti warga tua atau mereka yang sememangnya mempunyai penyakit serius lain.
WHO turut mengingatkan chikungunya yang kini menular di Asia, boleh merebak ke rantau lain termasuk sehingga ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Chikungunya kini merebak di Indonesia dengan menyebabkan mangsa mengalami ruam, muntah, pening dan sakit sendi yang terlalu perit sehinggakan sukar duduk atau berdiri.
Di Taiwan, tiga kes dikesan di kalangan pelancong dari Indonesia - dua dikesan pada Disember lalu manakala satu kes awal tahun lalu.
Hampir 300 di utara Itali, turut jatuh sakit pada 2007 akibat jangkitan dibawa pelancong dari India - kali pertama kes penyakit tropika mencetuskan wabak di Eropah.
Chikungunya kali pertama dikesan di Tanzania pada awal 1950-an dan mencetuskan wabak berkala di Asia dan Afrika sejak 1960-an.
Pada 2005, Pulau Reunion di Lautan Hindi yang popular di kalangan pelancong Perancis, menjadi lumpuh akibat demam itu yang menyebabkan satu per tiga penduduknya jatuh sakit.
- Agensi