
MELAKA – Kebanyakan duit siling lama yang dijumpai di tebing Sungai Melaka sejak kelmarin dipercayai dari zaman Dinasti Ming atau Ching dan berusia kira-kira 500 tahun.
Ia dikatakan tidak bernilai tinggi kerana telah banyak ditemui, namun kepada pencari, mereka boleh mengharapkan keuntungan besar jika terjumpa duit tinggalan zaman kesultanan Melaka.
Pemangku Pengurus Besar Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas berkata, ia bernilai tinggi kerana jarang ditemui.
“Duit syiling lama itu mungkin terjatuh ke dalam Sungai Melaka ketika peperangan atau semasa urusan perdagangan,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar semalam melaporkan penemuan duit syiling lama di satu kawasan tebus guna tanah
berhampiran Kampung Morten di tebing Sungai Melaka.
Tinjauan KOSMO! di beberapa kedai antik di Jonker Street semalam mendapati duit siling lama dijual antara RM50 hingga RM500 sekeping.
Seorang peniaga berkata, selain era ia digunakan, nilai duit itu juga ditentukan daripada keadaannya semasa ditemui.
Sementara itu, kawasan penemuan duit syiling itu semakin ramai menjelang petang semalam.
Oleh ROSLI HASSAN
Kosmo!