Isnin, 10 Mac 2008

Britney hubungi FBI gara-gara bungkusan misteri


LOS ANGELES – Penyanyi bermasalah, Britney Spears terpaksa menghubungi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas menerima beberapa bungkusan yang mencurigakan dan beberapa pucuk surat, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gimme More itu mula menerima beberapa pucuk surat sejak beberapa bulan lalu yang mengandungi kata-kata berunsur ancaman dan merujuk kepada Israel serta negara Asia Barat.

Satu sumber yang rapat dengan penyanyi itu memberitahu laman web E! Online bahawa semua surat dan bungkusan yang diterima Spears dihantar oleh seseorang penghendap misteri. Sumber itu turut berkata, demi keselamatannya, kes tersebut dikendalikan oleh pihak polis dan FBI.

Ibu Pejabat Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan bahawa mereka menerima beberapa dakwaan yang timbul sejak beberapa bulan lepas.

Bagaimanapun, LAPD menyatakan bahawa tiada siasatan rasmi dijalankan setakat ini.

– Agensi