
Hakim setuju hujah plaintif berbohong halang maruah tercemar
ROME: Mahkamah Agung Itali dianggap memberi kemenangan kepada golongan yang menjalin hubungan luar nikah apabila memutuskan bahawa isteri dibenarkan berbohong kepada suami mereka bagi menyembunyikan sebarang skandal seks dengan lelaki lain. Hakim mahkamah berkata, seorang wanita berusia 48 tahun dari daerah Orbetello di Tuscanny yang hanya dikenali sebagai Carla, mempunyai hak untuk menipu polis mengenai hubungan sulit dengan seorang lelaki.
Kes itu mula mendapat perhatian apabila lelaki berkenaan, Giovanni, ditahan polis kerana membuat panggilan dan memaki hamun suami kekasihnya, Vincenzo.
Apabila polis bertanya kepada Carla sama ada dia meminjamkan telefon bimbitnya kepada Giovanni, wanita itu berkata, dia tidak ada hubungan sulit dengan lelaki lain dan tidak meminjamkan alat komunikasi itu. Akhbar The Telegraph melaporkan, dalam perbicaraan di mahkamah, peguam Carla memberi hujah bahawa wanita itu 'hanya berusaha untuk menyelamatkan maruahnya daripada tercemar.'
Ketika mempertahankan diri, Carla berkata, dia berada dalam proses untuk berpisah dengan suaminya dan sebarang pengakuan dia ada kekasih boleh digunakan untuk memberi halangan terhadap proses perpisahan itu.
"Suaminya sudah mengancam untuk mengemukakan keterangan beberapa lelaki lain yang menjalin hubungan sulit dengan Carla," kata peguam wanita itu.
Hakim Mahkamah Agung bersetuju dengan hujah peguam Carla apabila berkata, pengakuan menjalin hubungan sulit akan menjejaskan reputasinya pada pemikiran keluarga dan rakannya.
"Adalah jelas bahawa seseorang itu tidak akan menafikan kepada polis bahawa dia meminjamkan telefon bimbit kecuali ada alasan lain untuk tidak berbuat demikian," kata hakim.
Mahkamah Agung itu yang diduduki hakim kanan yang veteran sering kali mencetuskan perbahasan menerusi keputusan yang kontroversi.
Antaranya keputusan berkenaan yang dianggap kontroversi tetapi kemudian ditarik balik ialah seorang wanita tidak boleh diperkosa jika memakai seluar jeans ketat kerana ia hanya boleh ditanggalkan dengan kerelaan pemakainya.
- Agensi