
LONDON: Gereja England yang bimbang dengan pertambahan kadar perceraian di negara itu mengeluarkan buku panduan ke arah mendapatkan perkahwinan sempurna, Growing Together, bagi membantu pasangan suami isteri bersedia melangkah ke alam perkahwinan moden. Laporan akhbar The Telegraph menyebut, buku panduan setebal 120 muka surat berkenaan menasihatkan pasangan supaya menjadikan matlamat kehidupan masing-masing sebagai keutamaan, termasuk seks, anak-anak dan sukan, malah mencadangkan mereka menentukan siapa memasak dan siapa mencuci tandas.
Ia meminta golongan suami supaya memperbaiki kemampuan mereka untuk mendengar keluhan, manakala menggalakkan isteri supaya ikhlas ketika membelanjakan wang. Ia juga berkata, suami isteri perlu berbicara secara terbuka mengenai kehidupan cinta mereka.
“Seks adalah sesuatu yang suci dan menggembirakan dan sesuatu yang perlu diraikan. Seperti juga skil lain, ia perlu dipelajari dan tugas mereka ialah menjadi guru kepada satu sama lain.
“Seseorang daripada keluarga beradab mungkin mendapati tinggal dengan pasangan yang datang daripada keluarga bersikap terbuka mengenai seks, sebagai ancaman,” menurut buku panduan itu.
Pasangan juga digalakkan membincangkan perkara paling disukai dan paling tidak disukai serta dibekalkan dengan kajian kes untuk memberi amaran bahawa ramai orang memulakan kehidupan berkeluarga dengan pendidikan seks terhad.
Buku itu menggunakan kes benar untuk menunjukkan kenaifan sesetengan pasangan suami isteri:
“Kevin dan Mandy sudah 18 bulan berkahwin dan bimbang kerana tidak hamil. Rupa-rupanya mereka tidak pernah melakukan hubungan seks sepenuhnya.”
Isu lain yang pasangan digalakkan berbincang ialah pengurusan kewangan, seperti sama ada mereka memiliki akaun bank bersama atau berasingan dan sama ada mereka mahu dikebumikan atau dibakar apabila meninggal dunia.
Tinjauan yang dilakukan pada tahun 2006 bagi Gereja England mendapati 44 peratus daripada penduduk Britain percaya gereja perlu menawarkan beberapa bentuk persediaan kehidupan berumah tangga kepada pasangan yang memilih berkahwin di gereja.
Hampir satu dalam empat kanak-kanak di Britain kini tinggal ibu atau bapa, dengan bilangan keluarga seumpama itu bertambah dari empat juta kepada 12 juta sejak tahun 1972. Ketika bilangan perceraian memuncak pada tahun 1993 pada kadar 180,000, terdapat 167,000 perceraian dicatatkan pada tahun 2004.
Walaupun buku itu, yang pertama dikeluarkan gereja mengenai subjek garis panduan perkahwinan, disasarkan kepada paderi untuk membantu mereka menyediakan pasangan sebelum melakukan ikrar perkahwinan, ia juga tersedia kepada mereka yang mahu mendapatkan nasihat sendiri.
“Kami bukan saja berminat dalam upacara perkahwinan tetapi perkahwinan itu sendiri. Kami mahu menyediakan orang ramai untuk kehidupan dan terutama penting kami melakukan ini, berdasarkan bilangan penduduk yang bercerai,” kata Ketua Paderi Croydon, Nick Baines.
- Agensi