Rabu, 12 Mac 2008

Kereta Ferrari tiruan dikesan


Kilang di Thailand hasil tiga kenderaan mewah dengan enjin Subaru pada 1967

BRUSSELS: Kereta Ferrari tiruan buatan Thailand menjadi tarikan pameran yang diadakan di ibu kota Belgium dengan matlamat memberi amaran mengenai bahaya barang cetak rompak. Laporan Perbadanan Penyiaran Britain menyebut, Ferrari P4 cuma tiga dikeluarkan pada 1967, dihasilkan di sebuah kilang di Thailand dan diperkuatkan dengan enjin Subaru.

Penganjur pameran, The Authentics Foundation, menggunakan kereta itu untuk memberi amaran mengenai lambakan barang tiruan.

Ia berkata, ubat dan makanan tiruan memberikan bahaya besar kepada kesihatan manusia.

"Saya rasa semua ini bermula dengan DVD dan muzik dicetak rompak dan ia kemudian semakib berleluasa," kata aktivis antibarang tiruan, model Yasmin Le Bon.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose-Manuel Barroso turut memberikan sokongan kepada kempen itu.

"Ia sebenarnya bukan sekadar masalah ekonomi tetapi masalah kesihatan awam dan pengguna," kata Barroso.

Presiden Authentics Foundation, Timothy P Trainer, berkata: "Keadaan semakin sukar sekarang kerana barang palsu boleh didapati dalam pelbagai benda. Dua puluh tahun lalu ia lebih kepada barang mewah. Hari ini, ia juga ada banyak elektronik, ubat dan makanan tiruan". Beliau berkata, sebanyak 80 peratus daripada barang farmasi yang dijual di Nigeria adalah tiruan.

"Dua puluh tahun lalu, peniru mungkin hanya mensasarkan jenama mewah tetapi mereka juga terbabit dalam menghasilkan produk elektronik, ubat dan makanan sekarang," kata Trainer lagi.

Sementara itu, aktivis seperti Yasmin cuba meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk barang mewah palsu meminta sokongan Kesatuan Eropah (EU) untuk menangani masalah produk palsu.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose-Manuel Barroso, memberi sokongan kepada langkah melancarkan satu sidang kemuncak bagi membincangkan isu itu dengan kehadiran tokoh kerajaan dan industri.

"Ini bukan saja masalah ekonomi tetapi juga masalah kepada pengguna dan dari segi kesihatan," kata Barroso.

- Agensi