RAKYAT sudah membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu dengan Barisan Nasional (BN), buat kali pertama dalam sejarah penubuhannya, gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen selain kehilangan lima negeri. Walaupun menang dengan majoriti mudah dengan memperoleh 140 daripada 222 kerusi Parlimen, BN masih boleh membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. Cuma parti pemerintah tidak boleh meminda Perlembagaan. Kita bersyukur kerana setakat ini keputusan pilihan raya itu, walaupun mengejutkan, tidak menimbulkan kejadian yang tidak diingini. Walaupun apa pun keputusannya, kita perlu menerima hakikat bahawa kestabilan, keamanan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu diberi keutamaan sama ada oleh parti pembangkang atau parti pemerintah. Kepada yang menang, sambutlah kemenangan itu dengan sederhana supaya tidak menimbulkan kemarahan pihak yang kalah. Penyokong pihak yang kalah pula harus perlu menerima hakikat itu dan membuat penilaian untuk menyusun strategi baru bagi menawan semula hati rakyat. Kita berharap ketenangan dan keamanan sejak keputusan pilihan raya umum diketahui berterusan terutama di negeri yang bertukar kerajaan seperti Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang. Ini berlaku kerana parti yang menang memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan tidak menganjurkan perhimpunan besar-besaran atau perarakan meskipun ada ura-ura kemungkinan acara seperti itu diadakan. Hakikat bahawa rakyat bebas mengamalkan hak mereka terbukti dalam pilihan raya kali ini. Pastinya rakyat juga mahu keadaan aman dan stabil tanpa sebarang kacau bilau supaya mereka terus boleh menggunakan hak itu.
Kita percaya ramai bijak membuat penilaian apabila menerima pelbagai mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyebarkan khabar angin. Kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin berserta dengan SMS harus diberi perhatian semua pihak. Kita lega apabila Musa memaklumkan bahawa selepas proses pilihan raya, kedudukan keselamatan di seluruh negara adalah aman dan terkawal sungguhpun ketika ini beberapa negeri masih dalam proses untuk membentuk kerajaan negeri masing-masing. Kita berharap polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau keadaan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan data nombor telefon bimbit peribadi pengguna untuk menghantar SMS berbentuk perkauman, fitnah dan hasutan. Ketegangan boleh timbul apabila ramai percayakan mesej SMS yang mengajak orang ramai untuk berhimpun di sesuatu tempat, sama ada untuk menyatakan protes atau meraikan kemenangan. Jika ada sekali pun sambutan untuk meraikan kemenangan calon dan parti, seelok-eloknya lakukan di kawasan tertutup pada jumlah yang terhad.
Parti politik hendaklah menasihatkan penyokong masing-masing supaya jangan bertindak melampau sehingga boleh menyebabkan keadaan menjadi tegang. Rakyat yang memilih wakil rakyat mereka sudah pasti tidak mahu keadaan bercelaru selepas pilihan raya, kerana mereka ingin terus hidup dalam suasana aman damai walaupun dalam sebuah negeri yang diperintah pembangkang. Kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar di empat negeri berkenaan, mereka perlu ingat bahawa mereka adalah pemimpin pelbagai kaum. Malah mereka tidak mungkin menang tanpa sokongan kaum lain. Kerana itu, mereka seharusnya merapatkan perpaduan semua kaum dan sebarang dasar baru yang hendak diperkenalkan mencerminkan kepentingan masyarakat majmuk.
Berita Harian