Selasa, 11 Mac 2008

Tang Wei diharamkan di China


BINTANG utama filem, Lust, Caution, Tang Wei dilaporkan telah menerima 'hukuman' daripada kerajaan China berikutan pembabitannya dalam satu babak ranjang 'panas' menerusi filem arahan pemenang Oscar, Ang Lee itu.

Lust, Caution merupakan filem pertama lakonan utama aktres berusia 28 tahun itu.
Menerusi babak kontroversi selama tujuh minit dalam filem itu, Wei beraksi tanpa seurat benang bersama aktor terkenal Hong Kong, Tony Leung Chiu-wai.

Menurut laporan Hollywood Reporter cawangan Hong Kong, aktres jelita itu diharamkan daripada muncul dalam sebarang media di China.

Perbadanan kerajaan China yang menaungi media, State Administration of Radio Film and Television (SARFT) dilaporkan telah menghantar memo kepada kesemua stesen televisyen dan media cetak di negara itu pada Khamis lepas mengenai pengharaman iklan produk penjagaan kulit jenama Pond yang menampilkan Wei sebagai modelnya.

Arahan itu menyebut kebenaran penyiaran iklan tersebut menerusi semua media penyiaran dan media cetak di negara itu telah ditarik semula.

Bagaimanapun, tiada sebarang alasan diberikan mengenai larangan dalam memo tersebut.

Menerusi kontrak dengan Pond, Wei meraih bayaran sebanyak 6 juta yuan (RM3.2 juta).

Selain larangan penyiaran iklan Pond yang membabitkan Wei, menurut laporan akhbar Oriental Daily pula, SARFT juga telah mengeluarkan kenyataan yang menasihati semua penganjur acara hiburan di China tidak menjemput Wei dan karyawan filem Lust, Caution sebagai tetamu mereka; sementara, perbincangan mengenai Tang dan filem itu menerusi forum secara online juga telah dipadamkan.

Wei yang menang Anugerah Golden Horse Pelakon Baru Terbaik pada majlis anugerah perfileman Hong Kong iaitu Golden Horse Film Festival pada tahun lepas, meraih pencalonan bagi kategori Aktres Terbaik pada Asian Film Award 2008.

Jurucakap majlis anugerah tersebut yang tidak disebutkan namanya, yang mana Tang pada Jumaat lepas, juga telah diumumkan sebagai salah seorang penyampai anugerah berkata, pihak penganjur majlis anugerah tersebut belum dimaklumkan mengenai sebarang pengharaman terhadap Wei dan Lust, Caution.

Majlis anugerah tersebut dijadualkan berlangsung pada 17 Mac ini di Hong Kong.

Tidak jelas sama ada pengharaman yang dikeluarkan SARFT itu turut akan mempengaruhi kemunculan Wei pada majlis anugerah perfileman yang bakal berlangsung di negara bekas jajahan British itu.

Pengumuman mengenai penarikan semula iklan Pond yang membabitkan Wei menerusi semua media China itu dikatakan berbangkit hasil mesyuarat badan perundangan tertinggi China, National People's Congress, di Beijing baru-baru ini.

Mesyuarat tahunan itu menjadi pemangkin kepada sebarang pengenalan atau pembaharuan regulasi-regulasi dan polisi-polisi kerajaan China.

Sementara itu, kedua-dua pihak pengurusan Wei dan SARFT bagaimanapun belum membuat sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Pada 7 Mac lepas, SARFT telah mengeluarkan kenyataan kepada kesemua entiti penerbitan filem dan televisyen yang berada di bawah naungannya, menyebut SARFT akan membuat beberapa perubahan terhadap larangan terhadap 'kandungan pornografi dan lucah' dan kandungan yang 'menunjukkan aksi persetubuhan secara rambang, perkosaan, pelacuran, seks penyumbaleweng, onani dan organ seksual lelaki/wanita dan lain-lain anggota sulit'.

Namun, kenyataan tersebut yang turut tersiar dalam laman web SARFT tidak secara spesifik menyebut apa-apa mengenai Wei dan filem Lust, Caution.

Pada tahun lepas, SARFT dilaporkan mengusulkan supaya filem itu diharamkan tayangannya di China, biarpun babak ranjang kontroversi itu telah dipotong bagi membolehkan filem itu ditayangkan di pawagam-pawagam di China.

Sebenarnya, filem itu telahpun ditayangkan di Hong Kong bermula 20 September tahun lepas. Pengharaman terhadap filem itu, bersama para pelakon dan krew sebulan selepas filem itu ditayangkan di China bukan sesuatu yang biasa terjadi di negara itu.

Sebelum kontroversi Lust, Caution, pada awal Januari tahun ini, SARFT telah mengharamkan penerbit filem Lost in Beijing selama dua tahun dan mengarahkan lesen bagi penerbitan filem itu dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) ditarik semula.

Filem itu ditunda tarikh tayangannya di pawagam-pawagam di China kerana dilabelkan mengandungi babak seksual yang melampau.

Dalam kes Lust, Caution pula, ia meraih kontroversi di China disebabkan timbulnya impak provokatif dari segi kandungan seksual dan politikal.

Menurut laporan, terdapat sesetengah rakyat China yang melancong ke Hong Kong pada hari kebangsaan China tahun lepas yang jatuh pada 1 Oktober, semata-mata untuk menonton versi penuh filem itu di pawagam-pawagam Hong Kong.

Lust, Caution meraih kutipan mencecah HK$48.8 juta (RM24 juta) sepanjang tayangannya di Hong Kong menjadikannya sebagai filem berbahasa China yang meraih kutipan tertinggi di Hong Kong sepanjang 2007.

Selain Tang Wei dan Tony Leung Chiu-wai Lust, Caution turut dibintangi Joan Chen dan Lee-Hom Wang.

- YUSMAN AWANG
Kosmo!