Isnin, 21 April 2008

Harga kena imbangi hak pengguna, pengeluar


DUNIA kini menghadapi krisis makanan dan setiap negara sedang berusaha atau mencari mekanisme sesuai bagaimana untuk mengekang kemaraan putaran ganas yang berpotensi bukan saja memiskinkan negara, terutama negara yang sedia miskin, malah boleh mencetuskan rusuhan. Protes keganasan sudah berlaku di beberapa negara seperti Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina, Mexico, Senegal dan Burkina Faso. Untuk menangani krisis makanan itu, negara kita juga sudah memulakan langkah awal menerusi Dasar Jaminan Makanan Negara. Langkah pertama dilakukan Rabu lalu dengan menyeragamkan harga runcit produk gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara bagi memastikan pengguna di Sabah dan Sarawak menikmati faedah sama seperti rakyat di Semenanjung, sekali gus membabitkan subsidi tambahan kerajaan sebanyak RM16.32 juta setahun. Langkah seterusnya ialah mengkaji untuk menambah senarai barangan kawalan, selain terus menyeragamkan harganya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban pengguna. Penetapan kawalan harga sesuatu produk atau barangan adalah langkah berterusan diambil kerajaan, bukan sekadar pada musim perayaan. Ketika ini, kerajaan mengawal harga 11 barangan keperluan termasuk petrol, diesel, LPG, tepung gandum, gula, susu pekat manis, ayam dan minyak masak, tetapi harga runcit barangan berkenaan di Semenanjung berbeza dengan di Sabah dan Sarawak.

Persoalannya ialah sejauh mana berkesannya langkah mengawal harga barangan? Misalnya, apakah perlu untuk memansuhkan harga siling ayam dan mengecualikannya daripada senarai barang kawalan. Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) sudah lama mendesak kerajaan berbuat demikian kerana percaya sistem harga siling diguna pakai ketika ini menyebabkan ramai penternak ayam daging gulung tikar. Kadangkala kita hanya menumpukan perhatian kepada peniaga yang sebenarnya berada pada rantaian terakhir sistem pengeluaran, pengangkutan, pengedaran dan peruncitan. Merekalah yang selalu dipersalahkan. Sebagai contoh, apabila krisis gula berlaku tidak berapa lama dulu, tumpuan kita hanya pada peruncit dan pasar raya, tetapi kita terlupa sistem monopoli dalam pembekalan gula antara puncanya. Sebenarnya, kita perlu memahami harga barangan kawalan perlu berubah mengikut keadaan semasa bagi memastikan ia ditetapkan pada kadar tidak terlalu tinggi supaya tidak membebankan pengguna dan tidak terlalu rendah hingga merugikan pengeluar. Kejayaan kerajaan menetapkan satu kadar yang seimbang antara pengguna dan pengeluar itulah yang dapat membendung kadar inflasi negara. Dalam sistem kawalan harga ini, kita tidak boleh tetapkan harga terlalu tinggi atau terlalu rendah. Jika harga terlalu rendah, pengeluar mungkin tidak mampu mengeluarkan barangan, tetapi jika harga terlalu tinggi, pengguna tidak mampu membeli. Oleh itu, kerajaan perlu sentiasa berusaha mengimbanginya supaya ia bukan saja dapat memenuhi kehendak pengguna, tetapi juga pengeluar. Malah, kelemahan dalam peraturan harga kawalan makanan keperluan memberi peluang kepada pembekal dan pengilang untuk memperalatkannya. Apa pun, kerajaan boleh melakukan apa saja mekanisme asalkan tindakan yang diambil itu memanfaatkan rakyat. Kita tidak pasti, apakah kenaikan harga barang keperluan sebelum ini disebabkan kegagalan penguatkuasaan, tetapi sesetengah pihak mendakwa ia disebabkan dasar sebelum ini yang terlalu memberi tumpuan kepada keperluan pengeluar dan peniaga berbanding pengguna.

Berita Harian