Ahad, 20 April 2008

Abdullah Sijang perangi khurafat Mandi Safar


DATUK Haji Abdullah Sijang.

DI PORT DICKSON, Negeri Sembilan tersergam indah sebuah masjid yang dinamakan Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang, sempena nama seorang tokoh agama tersohor. Menyingkap sejarah ringkas Abdullah, beliau dilantik sebagai Naib Kadi pada 1949 selepas dua kali dipujuk Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, al-Sheikh Ahmad al-Haj. Awalnya beliau menolak kerana berasakan tidak layak untuk memikul tanggungjawab itu.

Pada 1957, beliau dilantik sebagai Kadi Port Dickson dan berkhidmat sehingga bersara pada 1970 dan kontraknya disambung sehingga 1979. Atas ketokohannya, beliau kemudian dilantik menganggotai Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan sehingga pada 2003.

Sepanjang menjadi kadi, pelbagai halangan, rintangan dilalui disebabkan keadaan masyarakat pada masa itu berada dalam keadaan daif, kesan langsung penjajahan Jepun serta warisan sosio budaya Melayu ortodoks dan kuno. Ketika itu ada dua bentuk budaya iaitu budaya Melayu dan budaya Linggi. Budaya Melayu diamalkan di Mukim Jimah, Port Dickson, Sirusa dan Pasir Panjang manakala budaya Linggi diamalkan di kampung tradisi sekitar Pekan Linggi, Kampung Pengkalan dan Kampung Tampin-Linggi.

Ulama ini tidak terbabit dalam Adat Pepatih tetapi berdepan dengan masalah ajaran sesat dan khurafat berpunca daripada sosio budaya masyarakat Melayu yang terpengaruh dengan bomoh, pawang serta animisme yang memberi ruang kepada pengaruh unsur spritual di dalam pemikiran mereka.

Antaranya ialah sihir primitif, tuhan primitif, semangat, hantu, pengaruh Hindu, semangat padi, semangat laut, korban, mukjizat Rasul, Tasawuf dan Sufi. Pengkaji sejarah mengenai Abdullah, Wan Ahmad Arshad dalam buku yang diterbitkan khas oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengatakan, antara amalan khurafat yang popular ialah ‘Mandi Safar’ yang diadakan setiap Rabu pada bulan Safar.

Masyarakat Melayu menganggapnya sebagai adat mandi pantai tahunan, sedangkan hakikatnya walaupun ia dianggap budaya, tetapi persiapan menyambutnya seolah-olah wajib mengikut syariat. Malah, jika tidak diadakan, bala akan menimpa. Mereka bermandi-manda, bersiar-siar, berpantun, menari, bahkan ada juga adat membuat azimat atau surat wafak daripada guru agama yang menyeleweng. Surat wafak itu direndam dalam laut atau perigi dan airnya diminum beramai-ramai kononnya untuk menolak bala.

“Abdullah berusaha menyedarkan masyarakat betapa terpesongnya fahaman Mandi Safar yang boleh menyebabkan berlaku pelbagai masalah sosial akibat pergaulan bebas. Beliau mengaturkan program penerangan, masyarakat mula memahami keadaan sebenar dan bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

“Akhirnya ditubuhkan Jawatankuasa Pencegah Maksiat di peringkat kariah dan hasil kerjasama pelbagai pihak, akhirnya pesta itu terhenti sepenuhnya pada lewat 70-an,” katanya.

Kepercayaan karut dan khurafat seperti menurun, memuja nombor ekor, bertapa, santau, sihir juga ditanganinya dan antara lokasi pemujaan popular ialah di Tanjung Tuan, bekas tapak Kota Lukut, Pengkalan Shell, Tanjung Agas dan Kuil Hindu di Tanjung Tuan Resort. Semua amalan ini termasuk sihir, menyembelih binatang untuk menjamu jin memerlukan kebijaksanaan, kesabaran ulama dan dalam hal ini, Abdullah menggunakan pendekatan ilmu, usrah, tarbiah untuk memberi penerangan betapa hinanya amalan sihir.

Abdullah memperkenalkan kaedah holistik berteraskan aqidah seperti muafakat, sembahyang hajat, kenduri kesyukuran.

“Timbul juga isu ajaran sesat Tarikat Muffaridiah mempengaruhi anggota tentera Port Dickson kononnya boleh menjadi kebal dan tidak ditembusi peluru. Ramai tentera dan polis terpengaruh terutama ketika dalam keadaan darurat, komunis,” katanya.

Abdullah bersama guru agama tentera dan Lebai Manan merangka kurikulum agama dan moral khas untuk tentera menerusi program keagamaan seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Tilawah dan Aqiqah. Isteri Abdullah, Datin Hajah Siti Tijah Sani, 72, yang ditemui Berita Minggu di kediamannya berkata, suaminya menghabiskan masa hidupnya dengan belajar dan mengajar ilmu agama tanpa jemu.

“Jika ada jemputan, dia akan pergi ke mana saja jika tiada sebarang masalah. Dalam hal mendidik anak-anak, dia tak garang tetapi tegas,” katanya yang kini tinggal bersama anak bongsunya.

Imam masjid, Shamsudin Jaafar, 64, berkata masjid itu dipenuhi aktiviti sepanjang minggu dan generasi muda termasuk dirinya tetap meneruskan amalan termasuk zikir yang diajar Abdullah.

“Saya cuma meneruskan ajaran Tok Guru. Dah ramai anak muridnya yang meninggal dunia dan berpindah ke tempat lain,” katanya yang kini menetap bersebelahan rumah Siti Tijah, di perkarangan Masjid Haji Abdullah Sijang.

BIODATA: Datuk Haji Abdullah Sijang

*Dilahirkan di Kampung Kanchung, Rantau pada 16 Februari 1915 dan meninggal dunia pada 2003 pada usia 89 tahun.

*Ayahnya, Sijang Kulup dan ibunya, Rahmah Mohd Noh.

*Mula mengaji al-Quran ketika berusia lima tahun dan berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun.

*Mempunyai empat adik beradik.

*Pendidikan formal daripada Darjah Satu hingga Darjah Lima di Sekolah Rantau.

*Mula merantau pada usia 14 tahun dan destinasi pertama ialah Pondok Darul Wataniah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

*Beliau berguru dengan Abdullah Haji Fahim (Sheikh Abdullah Fahim).

*Menyertai Sekolah Agama Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 1931 kerana mengikut gurunya.

*Kembali semula ke Kanchung, Rantau pada usia 17 tahun serta sering menjadi contoh kepada rakan sebaya.

*Pada usia 20 tahun, berangkat ke Pondok Pasir Mas, Kelantan dan menuntut di sana selama tiga tahun.

*Pada 1937, berangkat ke Makkah dan menuntut di Madrasah Solatiyah. Mendalami Tarikat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Shafie Mohd Salleh.

*Tinggal di Makkah selama 13 tahun dan kembali ke tanah air pada 1948.

*Berkahwin dengan Siti Tijah Sani ketika berusia 31 tahun manakala isterinya 13 tahun.

*Mempunyai tiga anak iaitu Latifah, Abdul Wahid, Mohd Fauzi

INFO: Hasil perjuangan

*Pada 19 Februari 1975, tentera mengeluarkan pekeliling melarang penyebaran ajaran, zikir, tarikat baru dan luar biasa tanpa kebenaran Jabatan Nazir Agama Tentera.

*Pada Februari 1980, Tarikat Mufarridah diharamkan selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-117 menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu