Ahad, 20 April 2008

Pengguna perlu ubah tabiat pemakanan


KELMARIN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan RM4 bilion untuk pelaksanaan Dasar Jaminan Makanan Negara, bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi pada bila-bila masa, terutama ketika menghadapi kesan krisis makanan dunia yang mula dirasai rakyat. Peruntukan itu termasuk membuka jelapang padi baru di Sarawak membabitkan kawasan yang luas. Menurut Perdana Menteri, walaupun negara kini mengeluarkan beras sekadar cukup untuk kegunaan sendiri iaitu antara 65 dan 70 peratus, kerajaan perlu membuat dasar bagi memastikan 100 peratus keperluan beras mencukupi. Pada hari sama di Accra, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menggesa tindakan bersepadu antarabangsa berhubung kenaikan harga makanan dan kini lebih 3,000 delegasi dari 193 negara dijangka menghadiri 12 sesi Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB yang diadakan di Ghana bagi menentang tirai kenaikan harga makanan serta kelembapan ekonomi. Kenaikan harga makanan asas di sesetengah negara termiskin dunia menyebabkan huru-hara di Haiti dan tunjuk perasaan di seluruh Afrika. Bayangkan, harga petroleum diramalkan terus meningkat, kos pengeluaran dan harga bahan makanan serta bahan keperluan harian akan turut meningkat. Kadar inflasi yang tinggi jika berlaku akan mengurangkan kuasa beli pengguna. Natijahnya, ekonomi yang tidak berkembang atau menguncup mungkin berlaku, sekali gus berlaku putaran ganas yang memiskinkan lagi negara yang sedia miskin.

Dalam senario sebegini, kita tidak boleh berpeluk tubuh. Apa yang diusahakan kerajaan, seperti diumumkan Abdullah kelmarin untuk pelaksanaan Dasar Jaminan Makanan Negara amat tepat sekali terutama dengan pembukaan jelapang padi baru di Sarawak yang tanahnya masih luas, mungkin jutaan hektar masih terbiar termasuk tanah bekas kegiatan pembalakan yang mungkin sesuai untuk jelapang padi. Di Melaka, semalam Abdullah meminta pula syarikat gergasi di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuat pelaburan dalam bidang pertanian bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan untuk rakyat. Ini sejajar usaha kerajaan memastikan negara mampu memenuhi keperluan makanan sendiri sehingga 100 peratus berbanding 70 peratus sekarang. Itu yang diusahakan oleh kerajaan, tetapi bagaimana pula tindakan kita sebagai rakyat atau pengguna. Sekarang ini, kita masih mengimport 30 peratus beras dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam, manakala bakinya dihasilkan di dalam negara. Ada dua persoalan di sini iaitu sebahagian rakyat kita terlalu menggemari beras import, terutama dari Thailand sehingga berlaku penyeludupan dan tindakan itu pula dikaitkan dengan kualiti beras tempatan, yang dikatakan kurang sedap berbanding beras wangi siam. Kita berharap benih berkualiti ditanam di kawasan jelapang padi baru di Sarawak nanti bagi menangani masalah ini. Malah di sesetengah tempat, kerajaan boleh melaksanakan sistem tanaman padi lima kali dua tahun, berbanding dua kali setahun pada masa ini bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan seperti disarankan Persatuan Pengilang Beras Cina-Melayu Kedah. Perdana Menteri Thailand, Samak Sundaravej sudah meminta rakyatnya menggunakan beras dengan kadar yang kurang daripada biasa dalam usaha menangani kenaikan harga makanan ruji itu. Sanggupkah kita berkorban untuk turut berbuat demikian. Hakikatnya, makan nasi berlebihan tidak baik untuk kesihatan, malah tidak perlu untuk memakannya tiga atau dua kali sehari kerana ada alternatif lain bagi mendapat sumber karbohidrat, seperti roti. Ramai rakyat kita yang mendapat penyakit kerana makan berlebihan. Sudah tiba masa kita mengubah tabiat pemakanan ketika berdepan krisis makanan global ini.

Berita Harian