Ahad, 20 April 2008

Hidup warga tua lebih bahagia


Kehidupan semakin baik apabila usia kian meningkat, lebih puas hati: Pakar

CHICAGO: Satu penyelidikan baru mendapati golongan paling gembira di Amerika Syarikat ialah warga tua dan mereka yang lebih aktif dari segi sosial.

"Berita baiknya ialah usia seiring kebahagiaan. Kehidupan semakin baik apabila usia semakin meningkat," kata Pakar Sosiologi Universiti Chicago, Yang Yang.

Beberapa tekanan tertentu pada usia tua memang tidak dapat dielakkan termasuk kesakitan dan kematian orang tersayang tetapi warga tua secara umum belajar untuk lebih berpuas hati dengan apa yang mereka ada berbanding orang muda. Ini kerana warga tua belajar untuk mengurangkan harapan dan berpuas hati terhadap pencapaian mereka, kata pakar penuaan Universiti Duka, Linda George.

"Warga tua mungkin sedar dan akan berkata tidak mengapa saya cuma seorang guru dan bukan pemenang Hadiah Nobel," katanya.

George, yang tidak terbabit dalam kajian baru itu, percaya ia satu penyelidikan penting kerana orang ramai cenderung untuk berfikir 'usia tua bukan tahap terbaik dalam kehidupan dan rasa takut mengharunginya.' Hasil kajian Yang berdasarkan temubual bersemuka dengan rakyat Amerika daripada tahun 1972 hingga 2004. Seramai 28,000 orang berusia antara 18 dan 88 tahun mengambil bahagian.

Memang terdapat naik turun dalam keseluruhan tahap kebahagiaan ketika kajian dijalankan, terutama membabitkan waktu ekonomi baik dan buruk tetapi pada setiap tahap, warga tua Amerika adalah yang paling gembira. Ketika penduduk kulit hitam muda dan miskin kurang gembira berbanding penduduk kulit putih dan orang kaya, perbezaan itu menyusut apabila usia semakin meningkat.

Secara umum, kegembiraan meningkat lima peratus dengan setiap 10 tahun pertambahan umur. Keseluruhan, kira-kira 33 peratus penduduk Amerika melaporkan berasa bahagia pada usia 88 berbanding cuma 24 peratus di kalangan penduduk berusia 18 hingga awal 20-an.

Kajian berasingan oleh Universiti Chicago mendapati kira-kira 75 peratus penduduk berusia 57 hingga 85 terbabit dalam satu atau lebih aktiviti sosial sekurang-kurangnya setiap minggu. Ia termasuk bergaul dengan jiran, menghadiri acara keagamaan, membuat kerja sukarela atau mengunjungi pertemuan berkumpulan.

Mereka yang dalam lingkungan usia 80-an dua kali lebih berkemungkinan berbanding penduduk berusia 50-an untuk melakukan sekurang-kurangnya satu daripada aktiviti itu. Kedua-dua kajian disiarkan dalam American Sociological Review.

- Agensi