Ahad, 13 April 2008

Kontraktor projek awam perlu patuhi piawaian


Gambar Hiasan

SEKALI lagi kita berdepan masalah pembinaan bangunan tidak sempurna apabila bumbung Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, di Marang, Terengganu yang baru berusia tiga tahun runtuh malam kelmarin. Namun kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Kejadian itu adalah sebahagian siri rentetan kes bangunan awam yang dilaporkan runtuh, rosak, bocor dan siling jatuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada November lalu, kita dikejutkan dengan kejadian bangunan bernilai RM4.5 juta milik kerajaan negeri Perak di Pulau Banding yang runtuh akibat pembinaan di kawasan tebing tanah berstruktur lemah. Sebelum itu, kita didedahkan pelbagai kejadian kerosakan bangunan awam membabitkan hospital dan mahkamah, malah bangunan kerajaan di Putrajaya turut tidak terlepas berhadapan masalah sama. Semua masalah itu ada kaitan dengan proses perancangan, pembinaan yang dilaksanakan kontraktor dan ketiadaan penyelenggaraan selepas bangunan siap. Seperti kejadian sebelum ini, ramai yang menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain berhubung kejadian itu. Lumrahnya, jawapan daripada pihak berkuasa turut diketahui, iaitu siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian selain tindakan tegas untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.



Persoalannya sampai bila kita terus berhadapan dengan masalah dan kejadian seperti itu? Kita cukup bernasib baik dan bersyukur kerana ketika kejadian bumbung sekolah di Terengganu itu berlaku pada jam 8.30 malam ketika ia tidak digunakan. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya bumbung itu runtuh pada jam 8.30 pagi ketika sesi perhimpunan pagi di dewan sekolah yang mampu memuatkan 500 pelajar dan guru itu? Akibatnya tentu lebih buruk dan menakutkan, terutama bila melihat kerangka bumbung yang tersadai di lantai dewan. Kita boleh menyalahkan banyak pihak berhubung kejadian itu, namun ia tidak akan menyelesaikan masalah. Rentetan peristiwa malang ini menunjukkan tahap sebahagian bangunan awam di negara ini dalam keadaan membimbangkan. Sehubungan itu, sesuatu perlu dilakukan segera untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.



Pasukan petugas khas seliaan bangunan yang ditubuhkan kerajaan kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu segera mengenal pasti status bangunan berselerak di seluruh negara. Sekiranya bangunan SMK Wakaf Tapai yang siap pembinaannya dan digunakan pada 2005 boleh runtuh bumbungnya, bagaimana keadaan Sekolah Long Luping, Lawas, Sarawak, misalnya yang dibina di lereng bukit curam sehinggakan ibu bapa takut untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah berkenaan. Ketika kita tidak mahu melihat kejadian seperti itu terus menjejaskan imej kerajaan, semua pihak khususnya kontraktor perlu segera memastikan keadaan fizikal bangunan awam sentiasa dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian pembinaan ditetapkan. Kita tidak mahu lagi mendengar penjelasan kontraktor besar yang mendapat projek menyalahkan subkontraktor yang menyiapkan projek berkenaan. Sudah sampai masanya, Kementerian Kerjaraya yang mempunyai menteri baru, mencari pendekatan baru bagi menangani masalah berkenaan dengan segera. Dalam hal ini, kerajaan mesti bertindak tegas bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan kontraktor yang dilantik perlu diarah menyiapkan projek mengikut jadual, selain mematuhi piawaian ditetapkan.



Berita Harian