
Diatur mengikut mencakupi pelbagai bidang, fahaman
WASHINGTON: Sebuah kamus mengenai persamaan dan perbezaan antara agama Islam dan Kristian kini dirangka oleh tiga penyelidik Amerika Syarikat dengan bantuan sarjana agama, imam, paderi dan pakar antara agama.
"Kami mahu golongan yang bakal menjadi paderi, penuntut sekolah Islam, orang ramai dalam bidang komunikasi, kerajaan dan perniagaan, menyedari kepentingan hubungan antara kedua-dua agama.
"Kamus ini akan bertindak sebagai fokus kepada disiplin hubungan Islam dan Kristian pada peringkat antarabangsa.
"Contohnya, kami berharap ia akan meningkatkan persefahaman antara Islam dan Kristian," kata Pengarah Eksekutif Pusat Wackerlin bagi Agama dan Tindakan Universiti Aurora, Martin Forward, kepada akhbar Vindy.
Kira-kira 60 cerdik pandai agama, imam, paderi dan pakar antara agama dari seluruh dunia memberi sumbangan masing-masing kepada Kamus Hubungan Islam-Kristian yang akan diterbitkan pada 2012 oleh Cambridge University Press.
Kamus berkenaan akan mempunyai sehingga 900 pendaftaran yang diatur mengikut abjad mengenai manusia, tempat, teologi, mazhab, ayat-ayat suci dan teks utama lain. Forward berkata, kamus itu akan menerangkan, sebagai contoh, bagaimana penganut Islam dan Kristian menilai Jesus atau Nabi Isa.
"Bagi penganut Kristian, Jesus meninggal dunia kerana disalib dan dihidupkan kembali. Bagi umat Islam pula, Jesus tiada kena mengena dengan penderitaan.
"Sebaliknya, menurut Islam, Nabi Isa adalah antara rasul dan Baginda adalah anak kepada Maryam, bukan anak Tuhan," katanya.
Di dalam al-Quran, Jesus adalah Nabi Isa dan Baginda juga dikenali sebagai Al-Masih dan Ibn Maryam. Profesor Islam, Scott Alexander, yang juga Pengarah Program Pengajian Katolik-Islam di Kesatuan Teologi Katolik di Chicago dan salah seorang daripada tiga editor kamus itu, berkata ia akan menyediakan perbendaharaan kata biasa bagi dialog antara agama.
"Dialog seumpama ini diadakan di seluruh dunia tetapi tidak begitu diberi perhatian," katanya.
- Agensi