Selasa, 22 April 2008

Penstrukturan semula BPR bukti ketelusan kerajaan

MASALAH rasuah berlaku di mana saja di dunia ini dan rasuah yang tidak terkawal boleh memusnahkan ekonomi sesebuah negara, termasuk menakutkan pelabur untuk membuat pelaburan. Malah, rasuah juga berupaya merosakkan sistem yang ada, termasuk sistem kehakiman, perundangan, penyampaian dan kehidupan seseorang. Apabila berlaku rasuah, walau sekecil mana sekalipun akan memusnahkan sistem yang diguna pakai apabila undang-undang sudah tidak dipatuhi. Oleh itu, ramai pihak mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menjadikan agensi penguat kuasa itu sebuah suruhanjaya sepenuhnya yang lebih bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Ia adalah langkah berani kedua dilakukan kerajaan selepas cadangannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah yang sistematik dan berwibawa. Difahamkan, BPR sudah menghantar kertas kerja kepada kerajaan dengan menjadikan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong sebagai panduan. Sejak ditubuhkan pada 1974, ICAC Hong Kong menggunakan tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan mendidik masyarakat dalam usaha memerangi rasuah. Hasil kerjasama kerajaan dan masyarakat, Hong Kong kini menjadi antara negara bersih daripada gejala rasuah. Bagaimanapun, ICAC Hong Kong itu hanya bertanggungjawab terus kepada Gabenor Hong Kong. Pada peringkat awal penubuhannya, ICAC dikritik sehingga ada pihak menganggapnya sebagai ‘I Can Accept Cash’ (Saya boleh terima tunai), tetapi kini ia antara badan yang paling dihormati di dunia.

Australia turut mempunyai ICAC tersendiri, tetapi badan yang meliputi New South Wales (NSW) itu tiada kuasa pendakwaan, cuma boleh mengesyorkan tindakan. Kelebihan ICAC NSW ialah ia memberi perlindungan kepada sesiapa saja yang menyampaikan maklumat berkaitan rasuah. Pemberi maklumat dilindungi daripada saman pihak yang dikaitkan dengan rasuah. Seeloknya, apabila BPR dijadikan badan bebas, ia hendaklah diletakkan terus di bawah penyeliaan Yang di-Pertuan Agong seperti ICAC Hong Kong yang bertanggungjawab secara terus kepada Gabenor. Ini bermakna badan itu diasingkan daripada pihak eksekutif iaitu pemerintah meskipun pelantikan seperti Ketua Pengarah atau ahli lembaga penasihat boleh dicadangkan Perdana Menteri sebelum diperkenan oleh istana. Ini bagi menjamin tiada persepsi negatif kononnya operasi badan itu nanti dipengaruhi kerajaan secara langsung. Selepas beroperasi selama 47 tahun, sudah tiba masanya BPR yang pada mulanya sebagai sebuah jabatan penuh, bukan saja perlu diberi imej baru, malah segala prosedur dan operasinya ditukar supaya lebih bebas dalam erti kata sebenar. Untuk tujuan itu, BPR perlu diberi lebih kuasa untuk menyiasat, menyaman dan mendakwa tanpa perlu menunggu arahan sesiapa, termasuk kerajaan. Malah, prosedur seperti menunggu laporan baru boleh memulakan siasatan juga perlu diubah dan dengan itu BPR harus diberi kuasa untuk memulakan sebarang siasatan jika ‘terhidu’ sesuatu yang disyaki wujud unsur rasuah melalui risikan. Dengan berbekalkan segala kuasa yang ada dan tanpa tekanan mana-mana pihak, sudah semestinya mendorong pegawai BPR menjalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih. Ini bukan bermakna BPR selama ini tidak bebas, tetapi yang penting ialah memberi lebih kebebasan kepada badan itu tanpa sebarang kekangan.

Berita Harian