Ahad, 27 April 2008

Apa perlunya muafakat sesama Melayu?

ADA tuduhan mengatakan bahawa Umno hanya bercakap mengenai soal perpaduan dan muafakat sesama Melayu apabila mereka berada dalam kedudukan yang lemah. Ini berlaku beberapa kali dalam sejarah pilihan raya negara. Perpaduan menjadi momok yang digunakan tanpa malu oleh Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Dengan menggambarkan keadaan Melayu akan dikotak-katik dan dipinggirkan, Umno mengharapkan sokongan orang Melayu kembali padanya.

Maka orang Melayu sendiri mulai bertanya, di manakah Umno sebelum ini? Apakah Umno mendengar suara dan rintihan mereka apabila mereka memerlukan? Apakah Umno sebenar-benarnya memperjuangkan kepentingan Melayu seperti yang dituntut oleh perlembagaannya? Apakah pemimpin Umno terlalu angkuh dan mabuk kuasa hingga hilang bara perjuangan di dalam sanubari mereka?

Ada juga tuduhan yang mengatakan pimpinan Umno terlalu sombong untuk mendengar suara orang Melayu. Umno menganggap parti itu akan terus mendapat dokongan Melayu sampai bila-bila. Umno begitu yakin dengan kejayaannya selama ini hingga parti itu lupa dinamika yang berlaku dalam masyarakat. Masyarakat Melayu berubah begitu juga masyarakat Malaysia. Umno sebaliknya terpenjara dalam kapsul masa. Parti yang tertubuh atas tuntutan memerdekakan orang Melayu dan negara pada 40-an dan 50-an cuba menyelesaikan masalah abad ke-21.

Demikianlah penilaian pedas yang dibuat dalam sekian banyak perjumpaan, seminar, dialog, diskusi, muzakarah dan entah apa lagi yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008. Debat mengenai 'masalah Umno' tidak saja berakhir di dewan dan bilik seminar dan perbincangan, malah melimpah ke luar hingga ke kedai kopi dan warung. Seperti biasa semua orang mempunyai alasan dan hujah mengapa keadaan itu berlaku.

Sepahit-pahit jadam, ia ubat mujarab. Demikianlah, dalam sebarang usaha memulihkan Umno, ubat pahit harus ditelan oleh pemimpinnya. Sekiranya Umno masih menganggap bahawa penolakan rakyat pada 2008 adalah fenomena semasa dan tidak mungkin berulang, maka sejarah akan menghukum Umno. Sekiranya Umno masih menyalahkan orang lain sebagai punca kekalahannya, Umno akan berdepan dengan krisis yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Tidak ada parti lawan yang kuat, cuma parti memerintah yang semakin lemah. Itulah adat pilihan raya. Apa yang jelas ialah Umno berdepan dengan kekalahan dan kekalahan itu bukan disebabkan oleh kekuatan parti lawan tetapi kelemahan dalaman Umno sendiri. Hakikat ini harus diterima oleh pimpinan Umno. Sekian banyak hujah untuk mengatakan bahawa Umno melakukan terlalu banyak terhadap orang Melayu, maka tidak wajar orang Melayu menolaknya, tidak boleh diguna pakai. Peribahasa Melayu ada menyebutkan, panas setahun, habis oleh hujan sehari. Lagipun ada peribahasa lain yang mengatakan, marahkan pijat kelambu dibakar. Orang Melayu marahkan pijat sebenarnya.

Dalam satu lagi siri pertemuan mengenai masa depan Melayu, Persatuan Anak-Anak Johor Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur mengundang Profesor Datuk Dr Zainal Keling dan Datuk Dr Malik Munip sebagai ahli panelnya. Mereka mengajak pimpinan Umno kembali ke asal, memahami perjuangan Umno yang sebenar dan yang lebih penting bagi orang Melayu, mengingat semula siapa dan di mana mereka berada di negara ini.

Malik bercakap mengenai gagalnya orang Melayu mengartikulasikan pendirian dan sikap mereka selama ini. Ini bangsa yang tidak punya jurucakap untuk menyatakan pendirian secara yakin dan berkesan.

Orang Melayu juga gagal dalam perang minda. Selain gagal memanfaatkan media secara berkesan. Malik menghujahkan bahawa sebenarnya hak Melayu sah atau legitimate, bukan tuntutan kosong yang tidak didukung oleh Perlembagaan, sejarah dan kontrak sosial. Sayangnya orang Melayu meletakkan diri mereka dalam kekecilan minda dan melupai sejarah.

Beliau juga menyentuh mengenai keghairahan orang Melayu menampilkan kelemahan demi kelemahan, bagaikan tidak ada yang elok dan baik pada budaya dan tradisi orang Melayu. Orang Melayu diperingatkan saban waktu mengenai kekecilan mereka. Melayu dikaitkan hanya dengan yang negatif, buruk dan mundur.

Zainal kecewa kerana pimpinan Melayu mengabaikan apa yang sebenarnya diamanahkan pada mereka selama ini. Mereka lupa bahawa orang Melayu merintih, mengeluh, menangis dan kecewa apabila soal-soal dasar yang membentuk kemelayuan diabai dan dipinggirkan – antaranya bahasa dan budaya. Keresahan orang Melayu bukan tanpa sebab. Ada persepsi bahawa pemerintah terlalu akur pada tuntutan orang lain sedangkan anak sendiri dibiarkan.

Demikianlah pertemuan sebegitu biasanya menarik ramai peminat. Malah menjadi begitu popular dalam masyarakat Melayu hari ini. Mungkin bagi sesetengah pihak, ia menjadi tempat melepas geram. Banyak juga pandangan yang bernas dan bermutu disuarakan, selain tentunya emosi yang bebas membuak-buak. Semangat kemelayuan yang sekian lama terpendam sebenar tertera dalam pertemuan seumpama ini.

Jauh di lubuk hati saya bertanya juga, apakah ini sebenarnya yang dimahukan oleh orang Melayu hari ini? Benarkah generasi muda mengendahkan keresahan generasi tua akan terhakisnya kuasa politik dan kuasa Melayu? Benarkah orang Melayu masih menganut faham bahawa Melayu itu Umno dan hanya Umno saja yang mampu memperjuangkan nasib bangsa?

Apakah perlu orang Melayu atau NGO Melayu bersidang dan berarak sekali lagi untuk mengajak pada perpaduan? Apakah dengan menghimpunkan NGO Melayu akan memperagakan solidariti di kalangan Melayu? Apakah dengan menyampaikan resolusi dan tuntutan akan mengubah nasib bangsa Melayu? Apakah sebenarnya keutamaan Melayu masa ini?

Memang perbincangan mengenai isu Melayu sedang bersemarak di alam siber. Tetapi rata-rata di kalangan mereka yang mengambil bahagian berpendapat perpaduan Melayu tidak relevan lagi masa kini. Demikian juga di kalangan generasi Starbucks, BN dan Umno bukan segala-galanya. Mereka tidak melihat BN dan Umno mewakili apa yang mereka mahukan – konsep demokrasi, keterbukaan, akauntabiliti dan kebebasan bersuara. Malah di kalangan generasi baru, mereka tidak punya bagej sejarah dan psikologi dengan BN atau Umno.

Mereka meletakkan keutamaan yang berbeza sama sekali dengan ibu bapa mereka. Ironinya mereka merupakan produk kejayaan dasar Umno sendiri. Kebebasan bagi mereka bermakna memilih mana-mana parti atau sesiapa saja yang mereka yakini boleh mewakili aspirasi mereka. Sekiranya generasi ini tidak didekati, parti lain akan menjadi pilihan mereka.

Salah seorang yang memberi pandangan di dalam majlis di Bangunan Persatuan Sejarah itu mengatakan, di banyak tempat generasi muda sedang berlumba-lumba untuk menjadi ahli PKR atau Pas, bukan Umno. Ini realiti baru yang harus diterima. Kekalahan BN dan Umno memberikan rangsangan baru bagi parti lain untuk menawan hati dan perasaan generasi muda. Sekiranya Umno tidak melakukan sesuatu dengan segera, yang tinggal pada mereka ialah kelompok muda yang bermain kompang dan membawa sepanduk, yang berkualiti berbondong-bondong menyertai parti lain.

Umno harus mencipta semula dirinya untuk memastikan kelangsungan dan survivalnya. Demikianlah pandangan banyak orang. Perkataan 'kelangsungan' dan 'survival' menjadi taboo bagi mana-mana parti yang berkuasa. Tetapi sejarah membuktikan bahawa parti politik yang paling utuh sekalipun akhirnya tersungkur. Bagi parti yang memerintah, menang saja belum menjamin segala-galanya, mengisi kemenangan sebenarnya lebih sukar. Bagi parti lawan yang menang, mengurus kemenangan akan menjadi lebih sukar daripada kemenangan itu sendiri.

Pada akhirnya, rakyat sekali lagi akan membuat keputusan. Dalam konteks orang Melayu, realitinya Umno bukan hanya satu-satunya pilihan. Apabila orang Melayu sudah bersedia memenangkan DAP dan menolak Umno, hukum-hakam politik negara sebenarnya perlu ditulis semula. Hari ini tidak ada yang mustahil lagi. Perubahan inilah yang harus difahami oleh Umno.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
27 April 2008