Isnin, 5 Mei 2008

Kenapa persalah Melayu kerana budaya?

Nilai-nilai murni pengurusan, sokongan boleh menjayakan mereka dalam perniagaan

MINGGU lalu saya membentangkan kertas kerja bertajuk '50 Tahun Merdeka: Sudah Berubahkah Minda Usahawan Melayu?' dalam simposium yang dianjurkan oleh PNB-MIDF sempena Minggu Amanah Saham di Melaka. Keseluruhan perbincangan saya ialah mengenai perlunya kita melihat semula nilai-nilai dalam masyarakat Melayu yang sepatutnya membolehkan mereka menjadi bangsa yang berjaya dan setanding dengan orang lain. Saya menghujahkan bahawa minda dan psyche Melayu bukan hambatan pada kejayaan mereka. Dan budaya Melayu bukan penyebab kegagalan mereka dalam pelbagai bidang.

Oleh kerana peserta simposium itu usahawan dan ahli perniagaan Melayu, saya yakinkan mereka bahawa bangsa Melayu punya sejarah dan budaya yang gemilang dan bahawa genius pemikiran Melayu terbukti melalui kreativiti dan tradisi keilmuan mereka.

Saya menyebutkan bahawa tidak ada bezanya bangsa Melayu dengan bangsa lain daripada segi kemampuan dan kecerdikan. Malah tidak benar bahawa orang Melayu inferior minda mereka berbanding kaum lain. Atau mereka tidak punya bakat dan kebolehan berbanding orang lain. Malah adalah tidak benar bahawa orang Melayu tidak ada minda perniagaan. Saya menolak hujah bahawa orang Melayu hanya berdagang dan berniaga selepas Tanah Melayu merdeka pada 1957 atau hanya selepas terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sebahagian besar peserta terdiri daripada generasi muda. Ramai yang menemui saya selepas pembentangan itu menyatakan kehairanan mereka mengapa aspek-aspek positif orang Melayu itu tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Mereka tidak mengetahui bahawa sejarah bangsa Melayu mengandungi cerita kehebatan dan kejayaan dalam pelbagai bidang. Dan bahawa sejarah kerajaan Melayu bukan hanya bermuat cerita penindasan dan kekejaman terhadap orang Melayu tetapi juga cerita kegemilangan tamadun dan tradisi keilmuan.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah semua nilai yang baik yang dikaitkan dengan bangsa Melayu itu sebenarnya dipinggirkan akibat begitu lamanya mereka berada dalam penjajahan (446 tahun sejak tumpasnya Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511). Penjajahan empat setengah abad itu tentulah mempengaruhi minda, sikap, nilai, harga diri dan psyche Melayu.

Kedatangan Inggeris membuka sedikit sebanyak peluang pada anak-anak Melayu mendapat pendidikan. Tetapi penjajahan tidak akan memberikan peluang seluas-luasnya pada mereka. Tambahan pula sistem ekonomi kolonial tidak memberikan mereka kesempatan untuk membuktikan kemampuan mereka dalam bidang perniagaan. Penjajah Inggeris menyelesaikan masalah ekonomi dengan membezakan kaum-kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka.

Benarkah orang Melayu tidak punya minda perniagaan? Saya menghujahkan hal itu dalam rencana saya sebelum ini (BM, 23 November 2003). Dalam sebuah lagi rencana lain saya juga menghujahkan bahawa orang Melayu mempunyai sejarah panjang dalam bidang perdagangan antarabangsa sejak awal abad yang pertama lagi (BM, 10 September 2006).

Memang kita mudah menyalahkan penjajah kerana kelemahan orang Melayu selama ini. Penjajah adalah alasan terbaik mengapa orang Melayu tidak mampu bersaing dengan orang lain. Kita lupa bahawa selepas merdeka, kuasa politik di tangan orang Melayu. Orang Melayulah yang akan menentukan nasib orang Melayu. Kita terlupa bahawa kegagalan orang Melayu sejak merdeka patut dipersalahkan juga pada pemimpin Melayu yang melaksanakan dasar untuk bangsa mereka.

Tetapi itukah keutamaan kita? Menuding jari mencari salah? Tidakkah kita harus 'move on' meminjam ungkapan bahasa Inggeris? Bagi saya tugas yang lebih besar pada masa ini ialah mengembalikan keyakinan bahawa orang Melayu boleh berbuat apa saja sekiranya mereka diberikan peluang dan kesempatan. Suatu ketika dulu anak-anak Melayu dikatakan lemah dalam bidang sains dan matematik. Hari ini sistem pendidikan kita melahirkan profesor dalam bidang matematik dan sains. Suatu waktu dulu kita menganggap orang kaya dalam masyarakat Melayu hanya setaraf dengan watak Marzuki dalam filem Penarik Beca dan Haji Bakhil dalam Labu dan Labi. Hari ini kita tahu orang Melayu bukan saja menjadi jutawan tetapi 'billionaire.' Konsep kekayaan di kalangan orang Melayu telah bertukar sama sekali akibat DEB. Suatu masa dulu kita mencurigai kemampuan anak-anak Melayu untuk menjadi profesional. Hari ini jumlah mereka begitu banyak.

Jadi, hujah bahawa orang Melayu sebenarnya tidak boleh berjaya dalam perniagaan tidak boleh diterima pakai. DEB memberikan peluang lebih besar kerana dasar itu cuba menyusun semula masyarakat yang selama ini kegiatan ekonominya digariskan oleh kaum. DEB bukan dasar perkauman. DEB adalah lonjakan yang diperlukan untuk membantu orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam bidang ekonomi dengan kaum-kaum lain, tanpa merompak hak orang lain. Itulah semangat sebenar DEB.

Soalnya mengapakah selepas lebih 38 tahun terlaksana dasar itu, kejayaannya masih dipersoalkan? Mungkin sudah sampai masanya tumpuan kita tidak lagi hanya pada aspek nyata yang bertolak dari angka mengenai peratus pemilikan ekuiti Melayu pada keseluruhannya. Sudah sampai masanya kita menumpukan perhatian pada cerita kejayaan sekian ramai ahli perniagaan dan usahawan Melayu selama ini. Merekalah yang menulis semula hukum hakam perniagaan orang Melayu yang selama ini hanya dikatakan mampu berjual pisang goreng, nasi campur dan keropok lekor.

Apa yang dilupakan oleh ramai orang ialah bahawa orang Melayu mempunyai sikap dan minda yang betul untuk berjaya dalam perniagaan. Pandangan dunia orang Melayu tidak pernah seperti katak di bawah tempurung. Nilai Melayu seperti yang tertera dalam peribahasa, simpulan dan bidalan menunjukkan mereka bukan bangsa yang bersikap defeatist dan mudah menyerah kalah.

Ada pihak yang menyalahkan budaya Melayu kerana kelemahan mereka. Soalnya apakah kita juga percaya dengan mitos pribumi malas yang dihujahkan oleh orang lain? Malaskah sebenarnya orang Melayu? Apakah pemerhatian Abdullah Munshi pada abad ke-19 masih relevan hari ini? Apakah semata-mata kerana wujud peribahasa seperti 'kalau dah secupak takkan jadi segantang' menunjukkan sikap puas hati dan penyerahan pada takdir dan suratan? Apakah peribahasa 'ulat dalam batu lagikan boleh hidup' membuktikan bahawa minda Melayu selalu lemah menyerah?

Mengapa tidak dilihat aspek positif dari semua itu? Bukanlah kehidupan masyarakat tradisional yang mencorakkan penghasilan peribahasa, pantun dan karya sastera? Bukankah semua itu cerminan dari masyarakat Melayu sendiri? Bukankah kehidupan pertanian yang sukar menjadikan mereka lebih filosofikal terhadap kesusahan dan kemelaratan diri? Dan bukankah kepercayaan agama mereka menjadikan mereka cekal, tawakal dan menyerahkan diri pada Takdir yang ditentukan oleh Allah?

Hari ini orang Melayu jauh lebih bernasib baik. Mereka mendapat pendidikan serta pendedahan lebih banyak. Maka itu nilai-nilai Melayu yang terbaik itu sudah sepatutnya dijadikan azimat untuk menempah kejayaan masa depan. Cukuplah penghinaan yang dilontarkan pada bangsa sendiri. Memadailah Malay-bashing yang nampaknya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Penjajah mendefinisikan Melayu berdasarkan persepsi dan keperluan mereka. Hari ini orang Melayu mulai memberikan definisi bangsa mereka sendiri menggunakan kayu ukur yang tidak jauh bezanya dengan penjajah.

Tidak ada salahnya menjadi kritikal terhadap bangsa sendiri. Tetapi ada bahayanya jikalau kita selalu dimomokkan dengan andaian bahawa orang Melayu lemah, berjiwa kecil dan gagal. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kita hanya mampu mencari salah dan kelemahan diri.

Inilah masanya untuk kita menggunakan sejarah dan budaya untuk memperagakan kemelayuan yang baru dan yakin. Bukan bangsa yang lemah dan mudah menyerah kalah.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
4 May 2008