Rabu, 30 Januari 2008

Kamera Web WiFi


Sebuah kamera web dengan keupayaan WiFi telah dipertontonkan kepada umum dalam pertunjukan Elektronik Pengguna Antarabangsa (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Diletakkan pada roda, alat tersebut yang dinamakan Wow Wee Rovio itu boleh dikawal di mana-mana tempat oleh apa juga peranti yang dilengkapi pelayar web.

Anda boleh melakukan stream audio dan video daripada Rovio dan menghantar kembali ke doknya untuk dicas semula pada bila-bila masa.

CES yang merupakan pertunjukan teknologi tahunan itu melibatkan penyertaan 2,700 syarikat yang mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan terbaru dengan kunjungan lebih daripada 140,000 pelawat.

Kosmo!

Pengesan kontena kapal


Sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan beberapa jenis alat pengesan kedudukan termasuk alat mengesan kontena kapal.

Perunding solusi Savi Technology, Chris Miller baru-baru ini telah menunjukkan alat frekuensi radio (RFID) itu pada konvensyen RFID di Tasek Buena Vista, Florida, AS. Alat itu boleh dipasang pada kontena-kontena di kapal yang membolehkan ia dikesan di seluruh dunia.

Alat tersebut beroperasi dengan menghantar signal frekuensi radio kepada reader.

Selain itu, antara produk-produk lain yang dipamerkan ialah reader tetap yang mana ia mengumpulkan lokasi dan status.

Kosmo!

YouTube di telefon bimbit


YOUTUBE, baru-baru ini mengumumkan bahawa pihaknya sedang mengusahakan untuk membolehkan semua video dalam laman YouTube dilayari menerusi telefon bimbit generasi baru.

YouTube untuk telefon bimbit ini dinamakan Youtube for Mobile. Ia akan membolehkan orang ramai menonton apa juga video dari laman web popular itu menerusi telefon bimbit yang boleh melakukan stream data dan dihubungkan dengan rangkaian 3G.

"Lebih daripada 100 juta telefon bimbit akan dilengkapi dengan perkhidmatan tersebut," menurut anggaran YouTube.

YouTube yang dimiliki Google mula membolehkan videonya dilayari di telefon bimbit pada tahun 2006, tetapi hanya sebilangan kecil klip dapat dicapai.

"Menghasilkan video mudah alih bagi pengguna, bermakna mereka boleh menonton video dari laman web YouTube pada bila-bila masa yang dikehendaki dan di mana mereka berada," kata jurucakap YouTube menerusi satu kenyataan akhbar.

Laman web YouTube kini mempunyai lebih daripada 200 juta klip video untuk ditontoni.

Kosmo!

Too Phat akhirnya berkubur


JOE FLIZZOW dan Too Phat, satu nama yang tidak asing lagi di dalam arena seni suara tempatan. Genre lagu hip hop yang diperjuangkan mereka di sambut baik oleh peminat muzik tempatan.

Apatah lagi, mereka sering saja di angkat sebagai kumpulan hip hop terbaik yang pernah muncul dalam industri seni tempatan.

Malah, muzik mereka juga merentasi sempadan Asia sehingga ke Timur Tengah dan juga Amerika.

Namun, kegemilangan Too Phat semakin merundum tatkala Joe dan Malique dikatakan tidak lagi sehaluan.

Kesempatan menemui Joe pada satu majlis sidang media baru-baru ini, telah melerai segala persoalan yang bersarang di benak fikiran tentang hubungannya bersama sahabat baiknya Malique dan hala tuju kumpulan Too Phat yang kini kian kabur.

"Setakat hari ini apa yang boleh saya beritahu, hubungan kami masih lagi baik cuma tidak berbual sahaja, saya tidak bermusuh atau pun tidak puas hati dengan Malique.

"Dia sahabat saya dan hubungan kami macam adik-beradik. Tetapi setelah hampir 10 tahun bersama, kami memerlukan ruang untuk berkembang dan ia bukan bermaksud kami bertengkar.

KOSMO! difahamkan kini Joe dan Malique sedang mengusahakan album solo masing-masing dan ini membawa petanda bahawa kumpulan Too Phat bakal berkubur dan tidak akan muncul lagi dengan album baru.

"Sebenarnya saya buat album solo kerana kontrak kami bersama EMI telah tamat dan ini dikira sebagai projek khas masing-masing.

"Saya minat pada muzik dan ingin kembangkan lagi muzik saya, jadi apa salahnya lahirkan album solo kerana sasaran saya bukan sahaja untuk pasaran tempatan sahaja tetapi juga peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.

Apabila ditanya lagi masih adakah lagi album Too Phat selepas ini, Joe menjawab : "Itu saya tidak tahu lagi, tetapi jika 10 tahun lagi kami ingin muncul dengan album reunion siapa tahu. Buat masa sekarang saya tidak boleh berjanji tentang album Too Phat.

Joe juga yakin peminat Too Phat masih wujud, dan jika mereka berdua mengeluarkan album solo masing-masing, pastinya peminat terpaksa memilih salah satu antara mereka.

"Bila album solo saya dan Malique keluar, peminat Too Phat sememangnya terpaksa memilih salah satu antara kami tetapi jika mahu menyokong kami berdua pun itu sudah cukup bagus," katanya lagi.

Joe yang melihat dirinya sebagai penyanyi baru apabila album solonya muncul, mengatakan dia ingin menguasai genre irama hip hop tempatan dan menegaskan dia seharusnya terpaksa bersaing dengan sahabat baiknya itu.

"Biasalah persaingan secara sihat untuk melahirkan album yang berkualiti itu sahaja kerana saya tahu peminat saya juga adalah peminat Malique," luahnya lagi.

Album solo yang diterbitkannya di bawah labelnya sendiri Kartel Record Sdn. Bhd, dijangka bakal menemui peminat sekitar bulan Mei tahun ini.

Tambahnya lagi, album yang diberi judul Presiden itu juga hasil karyanya sendiri bersama beberapa sahabatnya termasuk DJ T-Bone yang banyak membantu Joe semasa di zaman kegemilangan Too Phat lagi.

"Semua lirik dalam album ini saya buat sendiri cuma lagu banyak dibantu oleh rakan-rakan yang lain," jelasnya mengenai album yang memuatkan 15 buah lagu itu.

Menurutnya, album sulungnya itu bakal menyelitkan lima buah lagu Melayu dan selebihnya lagu berbahasa Inggeris sesuailah dengan sasarannya untuk memasarkan album itu di Amerika.

"Jika album ini mendapat sambutan dan diterima dengan baik di sana (Amerika), berkemungkinan besar saya akan berhijrah untuk mengukuhkan lagi nama saya di Amerika.

"Itu hanyalah perancangan saya sahaja, belum tentu ia akan terjadi, tetapi saya harapkan yang terbaik untuk album solo ini," katanya lagi yang turut melahirkan sebuah kumpulan bernama Sakti di bawah labelnya sendiri.

Bicaranya lagi, kumpulan yang diasaskan oleh adiknya Asraf, akan muncul dengan album pertama mereka pada bulan April ini.

Oleh HARYATI KARIM
Kosmo!

Datuk Ishak Baharom meninggal dunia


SHAH ALAM - Bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, (gambar) meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala di Hospital Sungai Buloh petang semalam.

Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 2.50 petang selepas 21 jam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Allahyarham dimasukkan ke ICU kira-kira pukul 6 petang semalam (kelmarin) selepas mengadu sesak nafas.

"Keadaan Allahyarham sepanjang berada di ICU kritikal sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi semalam.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan pagi ini di Masjid Lipat Kajang, Klang sebelum dikebumikan di Makam Diraja Selangor di Seksyen 10 di sini

Allahyarham yang dilahirkan di Kanchong Darat, Banting menjawat jawatan sebagai Mufti Selangor selama 12 tahun sejak 1985.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Halijah Abdullah, 48, dan tiga orang anak.

Kosmo!

Belasungkawa Loloq (1957-2008): Hilangnya penulis kreatif


Loloq gemar guna perkataan baru dalam karya meninggal dunia selepas tak sedar diri sejak Ahad lalu

APABILA menghayati seni kata yang ditulis oleh Loloq, sering kali kita akan menemui perkataan baru yang kadang-kadang tidak pernah kita dengar. Itulah kelebihan dan keistimewaan Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis ketika berkarya yang agak 'gila-gila' apabila menggunakan bahasa. Pelbagai kamus tidak pernah lekang daripada dirinya ketika menulis seni kata. Bahkan, dia mempunyai himpunan buku daripada pelbagai genre untuk dijadikan sumber ilhamnya.

Loloq pernah berkata, dia tidak terlalu berkira membelanjakan sejumlah wang semata-mata membeli buku yang berkaitan dengan keagamaan, biografi, sejarah, kebudayaan dan bahasa.

Mungkin tidak ramai yang tahu selain menggunakan nama Loloq, dia juga turut menggunakan nama pena Nurbisa pada seni kata lagu tulisannya. Loloq dan M Nasir cukup sebati. Justeru dia menyertai Luncai Emas milik Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif. Malahan, M Nasir dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa Loloq ke dunia seni. Justeru, tidak hairanlah banyak seni kata tulisannya dinyanyikan oleh M Nasir seperti Keroncong Nostradamus, Apokalips dan Insan & Manikam, manakala seni kata terakhirnya ialah Cinta Adam & Hawa nyanyian Misha Omar. Dia juga ialah penulis lirik Ratnaku nyanyian Roy, Di Kala Asmara Lepaskan Layarnya (Aris Ariwatan), Mentera Semerah Padi (M Nasir), Layar Impian (Ella) dan Ana Pertama Timur (Search).

Loloq dikatakan sudah menulis lebih 1,000 seni kata. Antara seni kata tulisannya yang dianggap hebat ialah Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Kias Fansuri dan Cinta Sakti. Pada tahun 1991, seni kata tulisannya Everlasting Glory nyanyian Hattan dilarang daripada disiarkan oleh radio RTM. Dia pernah mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi apabila mendakwa kamus Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) sebagai tidak laku. Isunya apabila Loloq menggunakan perkataan Syuga dalam album terbaru Ella iaitu Ella - USA. Perkataan Syuga tidak ditemui dalam kamus DBP. Sebaliknya, Loloq dituduh mengambil perkataan syuga daripada buku Madame D'Syuga yang memaparkan gambar telanjang Ratni Sari Dewi Sukarno, tetapi dia menafikannya.

Loloq berasal dari Singapura. Bapanya, Rosli Dayut berasal dari Masjid Tanah, Melaka adalah bekas polis Tanah Melayu. Ibunya, Maimunah adalah Cina mualaf. Menurut Loloq yang pernah ditemui penulis pada tahun 1999, setiap buku yang dibelinya bukan untuk hiasan semata-mata. Hampir semua buku habis dibacanya.

"Kalau ada buku yang menarik, saya akan baca berulang kali. Kadang-kadang sampai tiga atau lima kali. Bahkan sebelum tidur, ada 20 buku di sebelah saya," jelasnya yang turut menyediakan sedikit peruntukan untuk membeli majalah bagi keperluan isterinya. Dia mengaku, keasyikannya terhadap buku menyebabkan dia `pernah lupa' pada anak dan isterinya, Hairiah Yaakob. Ketika itu kami mula-mula kahwin. Rasanya dia tahu tabiat saya yang suka membaca. Saya pula ambil kesempatan sehingga dia merajuk. Sekarang cara saya membaca kenalah tukar. Asalkan isteri tidak merajuk, sudahlah," kata Loloq sambil ketawa. Hasil perkahwinannya dengan Hairiah, Loloq dikurniakan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10, Jaevn Nur (7) dan Yasha Nur (5).

"Nama anak saya memang agak pelik bunyinya. Krsty bermaksud rahsia, manakala Jaevn sebenarnya bermaksud Jawa. Jawa ini pula kalau dihalusi berasal dari kaum Nabi Noh," katanya.

Loloq dikatakan memiliki ratusan buku yang mengandungi pelbagai tajuk. Ini termasuk tajuk yang berkaitan dengan ekonomi, pengurusan, politik, falsafah, keagamaan, perfileman, kesusasteraan, biografi dan pengetahuan am serta novel. Salah satu rak yang terletak di ruang tamunya, tersusun buku The Life Muhammad karya Hamka, Biografi Nelson Mandela, The Arabian Nights, Quantum Leanings, Saince of Politics, How To Argue And Win Every Time, History of Films, A History of the Jews dan banyak lagi. Penulis lirik ini juga pernah mengaku mempunyai minat mendalam terhadap bahasa Melayu yang dianggapnya sebagai satu bahasa agung pada zaman kegemilangan raja Melayu.

"Saya kagum dengan Hang Tuah yang boleh bertutur 10 bahasa. Begitu juga dengan nama Tun Sri Lanang. Setiap perkataan itu ada maknanya sendiri. Tun bermakna tuan, Sri bermakna bercahaya dan lanang adalah lelaki. Begitulah tingginya orang Melayu dulu apabila berkias.

"Sebab itu apabila saya guna perkataan yang lain dari kebiasaan, banyak yang berasa pelik. Sebenarnya, setiap perkataan yang saya pilih masih berbahasa Melayu. Misalnya, lagu Berikanku Nurbisa. Nurbisa itu dalam bahasa Melayu bermakna penawar segala penyakit," jelasnya lagi. Loloq adalah satu yang diperoleh secara tidak sengaja.

"Apabila Jalil Ngah hendak terbitkan kulit album, dia tanya Loloq boleh. Saya kata bolehlah...," katanya yang pernah menjadi penyanyi kumpulan Rastari pada awal tahun 90-an. "Satu kepuasan saya ialah apabila berjaya membuatkan kumpulan rock membuka kamus bahasa Melayu," katanya.

Selain hebat menulis seni kata lagu, Loloq juga dilihat hebat dalam bakat lakonannya. Antara filem yang pernah dibintanginya seperti Sara, Embun, Lang Buana, Zombie Kampung Pisang dan Man Laksa. Beliau juga pernah beraksi di pentas teater suatu masa dulu dalam persembahan teater Bukit Kepong arahan Othman Ghani dan drama sitcom Awie Record.

Semasa hayatnya beliau pernah dikurniakan beberapa anugerah seperti penulis lirik terunggul dan menerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11 menerusi lagu Dewa Dewi nyanyian kumpulan Spider menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul lima tahun berturut-turut. Selain itu, Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakkan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Beliau juga turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalnya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M Nasir. Bagaimanapun, filem itu tidak dapat disiapkan sehingga sekarang.

Loloq meninggal dunia Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 1.37 tengah hari kelmarin selepas dimasuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Ahad lalu kerana dipercayai berlaku pendarahan di kepalanya.

Oleh Zainuri Misfar dan Rozdan Mazalan
Berita Harian

Rudd minta maaf kepada pribumi Australia


Kevin Rudd (kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush

SYDNEY: Kerajaan Australia yang diterajui Parti Buruh akan meminta maaf secara rasmi kepada ‘generasi dicuri’ pribumi negara itu sebagai acara pertama pembukaan sesi baru Parlimen. Perdana Menteri, Kevin Rudd, akan menyampaikan permohonan maaf pada 13 Februari ini, hari pertama sesi Parlimen, kata Menteri Hal Ehwal Pribumi, Jenny Macklin, semalam. Macklin berkata, permohonan kepada pribumi yang diambil secara paksa daripada keluarga mereka ketika kanak-kanak, dan dibesarkan oleh keluarga angkat adalah ‘langkah pertama yang penting untuk bergerak ke depan dari masa silam.’

Kerajaan terdahulu enggan meminta maaf kepada masyarakat pribumi Australia kerana kesalahan masa lalu, malah menyatakan meminta maaf akan meletakkan kesalahan kepada penduduk awam. “Permohonan maaf akan dibuat bagi pihak kerajaan Australia dan tidak merujuk kesalahan kepada generasi terkini rakyat Australia,” kata Macklin dalam satu kenyataan. Beribu-ribu kanak-kanak pribumi, diambil daripada keluarga masing-masing dan diletakkan dalam institusi atau keluarga angkat menurut dasar menyerap mereka ke dalam komuniti perdana.

- AFP

Rakyat Sabah kena ubah sikap rebut peluang SDC


PELANCARAN Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Kota Kinabalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, akan membawa dimensi baru pembangunan terancang di Negeri Di Bawah Bayu itu. Melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan pelaburan swasta, Sabah akan berubah wajah yang pembangunannya bukan saja tertumpu di kawasan bandar malah menyeluruh sehingga ke pelosok negeri menjelang 2025. Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, pembangunan Sabah agak terbantut sebelum kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional pada 1994. Bagaimanapun, melalui perancangan teliti sejak sekian lama, selain pelancaran SDC, Sabah bakal seiring negeri lain yang membolehkan penduduknya menikmati kemajuan saksama. Dengan pelaburan bernilai RM105 bilion sepanjang tempoh 18 tahun pelaksanaannya bermula tahun ini, kira-kira tiga juta penduduk negeri itu bakal menikmati pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan. Selaras tekad kerajaan negeri untuk menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan penduduk luar bandar, kita berharap pembangunan lebih menyeluruh bakal mengubah kehidupan penduduk kawasan mundur di Kudat, Nabawan, Pitas, Kuamut, Togod dan Pensiangan. Kalau sebelum 1994 ketika kerajaan negeri dikuasai pembangkang, Sabah berdepan kemelut politik sehingga menjejaskan pembangunan negeri, selain hubungan negeri dan Persekutuan kurang mesra, kini semuanya sudah berlalu. Kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pembangunan Sabah. Peruntukan kewangan besar disalurkan untuk membangunkan negeri melalui peruntukan khas dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Berbeza dengan negeri lain, Sabah yang memiliki aset berharga iaitu keluasan tanah untuk pembangunan pertanian, sumber asli dan produk pelancongan alam sekitar, mampu menjana ekonomi bagi pertumbuhan negeri dalam jangka panjang. Sabah juga antara negeri pengeluar terbesar minyak sawit dan petroleum selain memiliki keindahan alam semula jadi seperti Taman Negara Kinabalu, yang menjadi daya tarikan pelancong asing. Dengan tahap keselamatan tinggi yang disediakan Kerajaan Pusat melalui Operasi Pasir, berikutan ancaman lanun dan penculik terutama di kawasan pantai timur Sabah pada awal 2000, kini pelancong asing membanjiri negeri itu. Tahun lalu saja jumlah pelancong mencecah 2.5 juta, sekali gus menjana pendapatan RM4.72 bilion. Sabah memiliki keupayaan tersendiri untuk membangunkan ekonomi dan sosial secara menyeluruh pada masa depan. Melalui SDC, kita yakin program pembangunan terancang akan memberi manfaat melalui peruntukan tambahan RM5 bilion bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam RMK-9 dan sebelum ini, RM20.1 bilion, memberi kesan ekonomi yang akan dilihat dalam tempoh terdekat. Pembangunan yang menekankan lima aspek utama itu akan mengubah Sabah dalam tempoh 18 tahun akan datang, termasuk menjadikan negeri itu, pintu masuk utama di rantau ini bagi tujuan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Kita berharap penduduk setempat akan merebut peluang itu kerana ia bukan saja membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada warga asing yang membanjiri negeri itu. Dijangka dalam tempoh 18 tahun dari sekarang, sejumlah hampir sejuta peluang pekerjaan akan disediakan, untuk dimanfaatkan penduduk tempatan terutama kalangan penduduk di kawasan miskin mutlak. Mereka perlu mengubah sikap untuk turut berusaha kerana masa hanya melihat pembangunan datang bergolek untuk mengecapi kekayaan sudah berakhir. Hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Pusat ternyata memberi manfaat besar untuk dinikmati rakyat Sabah.

Berita Harian

Kisah David Teo


David Teo adalah merupakan seorang penerbit filem Melayu yang bukan berbangsa Melayu yang berjaya di Malaysia. Namun kejayaannya hanya dapat dikecapi sekarang, setelah filem Jangan Pandang Belakang hasil arahan Ahmad Idham telah berjaya mencatatkan kutipan luar biasa bagi sebuah filem Melayu dan telah mengalahkan rekod kutipan filem Sembilu hasil arahan Yusof Haslam yang pernah dinobatkan sebagai filem paling popular suatu masa dahulu.

Kisah penglibatannya di dalam perniagaan bermula selepas dia tamat persekolahan di Johor Baharu, dia menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Namun, hasrat menggenggam segulung ijazah tidak berhasil. Pengajiannya hanya sekerat jalan, kerana himpitan kemiskinan David Teo mengambil keputusan berhenti belajar.

"Keluarga saya bukan orang senang. Sejak kecil saya sudah belajar cari duit sendiri. Pagi saya ke sekolah, petang pula saya mengambil upah membuat longkang. Duit upah membuat longkang itu saya simpan untuk membiayai persekolahan dan membeli alatan persekolahan.

"Kawan-kawan seklah bertanya, kenapa jari-jemari saya kotor dan berwarna hitam? Saya katakan kepada mereka, saya ambil upah buat longkang dengan gaji RM0.50. Mereka ketawakan saya tetapi itu tidak mematahkan semangat saya," cerita David.

Hasil duit membuat longkang, David ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal. Selepas berhenti belajar, David mencuba nasib menjadi jurujual. David perlu mencari duit untuk menampung perbelanjaannya dan berjanji tidak akan menyusahkan keluarganya di kampung malah tindakannya berhenti sekolah juga dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya.

Ketika menjadi jurujual, David berkenalan dengan seorang kenalan yang mengajak David menjual barangan herba dan melantik David menjadi pegawai pemasaran. Enam bulan berusaha menjual barangan tersebut, pulangan yang diperoleh cukup lumayan. David membeli sebuah kereta Proton Saga bernilai RM19 ribu.

"Saya pulang ke kampung dengan kereta baru, ibu dan ayah di kampung tidak percaya apabila saya katakan kepada mereka saya sudah berhenti belajar dan sedang bekerja. Saya katakan kepada mereka setelah bekerja, saya berjaya membeli kereta dan mengumpul sedikit wang untuk memulakan perniagaan.

"Mendengar cerita saya, mereka kagum. Kemarahan ayah dan ibu bertukar gembira kerana sekitar 1980-an banyak orang yang berhijrah ke Kuala Lumpur terlibat dengan masalah sosial dan kembali ke kampung halaman dengan tangan kosong, tetapi saya pulang dengan memandu kereta sendiri dan memberikan mereka sedikit wang," ujar David.

Daripada jualan lansung, David memulakan perniagaan peralatan elektrikal dan barangan kelengkapan perumahan. Dari Malaysia, pasaran perniagaannya menganjur ke India, China, Thailand, Sri Langka dan Korea.

Beberapa tahun selepas itu, David berjinak-jinak pula dengan industri perfileman, David bersama-sama dengan beberapa orang rakan mencuba nasib menerbitkan filem pertama berjudul Syukur 21, namun cubaan pertama David gagal. David kerugian RM2.8 juta.

Sikap pantang mengalah yang ada pada David membuatkannya tidak serik mencuba. Filem kedua berjudul No Problem diterbitkan, namun sekali lagi David mengalami kerugian RM200 ribu. Setelah dua kali gagal meraih keuntungan, David muncul dengan filem ketiganya berjudul Mendam Berahi. Kegagalan David berulang. Kali ini jumlah kerugian mencatat RM700 ribu.

"Tiga kali saya gagal tetapi saya tetap dengan pendirian, mahu buat filem dan terus buat filem. Banyak orang kata sekiranya gagal tiga kali berturut-turut tiada, tiada ong, tetapi saya tidak mahu mengalah. Saya tidak percaya sekali gagal, manusia akan gagal selama-lamanya. Kepercayaan itu kuno dan mengarut. Saya terus menerbitkan filem dan filem saya akhirnya mendapat tempat di hati peminat. Menerusi filem Jangan Pandang Belakang, sebanyak RM7.5 juta berjaya diraih dan kejayaan ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam dunia perfileman negara," kata David.

Ketika usia 43 tahun, David percaya apa-apa yang dilaluinya sejak kecil banyak membantu dirinya berjaya.

"Saya tidak belajar tinggi seperti orang lain kerana itu saya mesti berusaha lebih gigih daripada orang lain," kata David mengakhiri perbualan.

Dewan Masyarakat.

Lumuran lumpur radiasi UFO


Sama ada mitos ataupun benar, lagun-lagun itu dikatakan mampu menyembuhkan segala jenis penyakit baik daripada jerawat batu sehinggalah reumatik.

ADA yang menggelarnya Lagun Ajaib manakala selebihnya menyifatkannya Lagun Awet Muda. Tetapi, yang pasti, kelompok lagun-lagun di Chilca ini dianugerahi lumpur istimewa yang memiliki struktur molekul unik.

Para doktor dan saintis tempatan pula mendakwa, manfaat penyembuhan lumpur ini mungkin berpunca daripada radiasi yang terhasil oleh objek terbang tidak dikenali (UFO) yang kerap dilihat di kawasan itu.

Terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Lima, Peru, Chilca berpusat di antara Kota Tokong Pachacamac dan Nazca Lines yang penuh misteri.

Terkenal dengan lagun-lagun penyembuhnya, lumpur ajaib serta UFO, kawasan itu sering dibanjiri oleh ribuan orang khasnya pada musim cuti panas. Pada ketika itu, keseluruhan kampung bertukar wajah menjadi sebuah spa gergasi.

Mungkin sebab itulah, pengusaha-pengusaha restoran dan rumah tumpangan boleh tersenyum riang mengenangkan kunjungan penginap yang tiada bernoktah.

Ketenangan padang pasir yang kering kontang ditambah pula dengan persisiran pantai akua marin serta kekayaan mineral di lagun yang berwarna unik itu sekali gus meningkatkan kualiti mistik kawasan tersebut.

Sama ada mitos ataupun kenyataan, lagun-lagun itu dikatakan mampu menyembuhkan segala jenis penyakit baik daripada jerawat batu sehinggalah reumatik atau ketidaksuburan.

Atas dasar kepercayaan itulah, sejumlah besar pesakit yang datang dengan penyakit akhirnya pulang dengan kesihatan yang lebih baik. Mandian lumpur di La Milagrosa iaitu Lagun Ajaib turut menjadi tarikan segelintir orang yang datang sekadar untuk bersantai.

Lumpur yang memiliki ciri-ciri perubatan sememangnya merupakan sejenis rawatan popular dalam kaedah naturopati. Kaya dengan bahan-bahan mineral seperti sulfur, zat besi dan kalsium, lumpur dipercayai mempunyai kuasa penyembuhan ke atas pelbagai jenis masalah berbeza.

Sapuan lumpur yang kaya dengan nutrien pada kulit bertindak sebagai pengelupas natural untuk mengukuhkan semula sel-sel kulit dan menyingkirkan toksin.

Sebaik tubuh disapu lumpur, para pengunjung akan merehatkan diri di bawah sinaran matahari terik dan membiarkan lumpur kering sepenuhnya. Satu rahsia rawatan ini adalah, membiarkan lumpur betul-betul kering dan beberapa sesi rawatan diperlukan bagi mendapatkan hasil terbaik.

Lagun penuh keajaiban ini terkenal dengan air berwarna agak kehijauan yang disyorkan untuk mereka yang mengalami masalah kulit. Lagun Godaan pula dipercayai memiliki keupayaan menggoda. Lumpur-lumpur di lagun ini disarankan kepada pesakit yang berdepan dengan penyakit mata, saraf, sendi dan tekanan darah tinggi.

Menariknya, satu lagi lagun iaitu Lagun Mellicera dikatakan mampu meningkatkan kadar kesuburan dan telah menyumbang kepada kelahiran sejumlah anak kembar di perkampungan tersebut.

Pernah digunakan untuk merawat penyakit kulit, tulang dan melegakan pesakit diabetes, Lagun Mellicera mempunyai satu kisah legenda yang istimewa.

Mengikut cerita, suatu ketika dahulu, seorang gergasi dipercayai sering mengunjungi dan berendam di lagun tersebut. Kejadian itu bagaimanapun dikatakan telah membuatkan penduduk Chilca takut untuk bermandi-manda di kawasan tersebut sehingga ke hari ini.

Kosmo!

Diburu kerana dedah maklumat


GAMBAR fail ini menunjukkan sebuah lori berada di Depot Securitas di Tonbridge, selatan England ketika satu rompakan berlaku pada 22 Februari 2006 (gambar kecil) Hoggs.

SEORANG jurusolek, Michelle Hogg yang menjadi saksi dalam satu kes rompakan terbesar di Britain kini berada dalam ketakutan selepas menghadapi ancaman bunuh.

Perancang utama rompakan yang membabitkan wang tunai berjumlah 53 juta pound sterling (RM341 juta) itu dilaporkan menawarkan ganjaran bernilai 7 juta pound sterling (RM45 juta) bagi membunuh Hogg.

Hogg yang berasal dari London membuat beberapa topeng untuk digunakan oleh sekumpulan penjenayah bagi merompak sebuah gudang menyimpan wang tunai, Securitas pada 2006 di Tonbridge, selatan England.

Bagaimanapun, beberapa tuduhan terhadap Hogg yang juga anak kepada seorang anggota polis itu digugurkan selepas dia menjadi saksi kepada pihak pendakwa raya.

Dia kini diletakkan di bawah program perlindungan saksi dan terpaksa menukar nama dan penampilannya serta diberikan identiti baru.

Hogg juga kini hidup dalam ketakutan selepas kenyataannya di mahkamah mengakibatkan lima suspek kes rompakan itu didapati bersalah kelmarin.

Kesemua suspek iaitu Stuart Royle, 49, Jetmir Bucpapa, 26, Lea Rusha, 35, Ermir Hysenaj, 28, dan Roger Coutts, 30, didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan menculik, merompak dan memiliki senjata api dan hanya menunggu bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan oleh mahkamah.

Namun, pihak polis bimbang perancang utama rompakan itu yang masih bebas menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa yang dapat membunuh Hogg.

Hogg sebelum ini telah mengenal pasti seorang perancang utama rompakan itu yang kini ditahan di utara Afrika dan menunggu proses ekstradisi ke Britain.

Pihak polis juga berjaya menjumpai semula wang tunai berjumlah21 juta pound sterling (RM135 juta) tetapi baki wang rompakan itu masih gagal dikesan dan dipercayai diseludup ke Maghribi, Cyprus Utara atau Albania.

Pihak Scotland Yard percaya baki wang tersebut yang berjumlah 32 juta (RM206 juta) pound sterling dibawa oleh seorang lagi suspek, Sean Lupton ke Cyprus.

Lupton, 47, kini menjadi buruan pihak berkuasa Britain dan dipercayai melarikan diri ke Cyprus.
Satu sumber polis berkata, Hogg yang merupakan saksi utama mengetahui bahawa dirinya dalam bahaya kerana hanya dia seorang sahaja yang tahu siapakah perancang utama rompakan itu.

"Dia kini mungkin tidak dapat tidur nyenyak di waktu malam kerana penjenayah terbabit sanggup menawarkan ganjaran bernilai berjuta-juta pound untuk membunuhnya," katanya.

Satu sumber berkata, bukti yang dikemukakan oleh Hogg sangat penting bagi menyabitkan kesemua suspek dengan jenayah yang mereka lakukan.

"Bagaimana Hogg terlibat dengan rompakan itu kami tidak tahu tetapi dia kini sudah bebas dan penjenayah itu mungkin berazam untuk membalas dendam," ujarnya.

Hogg mengaku membantu perompak terbabit melakukan penyamaran dengan membuat topeng daripada getah dan rambut palsu.

Dia juga menggunakan tali coli untuk menegangkan kulit di belakang mata salah seorang perompak tersebut supaya dia kelihatan seperti seorang keturunan Cina.

Hogg juga membuat dagu dan hidung palsu untuk perompak terbabit.

Rompakan itu berlaku pada 21 Februari 2006 apabila pengurus gudang simpanan wang di Kent, Colin Dixon ditahan oleh dua penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis ketika pulang dari tempat kerjayanya.

Dixon kemudiannya sedar dia diculik apabila penjenayah itu mengacukan sepucuk pistol ke arahnya dan membawanya ke sebuah ladang.

Pada masa yang sama, dua penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis pergi ke rumah Dixon dan memberitahu isterinya, Lynn bahawa suaminya terlibat dalam satu kemalangan.

Lynn dan seorang anaknya berumur tujuh tahun kemudiannya menaiki kereta perompak itu sebelum dibawa ke ladang tempat Dixon ditahan.

Mereka kemudiannya dibawa ke gudang itu di mana Dixon dipaksa membantu perompak terbabit melepasi beberapa kawalan keselamatan.

Selepas berjaya memasuki bangunan itu, kumpulan perompak itu kemudiannya mengikat 14 pekerja dan mengancam untuk membunuh mereka sekiranya tidak mematuhi arahan.

Kumpulan itu melarikan wang tunai 53 juta pound sterling (RM341 juta) dan terpaksa meninggalkan sejumlah wang lagi berjumlah 154 juta pound sterling (RM991 juta) kerana lori yang mereka bawa sudah dipenuhi dengan wang tunai.

- Agensi

Sepuluh CEO terkaya di dunia


Empat rakyat India antara yang disenarai

NEW YORK - Taikun keluli India, Lakshmi Mittal diiktiraf sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kedua terkaya di dunia yang dipercayai mempunyai kekayaan AS$32 bilion (RM103 bilion), lapor sebuah majalah di Amerika Syarikat, Forbes semalam.

Mittal merupakan pemilik syarikat Arcelor Mittal.

Dua lagi adik beradik bilionair dari India turut disenaraikan sebagai antara 10 CEO terkaya di dunia iaitu Mukesh Ambani dan Anil Ambani yang masing-masing menduduki tempat keenam dan tujuh.

Kakayaan Mukesh dianggarkan sebanyak AS$20.1 billion (RM65 bilion) dan Anil yang merupakan Pengerusi Reliance ADA memiliki kekayaan AS$18.2 billion dolar (RM58.9 bilion),
Tempat pertama dalam senarai itu adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, Warrent Buffett dengan kekayaan bernilai AS$52 bilion dolar (RM168 bilion).

Pengerusi di syarikat perisian komputer terbesar di India, Wipro, Azim Premji turut berada di tempat kesembilan dengan kekayaan berjumlah AS$17.1 bilion (RM55.3 bilion).

Bagaimanapun, anggaran pendapatan bagi beberapa ahli perniagaan India yang dilaporkan itu bukan maklumat terkini kerana ia diambil daripada satu senarai hampir setahun lalu.

Forbes menyatakan, senarai itu disediakan berdasarkan senarai bilionair dan jutawan Amerika Syarikat yang tercatat dalam Forbes 400 pada September lalu.

"Kami mendapati ada antara CEO itu mengasaskan syarikat mereka sendiri, selain ada yang mewarisi harta dan membina kekayaan melalui cara mereka sendiri," lapor majalah berkenaan.

Dalam senarai itu juga, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Las Vegas Sands, Sheldon Adelson menduduki tempat ketiga dengan kekayaan AS$28 bilion (RM90 juta).

Pengerusi dan CEO LVMH Group, Bernard Arnaut berada di tempat keempat dengan kekayaan berjumlah AS$26 bilion (RM84 juta).

CEO Oracle, Lawrence Ellison menduduki tempat kelima dengan kekayaan yang sama dengan Arnaut.

Pengerusi dan CEO Dell, Michael Dell menduduki tempat kelapan dengan kekayaan AS$17.2 bilion (RM55.6 juta).

Tempat kesepuluh adalah milik Pengerusi dan CEO Koch Industries, Charles Koch dengan kekayaan AS$17 bilion (RM55 juta)

- Agensi