Khamis, 27 September 2007

58 peratus penduduk Amerika benci Islam


Hasil kajian Pew Research Center gambarkan Muslim pengganas


WASHINGTON: Satu kajian terbaru menunjukkan majoriti atau 58 peratus rakyat Amerika Syarikat terus mempunyai pandangan negatif terhadap Islam, melihat Mormon sebagai kristian dan menyokong pemerintah tertinggi Roman Katolik, Pope Benedict.

Media tempatan melaporkan, kajian Pew Research Center dan Pew Forum bulan lalu, membabitkan 3,000 responden dewasa dengan peratusan kesilapan sebanyak dua peratus.

Sebanyak 45 peratus responden menyifatkan Islam, berbanding agama lain, lebih menggalakkan keganasan di kalangan pengikutnya - meningkat daripada 36 peratus yang berpendapat sedemikian, dua tahun lalu.

Majoriti atau 58 peratus mengakui tidak tahu atau mempunyai sedikit pengetahuan mengenai Islam dan amalannya.

"Kajian itu membangkitkan bilangan responden yang berpandangan negatif terhadap Islam mencatat peningkatan sejak 2001." Kira-kira 35 peratus responden juga berterus terang menyatakan rasa tidak senang mengenai Islam.

"Apabila diminta menyatakan satu perkataan yang paling layak menepati gambaran Islam, majoriti rakyat Amerika menggunakan perkataan negatif berbanding positif. Perkataan paling banyak digunakan bagi menggambarkan Islam adalah fanatik, radikal dan pengganas."

Malah, sebahagian besar responden yang ditemubual di seluruh Amerika juga menganggap wujud persamaan antara Islam dan agama mereka. "Seramai 70 peratus bukan Islam berpendapat agama Islam itu amat berbeza daripada agama anutan mereka."

Ada sekurang-kurangnya 7 juta penduduk Islam di Amerika yang mewakili kurang tiga peratus daripada keseluruhan 300 juta penduduk negara maju itu.

Pemimpin Muslim Amerika menyifatkan keputusan tinjauan itu sebagai sesuatu yang dijangkakan berikutan perkembangan semasa yang mencemari imej agama suci berkenaan.

"Terus terang, kami tidak terkejut," kata Safaa Ibrahim, jurucakap Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) kepada akhbar Los Angeles Times.

"Sukar untuk menghapuskan persepsi negatif akibat salah faham yang mengaitkan keganasan dengan Islam." – Agensi