Memaparkan catatan dengan label INFO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label INFO. Papar semua catatan

Khamis, 15 Mei 2008

Kanser paru-paru disebabkan oleh Vitamin E yang berlebihan


Menurut American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine, pengambilan 400 miligram Vitamin E dalam tempoh yang lama mengundang 28 peratus risiko menghidap kanser paru-paru terutamanya bagi perokok.

Dr. Christopher Slatore dari University of Washington memaklumkan sebanyak 521 kes kanser paru-paru telah dikesan di kalangan mereka yang berumur 50-76 tahun yang mengambil Vitamin C, folate dan Vitamin E secara berterusan selama 4 tahun.

Kajian juga menunjukkan walaupun alpha-tocopheryl succinate dan Vitamin E ester boleh menyekat pertumbuhan sel kanser pada haiwan, tiada bukti yang menunjukkan bahan itu menghalang kanser terhadap manusia.

Sumber : Dewan Masyarakat

Selasa, 22 April 2008

Rustam Sani meninggal dunia pagi ini

KUALA LUMPUR, Rabu 23 April 2008: Penulis prolifik Rustam A Sani meninggal dunia pada jam 2.30 pagi ini dipercayai akibat sakit jantung. Rustam, 63, anak kelahiran Ipoh, adalah seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair.

Seorang anggota keluarganya berkata, jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya di Jalan Bukit Lela, Gombak, dan dijadual dikebumikan selepas solat Zohor hari ini. - Bernama

Isnin, 21 April 2008

Masalah jiwa meningkat

LONDON: Semakin ramai golongan kanak-kanak di Britain menderita masalah kesihatan mental kerana terpengaruh cara hidup negatif. Amalan meminum arak, dadah, perpecahan keluarga dan tekanan untuk kelihatan bergaya serta menarik menyumbang ke arah aliran itu.

Laporan terbaru dari badan siasatan ‘The Children's Society’ mengenai tahap kanak-kanak dijangka mendedahkan bahawa lebih sejuta golongan itu mengalami gangguan dari kemurungan, kebimbangan, anoreksia kepada keganasan.

Laporan itu menggesa tindakan untuk menghalang masalah kesihatan mental menjejaskan prospek generasi muda. Ia juga menggesa ibu bapa untuk berusaha lebih mengemudi anak mereka menjauhi tindak tanduk antisosial dan kehidupan jenayah dan pengangguran. Malah, ibu bapa digalakkan untuk memuji anak mereka dengan lebih kerap berbanding berulang kali mengkritik mereka, dan pada masa sama mewujudkan sempadan yang jelas.

Dalam bahagian kelima daripada enam siri laporan, kajian yang akan diterbitkan Khamis ini akan memberi tumpuan kepada kesihatan kanak-kanak, memeriksa tindak tanduk mereka dan menghargai diri sendiri.

- Agensi

Bayar duit untuk ibu jaga anak

LONDON: Satu laporan yang diterbitkan semalam mencadangkan ibu diberi bayaran untuk tinggal di rumah dan membesarkan anak. Penilaian mendapati kebanyakan wanita mahu bekerja separuh masa atau tidak bekerja langsung ketika anak mereka berusia bawah lima tahun, tetapi dihalang berbuat demikian kerana membantu keluarga.

Kumpulan pemikir ‘The Policy Exchange’ mendesak kerajaan menghapuskan sistem kredit cukai sedia ada dan memberikan elaun penjagaan anak bernilai £60 (RM372) bagi seorang anak kecil setiap minggu kepada ibu bapa untuk disimpan atau memperuntukkan ke atas penjaga.

Anggota pembangkang, Maria Miller, menyatakan kesediaan mempromosikan laporan itu.

“Bantuan kepada keluarga dalam tiga tahun pertama belum menjadi dasar. Banyak kemajuan hebat dibuat dalam sebahagian bidang, tetapi ramai wanita masih berasa mereka tidak mempunyai banyak pilihan mengenai bagaimana mereka menstruktur kehidupan keluarga,” katanya.

Laporan bertajuk ‘Little Britons’, itu mendakwa berbilion pound duit pembayar cukai dibazirkan ke atas penjagaan rasmi anak ketika ibu bapa lebih suka menjaga sendiri anak mereka di rumah.

Parti Buruh memperuntukkan £17 bilion (RM105.4 bilion) bagi perkhidmatan ke atas anak kecil sejak sedekad lalu dalam usaha menggalakkan ibu kembali bekerja. Ibu bapa di Britain membayar 70 peratus daripada kos penjagaan anak berbanding purata cuma 30 peratus seorang penduduk Eropah lain.

Walaupun ibu bapa berkemungkinan memilih pusat penjagaan ketika anak mereka berusia tiga tahun berbanding setahun, majoriti masih cenderung ke arah penjagaan keluarga.

- Agensi

Ahad, 20 April 2008

Warga Kota Singa tertekan


Penekanan terhadap kebendaan punca kehidupan tidak lengkap

SINGAPURA: Singapura pada dasarnya mempunyai kekayaan dari segi kebendaan tetapi miskin dari segi rohani dan kerajaan perlu dipersalahkan sebagai sebahagian puncanya, kata seorang daripada penulis terkenal di sini. Catherine Lim, yang juga pengulas politik, antara segelintir warga negara itu yang mengkritik kerajaan secara terbuka bagi masyarakat termaju di Asia Tenggara.

Lim berkata, ketika Singapura diiktiraf mempunyai kedudukan tinggi dalam pelbagai tinjauan berhubung soal kebendaan seperti keramahan berniaga dan pencapaian ekonomi, tempat mereka rendah dalam aspek lain.

"Kebebasan akhbar, kebahagiaan malah percintaan dan sebagainya, Singapura berada di kedudukan paling rendah," kata Lim dalam temuramah.

"Mungkin ia menjurus kepada beberapa perkara. Adakah kita membayar harga tertentu untuk mencapai semua kemakmuran material? Adakah perkara itu adalah jiwa, rohani, hati, deria, apa saja yang anda boleh sebut?"

Katanya, kawalan politik ketat kerajaan sebahagiannya dipersalahkan kerana menjadi punca kurangnya kebahagiaan di kalangan 4.6 juta penduduk republik itu.

"Jika kurangnya kadar ketakutan itu (dari segi politik)...kami mungkin menjadi masyarakat lebih bahagia," katanya. Singapura adalah satu daripada negara politik paling stabil di rantau ini dan menjadi tapak ribuan syarikat asing.

Pemimpin negara itu berkata, undang-undang ketatnya terhadap penentangan dan aktiviti politik lain amat perlu untuk memastikan kestabilan yang membantunya mencapai kejayaan ekonomi. Sebagai contoh, adalah menyalahi undang-undang untuk mengadakan perhimpunan umum lima atau lebih orang di negara ini tanpa permit, bermakna tunjuk perasaan jarang berlaku.

Pemimpin Singapura menegaskan demokrasi liberal ala Barat tidak sesuai bagi negara kecil berbilang bangsa yang diperintah Parti Tindakan Rakyat sejak 1959 itu. Tetapi, Lim juga berpendapat bahawa kerajaan mengambil tindakan lebih baik berbanding pihak lain dalam membantu menangani isu material termasuk kenaikan harga makanan global.

"Ini ialah kerajaan pro-aktif...sangat pragmatik, kepimpinan penyelesai masalah," kata Lim, 66, yang dilahirkan di Malaysia.

"Masalah wujud di kawasan lain, kebebasan politik dan sosial yang kami tidak banyak dengar di Singapura," katanya ketika ditemui pada persidangan The New Science of Happiness and Well-being.

Singapura diletakkan di tempat terendah dalam tinjauan global mengenai kekerapan dan kepuasan melakukan hubungan seks. Tinjauan baru-baru ini oleh firma Grey Group mendapati sembilan daripada 10 penduduk yang tinggal di negara ini memberitahu mereka dalam keadaan tertekan.

"Kami perlu masa untuk berehat. Rakyat Singapura selalunya bercakap mengenai tekanan. Kita memperoleh wang, tetapi kita tidak mempunyai kebebasan untuk membelanjakan wang itu," kata Lim.

- AFP

Bahaya pening tiga kali seminggu


LONDON: Satu penyelidikan terbaru mendakwa wanita yang mengalami masalah migrain atau pening kepala sekurang-kurangnya sekali seminggu, lebih berisiko besar atau tiga kali berkemungkinan diserang angin ahmar berbanding wanita yang bebas masalah itu. Malah, penyelidik Amerika Syarikat itu mendakwa wanita yang mengalami pening biasa dan simptom atau gejala gangguan penglihatan sekurang-kurangnya sekali sebulan, juga berdepan risiko serangan jantung pada kadar satu setengah kali berbanding wanita biasa.

Kumpulan penyelidik itu membuat rumusan itu berdasarkan kajian ke atas 27,798 wanita yang kesemuanya bertugas di bidang perubatan dan berusia 45 tahun ke atas.

"Dalam tempoh 12 tahun, kami merekodkan 706 gangguan kepada pengaliran darah ke otak, 305 serangan jantung dan 310 kejadian serangan angin ahmar," kata ketua penyelidik, Dr Tobias Kurth ketika membentangkan hasil kajiannya di satu mesyuarat tahunan Akademi Neurologi Amerika di Chicago, kelmarin.

Serangan angin ahmar berlaku apabila salah satu saluran darah tersumbat menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak. Kekerapan berlakunya serangan itu dibandingkan dengan sejarah wanita itu mengalami masalah migrain.

- Agensi

Khamis, 17 April 2008

Bagaimana pokok kaktus hidup di padang pasir?


POKOK kaktus boleh menyimpan banyak air pada daun, pangkal dan akar bagi membolehkan ia hidup di kawasan kering dan padang pasir. Walaupun padang pasir memperoleh hujan yang sedikit tetapi pokok kaktus akan menyerap air sebanyak mungkin supaya ia boleh hidup semasa musim kering.

Namun begitu duri yang terdapat pada pokok berkenaan turut memainkan peranan penting dalam kitaran hidupnya.

Duri yang tajam menghalang haiwan untuk memakannya.

Duri itu juga menghalang tiupan angin yang kuat terhadap pokok itu sekali gus mengurangkan penyejatan air dalam pokok itu.

Selain itu duri pada pokok kaktus turut berperanan membenarkan lembapan pada waktu malam berkumpul pada hujungnya dan kemudian air ini akan jatuh bagi membolehkan akar pokok itu menyerap air berkenaan.

-Estidotmy

Tidak kacak lebih positif


Pernah anda terfikir mengapa ada sesetengah wanita cantik memilih lelaki yang kurang kacak sebagai pasangan hidup? Satu kajian terbaru mendedahkan bahawa pasangan yang terdiri daripada isteri yang cantik daripada suami lazimnya lebih positif dan saling menyokong berbanding padanan yang lain.

Pengkaji berpendapat, lelaki amat menghargai kecantikan sementara wanita lebih berminat kepada suami yang memberi sokongan.

Meskipun pengkaji mengakui bahawa rupa itu adalah subjektif, tetapi tetap terdapat beberapa piawaian universal untuk menyifatkan seseorang itu cantik atau kacak.

Kajian terbaru yang dikeluarkan dalam Journal of Family Psychology baru-baru ini dipimpin oleh pengkaji James McNulty dari Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS).

Pasukan McNulty telah menilai 82 pasangan yang berkahwin dalam tempoh enam bulan lalu dan telah mengenali satu sama lain hampir tiga tahun sebelum mengikat tali perkahwinan.

Pasangan-pasangan tersebut puratanya berusia antara awal hingga pertengahan 20-an.

Para pengkaji melakukan rakaman apabila si isteri berbincang dengan pasangan masing-masing tentang masalah peribadinya selama 10 minit. Rakaman itu kemudiannya dianalisis sama ada pasangan mereka bersifat menyokong isu yang dibangkitkan berkaitan matlamat untuk mengamalkan pemakanan lebih sihat sehinggalah mengenai mendapatkan pekerjaan baru atau mahu bersenam selalu.

Suami yang negatif akan berkata, 'Itu masalah kamu. Kamu selesaikan sendiri,' kata McNulty sementara yang positif pula akan berkata, 'Saya sentiasa di sisi kamu, bagaimana saya boleh menolong kamu?'

Bukan sekadar merakam, mereka terlebih dahulu telah memberikan rating pada daya tarikan wajah dengan memberikan skala 1 hingga 10 dengan 10 menunjukkan paling cantik.

Kira-kira sepertiga daripada pasangan yang dikaji terdiri daripada isteri yang lebih menarik berbanding suami, sepertiga lagi suami yang lebih menarik daripada isteri dan bakinya paras rupa yang setara.

Kajian menunjukkan secara keseluruhannya, isteri dan suami lazimnya bertindak lebih positif apabila si isteri lebih cantik.

"Apabila suami yang kurang kacak mengahwini seorang wanita cantik, mereka mendapat sesuatu yang lebih daripada yang dijangka. Jadi, itulah yang membuatkan mereka berusaha keras untuk mengekalkan hubungan," kata McNulty.

Lelaki yang lebih menarik pula cenderung mempunyai mentaliti sebaliknya.

Rupa fizikal lelaki yang menarik bukanlah penting bagi wanita, cadang para pengkaji. Ini kerana wanita lebih memilih suami yang bersifat menyokong.

-Kosmo!

Rahang tertua di Eropah


SAINTIS telah menemui tulang rahang yang dipercayai milik manusia tertua di Eropah yang tinggal di kawasan utara Sepanyol kira-kira 1.2 juta tahun lalu.

Para pengkaji telah membuat penemuan tersebut di kawasan arkeologi Atapuerca, yang menempatkan penduduk terawal benua tersebut yang terdiri daripada spesies Homo antecessor.

Rahang bawah yang baru itu memiliki ciri anatomi primitif dan moden, sekali gus saintis mencadangkan manusia prasejarah ini berasal daripada keturunan Neanderthal yang telah pupus kira-kira 40,000 tahun dahulu.

Bagaimanapun, saintis lain mencadangkan bahawa tulang rahang itu cenderung berasal daripada spesies pertengahan antara Homo erectus yang lebih purba dengan Homo neanderthalensis yang lebih baru dan bukannya daripada spesies manusia moden, Homo sapiens.

Seorang daripada kumpulan pengkaji, Jose Maria Bermudez de Castro berkata, tulang rahang tersebut yang mengandungi gigi ditemui dalam sedimen gua berbatu. Daripada pandangan luar, fosil tersebut kelihatan serupa seperti tulang rahang Homo erectus yang telah ditemui di Dmanisi di Georgia, menurut satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Nature.

Menurut jurnal itu, daripada sebelah dalam, rahang tersebut kelihatan lebih moden.

"Saya fikir perihal sejarah manusia ini kurang diketahui di Eropah. Kita hanya mempunyai beberapa fosil dan artifak. Tetapi tulang rahang ini adalah fosil manusia tertua yang ditemui di Eropah Barat," kata Dr. de Castro dari Pusat Kajian Evolusi Manusia Kebangsaan di Burgos, Sepanyol.

Bagaimanapun, Prof. Chris Stringer dari Muzium Sejarah Semula jadi di London, Britain berkata, penentuan kewujudan manusia tertua di Eropah selalu menjadi kontroversi.

"Fosil manusia spesies Homo erectus diketahui berasal dari Dmanisi, Georgia, tetapi fosil tertua manusia Eropah pula ditemui di Atapuerca, Sepanyol dan satu tempat lain di Ceprano, Itali," kata Stringer.

-Kosmo!

Saintis temui kembali kura-kura legenda


HANOI - Sekumpulan ahli zoologi berjaya mengenal pasti seekor kura-kura gergasi (gambar) di utara Vietnam yang sebelum ini dipercayai telah pupus, kata para pengkaji semalam.

Setelah tiga tahun mencari, pakar kura-kura Asia berjaya menemui, mengenal pasti dan merakamkan gambar kura-kura itu yang merupakan satu-satunya spesimen yang diketahui masih hidup di sebuah tasik di barat Hanoi.

Zoo Cleveland Metroparks di Amerika Syarikat (AS) yang membiayai kajian itu membuat pengumuman penemuan itu dalam satu kenyataan semalam.

Penyelaras program kura-kura Asia yang ditaja zoo berkenaan, Doug Hendrie berkata, spesies kura-kura itu merupakan satu legenda di Vietnam dan penemuan itu adalah satu peluang untuk legenda itu hidup semula.

"Ini adalah satu penemuan yang penting dan menakjubkan kerana kura-kura yang dikenali sebagai Rafetus swinhoei merupakan kura-kura yang paling terancam di dunia," katanya.

Para penyelidik berkata, kura-kura bercengkerang lembut itu boleh mencapai berat 136 kilogram dan berukuran 914 sentimeter panjang serta boleh hidup selama lebih 100 tahun.

Bagaimanapun, spesies itu semakin pupus selepas diburu untuk dijadikan makanan oleh manusia, kerosakan habitat dan pencemaran alam sekitar.

- Reuters

Kunci Kaabah kena curi


Ahli sejarah desak pertubuhan Muslim bawa pulang simbol kuasa khalifah

MAKKAH: Beberapa pihak, termasuk ahli sejarah Arab Saudi menyuarakan rasa terkejut di atas lelongan sebatang kunci Kaabah pada harga £9.2 juta (RM64.4 juta) di London, minggu lalu, dan menggesa hartawan dan badan antarabangsa Muslim, termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membantu memastikan kunci berkenaan dapat dikembalikan semula. Akhbar Arab News melaporkan semalam, Penjaga Kaabah, Saleh Al-Syabi yang meneruskan usaha menjaga kawasan suci berkenaan secara turun temurun, turut menyuarakan rasa terkejutnya di atas jualan sebatang anak kunci berusia 800 tahun itu yang turut dianggap antara simbol kekuasaan Khalifah.

Anak kunci diperbuat daripada besi padu ketika era pemerintahan Bani Abbasiyah itu dilelong oleh syarikat jurulelong terkemuka dunia, Sotheby's di London, minggu lalu. Ia dibeli oleh seorang individu yang enggan dikenali. Syabi yang enggan mengulas sama ada kunci berkenaan asli atau tidak sebaliknya berkata: "Ia mungkin diseludup keluar pada zaman lampau."

Ahli sejarah Arab Saudi, Hani Fairouzi juga hairan bagaimana kunci lama itu boleh dicuri.

"Amat menyedihkan bagaimana harta dan artifak sejarah yang amat bernilai itu dapat diseludup keluar daripada tempatnya. Biarpun saya mengagumi Saleh Al-Syabi, saya tidak boleh menolak hakikat yang penjaga Kaabah juga bertanggungjawab di atas kehilangan kunci berkenaan."

Sehubungan itu, beliau merayu pihak berkuasa Saudi melakukan siasatan ke atas perkara itu.

"Bayangkan jika anak kunci itu dapat diseludup keluar, mungkin ada banyak lagi harta yang mengalami nasib sama. Kunci itu adalah satu amanah dipertanggungjawabkan ke atas keluarga Syabi oleh junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Keluarga itu yang bertanggungjawab penuh di atasnya berbanding orang lain.

"Namun, sudah menjadi tanggungjawab dunia Islam, termasuk Arab Saudi, memastikan ia dikembalikan ke tempat sewajarnya."

Fairouzi berkata OIC, Liga Muslim dan pertubuhan Islam lain perlu bekerjasama bagi memastikan misi membawa pulang anak kunci itu tercapai.

"Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) perlu bekerjasama dengan pertubuhan Muslim untuk membawa pulang kunci itu ke Makkah. Unesco perlu mengambil langkah bagi menghentikan kecurian harta warisan berkenaan."

Penulis Saudi, Intisar Al-Okayl pula menyelar kenyataan Shaybi kerana enggan mengesahkan sama ada kunci berkenaan hilang.

- Agensi

Selasa, 15 April 2008

California alami gegaran besar 30 tahun lagi


Saintis dakwa gempa bumi terbesar akibat pembentukan tekanan

LOS ANGELES: Sekumpulan saintis mendakwa California sememangnya hampir pasti dilanda satu gempa bumi besar yang membawa kemusnahan besar dalam masa 30 tahun lagi. Kenyataan saintis termasuk penyelidik Universiti Southern California itu menjadi ramalan geologi paling komprehensif bagi negeri Amerika Syarikat berkenaan.

Mereka mendakwa California sememangnya berdepan risiko 99 peratus dilanda gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter pada 30 tahun lagi yang menyamai saiz gempa bumi Northridge pada 1994. Andaian itu dibuat berdasarkan kajian terkini menggunakan data mutakhir serta analisis kemungkinan berlakunya gempa bumi di sekitar negeri itu.

Analisis itu juga mendapati hampir 50 peratus peluang California digegarkan gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang sudah pasti mampu mencetuskan kemusnahan besar jika ia berpusat di bawah bandar raya besar seperti Los Angeles atau San Francisco.

"Kita perlu bersedia dari sekarang kerana bakal dilanda gempa bumi besar sedemikian," kata Tom Jordan, Pengarah Pusat Gempa Bumi universiti itu.

Kajian bersama Pihak Geologikal Amerika, Pusat Gempa Bumi Selatan California dan Pusat Tinjauan Geologikal California amat penting kerana ia buat pertama kalinya membentangkan kemungkinan yang bakal berlaku. Ia juga mewakili kajian paling menyeluruh pernah dilaksanakan di California dan akan digunakan agensi berkaitan sebagai asas penetapan kadar insurans.

"Ukuran yang mencecah 7.5 pada skala Richter sememangnya amat besar. Jika itulah yang melanda kawasan lingkaran Jaluran San Andreas, ia pasti membawa kemusnahan besar. Ini kerana ia membabitkan kejadian gempa yang merangkumi kawasan berukuran 322 kilometer dan perubahan setinggi 3.6 meter.

"Andai itu yang berlaku di kawasan seperti Los Angeles, sudah pasti ia membabitkan masalah yang amat besar," tegasnya.

Jordan berkata, risiko gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter melanda kawasan Selatan California adalah 37 peratus berbanding 15 peratus di utaranya. Ini disebabkan kejadian gempa bumi di San Francisco pada 1906, ternyata melepaskan tekanan yang terbentuk di San Andreas. Kejadian gempa bumi pada 1906 itu dipercayai berukuran kira-kira 7.8 pada skala Richter atau lebih tinggi.

Gegaran terakhir membabitkan saiz sama di selatan California berlaku pada 1857 manakala di Jaluran San Andreas tidak menyaksikan kejadian sedemikian sejak 1680.

"Jaluran di kawasan itu membentuk tekanan sepanjang masa ini yang memungkinkan gempa bumi besar itu boleh berlaku," katanya.

-Reuters

Angkasawan negara tawar diri sertai misi ke Marikh


KUANTAN: Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sedia menawarkan diri untuk dihantar menjalani misi angkasa ke planet Marikh selama hampir dua tahun walaupun terpaksa berdepan risiko kehilangan nyawa. Beliau berkata, menjadi angkasawan menyebabkannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang bakal berlaku termasuk 'tidak dapat kembali semula ke bumi'.

"Misi ke Marikh mengambil masa 18 bulan iaitu masing-masing enam bulan untuk perjalanan pergi dan balik, selain perlu berada di planet itu selama enam bulan.

"Kajian sebelum ini menunjukkan ada air di Marikh dan ini sesuatu yang menarik. Jika ada tempat, saya sanggup pergi ke Marikh walaupun ia dianggap sebagai tiket sehala (mungkin tidak kembali ke bumi)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam majlis Sepagi Bersama Angkasawan Negara di kampus UMP, dekat sini semalam. Difahamkan, misi ke Marikh, yang akan membawa lima hingga enam angkasawan terpilih dari seluruh dunia, akan dilancarkan bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Russia sudah menghantar jemputan kepada Malaysia untuk terbabit dalam misi itu dan menghantar calon angkasawan berkelayakan menjalani latihan khas selama kira-kira 500 hingga 600 hari. Jarak antara Marikh ke bumi dianggarkan antara 55.7 juta hingga 401.3 juta kilometer dan perjalanan ke planet ke empat dari matahari itu dikatakan mengambil masa sehingga 250 hari.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, selepas berjaya menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober tahun lalu, dia kini menyimpan dua lagi cita-cita yang perlu dipenuhi iaitu mahu menjadi juruterbang dan membantu kanak-kanak malang di Afrika.

"Saya menetapkan sasaran memiliki lesen juruterbang pada 2013 kerana itu antara impian peribadi saya.

"Sekarang jadual harian saya ketat dan masih belum mendaftar untuk menjalani latihan membawa kapal terbang," katanya.

Mengulas ketahanan mental dimilikinya sehingga berjaya melepasi pelbagai halangan untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar berkata, dia juga berasa sedih jika sesuatu yang menyentuh hati berlaku dalam hidupnya.

"Kejayaan meneroka angkasa menyebabkan perspektif hidup saya berubah, malah menjadi lebih kental dan tidak peduli lagi perkara remeh-temeh yang berlaku di sekeliling saya.

"Bagaimanapun, saya akui menangis selama tiga hari apabila adik, Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie atau Ajil, meninggal dunia pada 22 Oktober tahun lalu.

"Allahyarham sangat rapat dengan saya, tetapi saya tidak sempat bertemu dengannya, malah tidak dapat menyaksikan majlis pengebumian jenazahnya," katanya.

Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar berkata, setakat ini buku bertajuk Reaching For The Stars hasil karya Allahyarham adiknya itu sudah dijual melebihi 15,000 naskhah.

"Semua hasil jualan buku ini disalurkan kepada dana untuk membantu dua anak Allahyarham, Sheikh Aiman, 3, dan Balkish,1.

"Saya harap orang ramai boleh mengetahui akrabnya hubungan kami sekeluarga apabila membaca karya Ajil, terutama penghargaannya yang begitu tinggi apabila saya berjaya menjadi angkasawan negara," katanya.

Berita Harian

Isnin, 14 April 2008

Jurulatih kontroversi mati ditembak


Biranchi Das dan Budhia

NEW DELHI - Seorang jurulatih di India yang mencetuskan kontroversi apabila melatih seorang kanak-kanak lelaki dalam perlumbaan maraton bagi mencipta satu rekod dunia mati ditembak di timur India, kata seorang anggota polis semalam.

Jurulatih itu, Biranchi Das dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Budhia Singh menjadi selebriti apabila kanak-kanak tersebut cuba berlari sejauh 70 kilometer dalam satu perlumbaan maraton pada tahun 2006.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Das telah didakwa mendera pelari muda itu selepas ibunya mendapati beberapa parut di badan kanak-kanak tersebut.

Seorang pegawi polis, Amitabh Thakur berkata, Das ditembak oleh lelaki bersenjata di luar pusat latihannya di bandar Bhubaneshwar lewat kelmarin.

Thakur turut berkata, Das, 40, mungkin terlibat dalam satu perbalahan dengan beberapa penjenayah tempatan.

Selain itu, kes penderaan yang dilakukan oleh Das tidak dibicarakan disebabkan proses perbicaraan tersebut memakan masa selama beberapa tahun di India dan dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Jurulatih itu juga menafikan segala dakwaan terhadapnya dan berkata dia berjaya menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu daripada dijual oleh ibunya kepada seorang penduduk dengan harga AS$15 (RM47).

- AP

Mohana menang Anugerah Buku Masak Dunia Gourmand


LONDON: Seorang penulis buku masak dari Malaysia, Mohana Gill menang Anugerah Buku Masak Dunia Gourmand 2007 bagi buku terbaik di dunia mengenai masakan vegetarian. Upacara anugerah itu diadakan sempena Pesta Buku London yang bermula hari ini.

Buku Mohana yang bertajuk Vegemania ditulis pada 2006 dan diterbitkan oleh MPH.

Ini adalah anugerah kedua bagi Mohana, 70, selepas anugerah pertamanya tahun lalu di upacara yang diadakan di Beijing. Bukunya yang pertama mengenai buah-buahan yang berjudul Fruitastic menang Anugerah Istimewa Juri 2006.

“Saya mula mencuba masakan yang tidak menggunakan daging atau makanan laut selepas anak lelaki saya tidak langsung mahu makan daging dan makanan laut. Saya mula cuba resipi vegetarian menggunakan sayur-sayuran saja dan masakan saya tidak terhad kepada masakan India atau Malaysia saja.

“Saya sudah mengubah suai banyak resipi dari Mexico, Jepun, Cina dan banyak lagi,” katanya.

Mohana yang dilahirkan di Myanmar, datang ke Malaysia untuk mengajar ekonomi di Universiti Malaya pada 1965 selepas pengajiannya di Kanada. Mohana menjadi rakyat Malaysia selepas mengahwini seorang doktor Malaysia. Pada upacara semalam yang dihadiri oleh penulis buku masak serta chef dari serata dunia, Mohana menerima anugerahnya daripada Edouard Cointreau, yang mengasaskan anugerah ini pada 1995.

“Semakin kita tua, kita sedar bahawa kesihatan kita sangatlah penting dan untuk menjaga kesihatan dan menikmati masa tua kita, kita mestikan makan makanan yang sihat,” kata Mohana yang menanam pokok buah-buahan serta sayur-sayurannya sendiri.

Mohana juga berpendapat masalah berat badan yang berlebihan terutama di kalangan kanak-kanak juga boleh diselesaikan dengan memberi kesedaran kepada ibu supaya menjaga pemakanan anak-anak mereka dari awal lagi.

“Pastikan sentiasa ada makanan sihat seperti buah-buahan yang sedia terpotong di atas meja, di dalam peti sejuk dan juga di atas meja di tepi televisyen supaya mereka boleh makan apabila mereka lapar.

“Ini lebih baik daripada makanan segera yang mengakibatkan banyak masalah kesihatan dan masalah berat badan,” katanya yang turut mengutamakan pengambilan makanan berkhasiat di kalangan kanak-kanak dan generasi muda.

Buku Mohana seterusnya ialah mengenai pemakanan sihat untuk kanak-kanak yang semakin menjadi tumpuan ibu bapa moden untuk mengelak pengambilan makanan segera menyebabkan peningkatan kes obesiti yang ketara, terutama di kalangan negara maju. Upacara itu turut dihadiri selebriti terkenal Malaysia, Chef Wan yang memenangi anugerah ini pada 2000 menerusi pengalamannya dalam menonjolkan keistimewaan masakan pelbagai kaum di Malaysia di samping resipi masakan antarabangsa.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada anugerah ini pada 2006 yang memperlihatkan semakin minat masyarakat terhadap hobi atau kegiatan memasak.

Kemunculan buku masakan turut menarik minat golongan profesional, terutama suami isteri yang bekerja, untuk memasak pada hujung minggu.

Oleh Zaharah Othman
Berita Harian

Ahad, 13 April 2008

Perlis majukan ladang anggur


KANGAR – Perlis akan menjadikan ladang anggur seluas 9.5 hektar di Bukit Bintang Dua, dekat sini sebagai tarikan pelancongan.

Pengarah Pertanian Perlis, Abdul Razak Shafiai berkata, terdapat lebih 11,000 pokok anggur pelbagai jenis di ladang tersebut yang diusahakan sejak 2005 dan kini memasuki musim penuaian yang ketujuh.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melawat ladang itu semalam yang ditanam lima jenis anggur iaitu White Malaga, Black Opal, Black Queen dan Loose Pleete yang kesemuanya dari Thailand serta IAC dari Taiwan.

Setakat ini, keluaran anggur di ladang itu tidak dipasarkan sebaliknya ia hanya diagihkan kepada tetamu kerajaan negeri yang berkunjung ke Perlis.

– Bernama

Cawangan Universiti al-Azhar di Rembau


REMBAU - Majlis Senat Universiti Al-Azhar, Mesir buat pertama kalinya meluluskan penubuhan cawangan universiti itu di Rembau, satu-satunya di luar Mesir selepas lebih 1,000 tahun ia ditubuhkan.

Cawangan universiti itu akan ditempatkan di Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) dan ia dianggap membuka lembaran baru dalam pendidikan berteraskan Islam di negara ini.

Dekan Kuliyyah Usuluddin Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia, Profesor Dr. Muhammad Abd. Sattar Nasar berkata, pembukaan cawangan universiti itu merupakan satu usaha

mengembangkan ilmu selaras dengan ajaran Islam yang mahukan pendidikan dijadikan sebagai senjata pada masa kini.

"Ini kerana Al-Azhar merupakan jantung kepada pegangan umat Islam di seluruh dunia dan benteng terakhir bagi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menghadapi cabaran tanpa sempadan," katanya selepas majlis peletakan batu asas projek kampus itu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini semalam.

-Kosmo!

Pakar hasil kamus Islam-Kristian 2012


Diatur mengikut mencakupi pelbagai bidang, fahaman

WASHINGTON: Sebuah kamus mengenai persamaan dan perbezaan antara agama Islam dan Kristian kini dirangka oleh tiga penyelidik Amerika Syarikat dengan bantuan sarjana agama, imam, paderi dan pakar antara agama.

"Kami mahu golongan yang bakal menjadi paderi, penuntut sekolah Islam, orang ramai dalam bidang komunikasi, kerajaan dan perniagaan, menyedari kepentingan hubungan antara kedua-dua agama.

"Kamus ini akan bertindak sebagai fokus kepada disiplin hubungan Islam dan Kristian pada peringkat antarabangsa.

"Contohnya, kami berharap ia akan meningkatkan persefahaman antara Islam dan Kristian," kata Pengarah Eksekutif Pusat Wackerlin bagi Agama dan Tindakan Universiti Aurora, Martin Forward, kepada akhbar Vindy.

Kira-kira 60 cerdik pandai agama, imam, paderi dan pakar antara agama dari seluruh dunia memberi sumbangan masing-masing kepada Kamus Hubungan Islam-Kristian yang akan diterbitkan pada 2012 oleh Cambridge University Press.

Kamus berkenaan akan mempunyai sehingga 900 pendaftaran yang diatur mengikut abjad mengenai manusia, tempat, teologi, mazhab, ayat-ayat suci dan teks utama lain. Forward berkata, kamus itu akan menerangkan, sebagai contoh, bagaimana penganut Islam dan Kristian menilai Jesus atau Nabi Isa.

"Bagi penganut Kristian, Jesus meninggal dunia kerana disalib dan dihidupkan kembali. Bagi umat Islam pula, Jesus tiada kena mengena dengan penderitaan.

"Sebaliknya, menurut Islam, Nabi Isa adalah antara rasul dan Baginda adalah anak kepada Maryam, bukan anak Tuhan," katanya.

Di dalam al-Quran, Jesus adalah Nabi Isa dan Baginda juga dikenali sebagai Al-Masih dan Ibn Maryam. Profesor Islam, Scott Alexander, yang juga Pengarah Program Pengajian Katolik-Islam di Kesatuan Teologi Katolik di Chicago dan salah seorang daripada tiga editor kamus itu, berkata ia akan menyediakan perbendaharaan kata biasa bagi dialog antara agama.

"Dialog seumpama ini diadakan di seluruh dunia tetapi tidak begitu diberi perhatian," katanya.

- Agensi

Muxlim.com jadi tumpuan


Laman web Islam diiktiraf antara peniagaan baru terbaik di Eropah

LONDON: Satu laman web Muslim yang menyamai Yahoo, Facebook dan Youtube, diiktiraf sebagai antara syarikat berasaskan teknologi terbaik di Eropah. Laman web sosial Muxlim.com, dipilih menduduki tempat itu oleh satu syarikat media Amerika Syarikat yang berpejabat di California, Red Herring.

Muxlim.com dilancarkan pada 2006 oleh dua usahawan Islam dengan matlamat mewujudkan laman web sosial Muslim paling terkenal di dunia. Dalam tempoh tidak sampai setahun, ia berjaya menarik minat lebih sejuta pengunjung daripada 190 negara di seluruh dunia. Ini termasuk 20 peratus pengunjung dari British Isles atau Kepulauan Britain, 15 peratus dari Eropah dan 35 peratus dari Amerika Syarikat.

"Pengiktirafan yang diberikan kepada kami sebagai salah satu syarikat paling inovatif dan berjaya sememangnya amat bermakna kepada kami mahu pun masyarakat Muslim," kata seorang daripada pengasas yang juga Ketua Pegawai Operasi Muxlim.com, Mohamed El-Fatatry, dipetik satu perkhidmatan media Arab, semalam.

"Matlamat utama kami adalah mewujudkan satu laman web yang mana pengguna Muslim dan bukan Muslim dapat berinteraksi dalam persekitaran yang sihat, selamat dan penuh persahabatan."

Kewujudan laman web sosial yang selamat juga amat penting berikutan kebimbangan ramai ibu bapa yang menaruh prasangka dengan kewujudan beberapa laman web pada masa ini. Malah, satu tinjauan oleh Fakulti Ekonomi Universiti London bertajuk EU Kids Online mendapati, lebih 60 peratus kanak-kanak secara tidak sengaja didedahkan kepada bahan lucah secara dalam talian. Di kalangan kanak-kanak Amerika pula, angka itu mencecah 42 peratus.

"Kami menyedari ramai pengguna internet, khususnya ibu bapa mahukan pengalaman melayari internet yang selamat untuk anak-anak mereka. Kandungan yang selamat, tiada kata-kata kesat atau maki hamun mahu pun bahan lucah.

"Tetapi pada masa sama, mereka juga mahukan laman web sosial yang ceria dan menarik. Muxlim.com merangkumi semua ciri-ciri itu dan kami terbukti berjaya mewujudkan masyarakat pengguna yang mesra dan kelakar.

Lebih menarik lagi, kami baru saja mewujudkan Muxlim TV yang membolehkan pengguna berkongsi video masing-masing," kata El-Fatatry.

Katanya, dalam masa beberapa minggu lagi, satu lagi perkhidmatan baru, My Muxlim yang menyamai MySpace, akan dilancarkan. Ia menjadi laman web pertama Muslim yang membolehkan pengguna mewujudkan laman web mereka sendiri yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan.

- Agensi

Pub khas untuk Muslim


Pemilik Halal Inn, Azizur Rahman (kiri) dan rakan kongsinya, Muzahaid Khan.

Halal Inn jadi kelab pertama bebas pengaruh alkohol di Britain

LONDON: 'Halal Inn' adalah pub pertama untuk orang Islam di Britain. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan ada snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang berbeza ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain. Malah, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan.

Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan.

Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar.

"Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka.

"Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.

Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol.

"Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."

Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta menetapkan matlamat menjadi juara pertama. Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja.

"Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.

Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol.

"Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya.

- Agensi