Ahad, 20 April 2008

Warga Kota Singa tertekan


Penekanan terhadap kebendaan punca kehidupan tidak lengkap

SINGAPURA: Singapura pada dasarnya mempunyai kekayaan dari segi kebendaan tetapi miskin dari segi rohani dan kerajaan perlu dipersalahkan sebagai sebahagian puncanya, kata seorang daripada penulis terkenal di sini. Catherine Lim, yang juga pengulas politik, antara segelintir warga negara itu yang mengkritik kerajaan secara terbuka bagi masyarakat termaju di Asia Tenggara.

Lim berkata, ketika Singapura diiktiraf mempunyai kedudukan tinggi dalam pelbagai tinjauan berhubung soal kebendaan seperti keramahan berniaga dan pencapaian ekonomi, tempat mereka rendah dalam aspek lain.

"Kebebasan akhbar, kebahagiaan malah percintaan dan sebagainya, Singapura berada di kedudukan paling rendah," kata Lim dalam temuramah.

"Mungkin ia menjurus kepada beberapa perkara. Adakah kita membayar harga tertentu untuk mencapai semua kemakmuran material? Adakah perkara itu adalah jiwa, rohani, hati, deria, apa saja yang anda boleh sebut?"

Katanya, kawalan politik ketat kerajaan sebahagiannya dipersalahkan kerana menjadi punca kurangnya kebahagiaan di kalangan 4.6 juta penduduk republik itu.

"Jika kurangnya kadar ketakutan itu (dari segi politik)...kami mungkin menjadi masyarakat lebih bahagia," katanya. Singapura adalah satu daripada negara politik paling stabil di rantau ini dan menjadi tapak ribuan syarikat asing.

Pemimpin negara itu berkata, undang-undang ketatnya terhadap penentangan dan aktiviti politik lain amat perlu untuk memastikan kestabilan yang membantunya mencapai kejayaan ekonomi. Sebagai contoh, adalah menyalahi undang-undang untuk mengadakan perhimpunan umum lima atau lebih orang di negara ini tanpa permit, bermakna tunjuk perasaan jarang berlaku.

Pemimpin Singapura menegaskan demokrasi liberal ala Barat tidak sesuai bagi negara kecil berbilang bangsa yang diperintah Parti Tindakan Rakyat sejak 1959 itu. Tetapi, Lim juga berpendapat bahawa kerajaan mengambil tindakan lebih baik berbanding pihak lain dalam membantu menangani isu material termasuk kenaikan harga makanan global.

"Ini ialah kerajaan pro-aktif...sangat pragmatik, kepimpinan penyelesai masalah," kata Lim, 66, yang dilahirkan di Malaysia.

"Masalah wujud di kawasan lain, kebebasan politik dan sosial yang kami tidak banyak dengar di Singapura," katanya ketika ditemui pada persidangan The New Science of Happiness and Well-being.

Singapura diletakkan di tempat terendah dalam tinjauan global mengenai kekerapan dan kepuasan melakukan hubungan seks. Tinjauan baru-baru ini oleh firma Grey Group mendapati sembilan daripada 10 penduduk yang tinggal di negara ini memberitahu mereka dalam keadaan tertekan.

"Kami perlu masa untuk berehat. Rakyat Singapura selalunya bercakap mengenai tekanan. Kita memperoleh wang, tetapi kita tidak mempunyai kebebasan untuk membelanjakan wang itu," kata Lim.

- AFP