Ahad, 20 April 2008

Pemilihan ahli suruhanjaya kena elak kontroversi


PENGUMUMAN penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah yang sistematik dan berwibawa seperti diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam kelmarin, membuka lembaran baru bagi badan kehakiman negara. Ini sudah pasti membantu memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu. Menurut Abdullah, badan itu akan mengenal pasti dan mencadangkan nama calon bagi pelantikan hakim kepada Perdana Menteri berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Walaupun mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri mempunyai hak untuk mengemukakan cadangan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, suruhanjaya itu akan membantu menilai dan memilih calon menggunakan kaedah yang sistematik dan wibawa berdasarkan kriteria diperincikan secara jelas. Ini bermakna, kerajaan mahu perubahan dibuat dalam proses mencalon, mengendalikan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim supaya ia lebih telus dan menyeluruh. Kita tentu ingat peristiwa 1988 yang menimbulkan banyak percanggahan bagaimana untuk terus bergerak dan kerana itu sebaik menjadi Perdana Menteri pada 2003, Abdullah berjanji mewujudkan sistem kehakiman yang berwibawa, efektif dan bebas. Malah, kerajaan turut mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988 itu. Hakikatnya, penubuhan suruhanjaya itu adalah selari dengan kemajuan dunia hari ini. Banyak negara maju dan sedang membangun mempunyai suruhanjaya khas untuk mengendalikan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

Sebagai contoh, United Kingdom melakukan pembaharuan Perlembagaan dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi England dan Wales dengan 15 ahli iaitu lima ahli kehakiman, dua profesional guaman, enam orang awam, seorang hakim bersara dan seorang ahli biasa. Begitu juga Perancis dengan 12 ahli, Itali (33 ahli), Sepanyol (21 ahli), Portugal (17 ahli), Afrika Selatan (23) dan Belanda (lima) manakala di Amerika Syarikat, ahli suruhanjaya peringkat persekutuan dinilai Jawatankuasa Persatuan Majlis Peguam diikuti penilaian semula oleh Jawatankuasa Kehakiman Senat, sebelum undian di Senat. Ini bermakna, Malaysia sudah mengikut arah aliran di seluruh dunia. Pendedahan rakaman klip video perbualan antara Datuk V K Lingam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim, memperlihatkan apa yang berlaku dalam sistem kehakiman negara dan 'kekotoran' itu perlu dibersihkan. Bagaimanapun, kerajaan belum lagi mengumumkan keahlian Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Apakah ia nanti akan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, bekas hakim kanan atau bekas Ketua Hakim Negara, wakil Majlis Peguam dan orang awam yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat serta mempunyai latar belakang undang-undang? Keanggotaan itu perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati. Misalnya, jika wakil Majlis Peguam boleh memilih hakim, sistem itu mungkin boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan hakim akan rasa tertekan kerana peguam yang mengendalikan kes di depannya boleh mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkatnya. Jika pandangan ini diterima, ia juga memberi andaian hakim akan turut berasa tertekan dan takut kepada Perdana Menteri kerana beliau juga yang mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkat hakim. Apapun, penubuhan suruhanjaya itu bermakna kerajaan sedar ia memang perlu bagi memastikan bidang kehakiman mempunyai kewibawaan tinggi dan sistem kehakiman di negara ini boleh bertindak dari segi membuat keputusan dengan cepat dan hakim yang mempunyai kewibawaan dan kebolehan tinggi dilantik pada pelbagai peringkat.

Berita Harian