Saintis dakwa gempa bumi terbesar akibat pembentukan tekanan
LOS ANGELES: Sekumpulan saintis mendakwa California sememangnya hampir pasti dilanda satu gempa bumi besar yang membawa kemusnahan besar dalam masa 30 tahun lagi. Kenyataan saintis termasuk penyelidik Universiti Southern California itu menjadi ramalan geologi paling komprehensif bagi negeri Amerika Syarikat berkenaan.
Mereka mendakwa California sememangnya berdepan risiko 99 peratus dilanda gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter pada 30 tahun lagi yang menyamai saiz gempa bumi Northridge pada 1994. Andaian itu dibuat berdasarkan kajian terkini menggunakan data mutakhir serta analisis kemungkinan berlakunya gempa bumi di sekitar negeri itu.
Analisis itu juga mendapati hampir 50 peratus peluang California digegarkan gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang sudah pasti mampu mencetuskan kemusnahan besar jika ia berpusat di bawah bandar raya besar seperti Los Angeles atau San Francisco.
"Kita perlu bersedia dari sekarang kerana bakal dilanda gempa bumi besar sedemikian," kata Tom Jordan, Pengarah Pusat Gempa Bumi universiti itu.
Kajian bersama Pihak Geologikal Amerika, Pusat Gempa Bumi Selatan California dan Pusat Tinjauan Geologikal California amat penting kerana ia buat pertama kalinya membentangkan kemungkinan yang bakal berlaku. Ia juga mewakili kajian paling menyeluruh pernah dilaksanakan di California dan akan digunakan agensi berkaitan sebagai asas penetapan kadar insurans.
"Ukuran yang mencecah 7.5 pada skala Richter sememangnya amat besar. Jika itulah yang melanda kawasan lingkaran Jaluran San Andreas, ia pasti membawa kemusnahan besar. Ini kerana ia membabitkan kejadian gempa yang merangkumi kawasan berukuran 322 kilometer dan perubahan setinggi 3.6 meter.
"Andai itu yang berlaku di kawasan seperti Los Angeles, sudah pasti ia membabitkan masalah yang amat besar," tegasnya.
Jordan berkata, risiko gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter melanda kawasan Selatan California adalah 37 peratus berbanding 15 peratus di utaranya. Ini disebabkan kejadian gempa bumi di San Francisco pada 1906, ternyata melepaskan tekanan yang terbentuk di San Andreas. Kejadian gempa bumi pada 1906 itu dipercayai berukuran kira-kira 7.8 pada skala Richter atau lebih tinggi.
Gegaran terakhir membabitkan saiz sama di selatan California berlaku pada 1857 manakala di Jaluran San Andreas tidak menyaksikan kejadian sedemikian sejak 1680.
"Jaluran di kawasan itu membentuk tekanan sepanjang masa ini yang memungkinkan gempa bumi besar itu boleh berlaku," katanya.
-Reuters