Rabu, 16 April 2008

Tumpuan sektor pertanian atasi kesan kenaikan harga makanan


BANK Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) sudah memberi amaran krisis pemakanan global akan berlanjutan terutama di Asia, Afrika dan Amerika Selatan, berikutan kekurangan bekalan dan kenaikan harga komoditi itu. Malah, agensi berita asing melaporkan krisis kekurangan bekalan dan peningkatan mendadak harga makanan utama dunia termasuk beras dan gandum terus meruncing dan boleh mencetuskan inflasi ketika Bank Dunia memberi amaran masalah itu boleh menyebabkan 100 juta penduduk seluruh dunia bakal menjadi lebih miskin. Badan dunia turut memberi amaran kenaikan harga roti, beras, susu, minyak masak dan barang keperluan lain yang semakin ketara, dijangka berlanjutan meskipun ada usaha meningkatkan pengeluaran makanan itu. Amaran itu disuarakan ketika sekurang-kurangnya 33 negara di benua Afrika, Amerika Latin dan Asia seperti di Mesir, Haiti, Indonesia, Zimbabwe, Bangladesh, Filipina, Burkina Faso, Mauritania dan Peru berdepan kesukaran memperoleh makanan akibat harga terlalu mahal sehingga mencetuskan rusuhan ganas yang meragut nyawa. Bagi tempoh 2005-2007, harga gandum dunia meningkat 70 peratus, jagung 80 peratus dan produk tenusu, naik dua kali ganda sebanyak 90 peratus. Harga beras dunia pula kini berada pada paras AS$780 (RM2,464) satu tan berbanding AS$360 (RM1,137) satu tan pada akhir tahun lalu. Harga itu dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) satu tan dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.

Keadaan global itu juga memberi tempias kepada negara kita sehingga harga beras di seluruh negara dikatakan mencatat kenaikan mendadak antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad lalu. Pemantauan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara, termasuk di Lembah Klang. Peningkatan harga itu perlu dibendung segera supaya tidak membebankan rakyat. Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, dipetik sebagai berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan. Katanya, stok beras negara dijangka tidak berkurangan kerana hasil padi kini dituai di beberapa tempat seperti di Kelantan, manakala padi di Kedah dalam proses penanaman semula bagi memastikan simpanan beras negara sentiasa mencukupi. Bagi jangka masa pendek, ia mungkin tidak menimbul masalah, tetapi kerajaan perlu merangka pelan jangka panjang supaya kita tidak terus mengimport bukan saja beras, malah barang makanan lain, yang sebenarnya boleh diusahakan sendiri oleh rakyat kita. Bayangkan, hingga kini Malaysia masih mengimport 28 peratus atau kira-kira 600,000 tan beras setahun dari beberapa negara seperti Thailand dan Vietnam. Memang benar, Bernas sebagai agensi tunggal membawa masuk beras boleh membuat perjanjian jangka panjang dengan pembekal seperti dari Thailand dan Vietnam, tetapi kita mahu rakyat kita sendiri mengusahakannya bagi mengelak kerugian tukaran asing dan kesan kenaikan harga beras dunia. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) misalnya yang menyumbang 40 peratus daripada keperluan beras negara, perlu memperhebatkan program peningkatan hasil padi. Usaha meningkatkan pengeluaran seharusnya dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan dan petani dengan memastikan wujudnya prasarana yang menyokong seperti sistem pengairan, teknologi penanaman serta benih berkualiti.

Berita Harian