Khamis, 17 April 2008

Wanita tempatan jangan mudah terpedaya jerat sindiket dadah


SEKALI lagi kita dikejutkan dengan pembabitan wanita negara ini sebagai ejen pengedar sindiket dadah antarabangsa. Terbaru, dilaporkan kira-kira 20 gadis tempatan dikurung kumpulan sindiket di Madrid, Sepanyol untuk dijadikan 'keldai pembawa dadah' sebelum diedarkan ke pasaran Eropah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pembabitan wanita tempatan terutama pelajar dengan sindiket dadah yang menjanjikan habuan lumayan semakin meningkat dan membimbangkan. Walaupun pelbagai usaha, termasuk kempen kesedaran berhubung sindiket itu dilaksanakan di pusat pengajian tinggi tempatan, jumlah wanita yang ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah masih berterusan. Kita berharap semua pihak berkenaan dapat duduk semeja dan sama-sama memikirkan langkah terbaik bagi menangani masalah yang semakin serius itu. Kerajaan, agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain pihak pengurusan universiti perlu mencari jalan bagi menangani masalah ini.

Tanpa kita disedari, sindiket berkenaan mewujudkan rangkaian di negara ini dengan gerakan cukup licik dan terancang. Kita harus sama-sama bertanggungjawab menyelesaikannya. Kita tidak mahu negara luar menuding jari dengan menyebut Malaysia kini menjadi pangkalan pengedaran dadah antarabangsa. Berdasarkan rampasan dadah sintetik berjumlah RM44 juta di Johor baru-baru ini, yang didalangi warga asing termasuk dari Amerika Latin, selain pembabitan gadis tempatan menjadi pembawa dadah ke pasaran antarabangsa, ruang untuk kita menafikan pandangan berkenaan agak longgar. Bagi menjaga imej negara, kita mungkin boleh menafikannya, namun hakikat yang berlaku di depan mata perlu kita tangani secara serius. Kuala Lumpur kini dikatakan menjadi pilihan pelbagai kumpulan sindiket asing, termasuk pengedaran dadah antarabangsa dan mereka tidak takut kerana mempunyai modus operandi yang cukup licik, sedangkan pihak berkuasa kita masih teraba-raba untuk mengesan dan membanterasnya. Kita berharap pihak berkuasa polis dan kastam dapat memikirkan cadangan menghantar lebih ramai pegawai mengikuti latihan di Eropah atau Amerika Syarikat yang mempunyai pengalaman luas berdepan kumpulan mafia dalam usaha banteras sindiket dadah antarabangsa. Pengalaman berpuluh tahun negara terbabit yang sehingga kini masih berterusan membasmi penyeludupan dadah, perlu kita pelajari kerana operasi rangkaian sindiket berkenaan sudah menular di negara kita. Begitu juga pengawasan di pintu masuk utama negara, baik lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan diperketatkan, di samping mempertingkatkan teknologi dan sumber perisikan bagi memastikan penyeludupan dadah keluar negara terus terkawal.

Kita percaya sindiket terbabit melihat kelompangan tertentu dalam sistem penguatkuasaan negara menyebabkan mereka berani beroperasi di sini, selain mengandaikan pihak berkuasa kurang pengetahuan dan pengalaman dalam memahami modus operandi mereka. Tambahan pula, imej positif Malaysia di arena antarabangsa terutama pemegang pasport antarabangsa Malaysia yang mudah diterima negara luar memudahkan sindiket terbabit mengeksploitasi sikap 'rambang mata' wanita negara ini untuk menjadi ejen penghantaran dadah mereka. Akibatnya, mereka terperosok dalam penjara di negara di mana mereka ditahan seperti China, Jepun dan beberapa negara di Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Sudah sampai masanya rakyat tempatan, khususnya remaja mengetahui taktik dan helah sindiket berkenan bagi mengelak mereka terjebak kerana amat sukar bagi kerajaan untuk membantu jika mereka ditahan di negara asing yang turut mempunyai undang-undang antidadah yang ketat.

Berita Harian