KUANTAN: Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sedia menawarkan diri untuk dihantar menjalani misi angkasa ke planet Marikh selama hampir dua tahun walaupun terpaksa berdepan risiko kehilangan nyawa. Beliau berkata, menjadi angkasawan menyebabkannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang bakal berlaku termasuk 'tidak dapat kembali semula ke bumi'.
"Misi ke Marikh mengambil masa 18 bulan iaitu masing-masing enam bulan untuk perjalanan pergi dan balik, selain perlu berada di planet itu selama enam bulan.
"Kajian sebelum ini menunjukkan ada air di Marikh dan ini sesuatu yang menarik. Jika ada tempat, saya sanggup pergi ke Marikh walaupun ia dianggap sebagai tiket sehala (mungkin tidak kembali ke bumi)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam majlis Sepagi Bersama Angkasawan Negara di kampus UMP, dekat sini semalam. Difahamkan, misi ke Marikh, yang akan membawa lima hingga enam angkasawan terpilih dari seluruh dunia, akan dilancarkan bagi tempoh 2016 hingga 2020.
Russia sudah menghantar jemputan kepada Malaysia untuk terbabit dalam misi itu dan menghantar calon angkasawan berkelayakan menjalani latihan khas selama kira-kira 500 hingga 600 hari. Jarak antara Marikh ke bumi dianggarkan antara 55.7 juta hingga 401.3 juta kilometer dan perjalanan ke planet ke empat dari matahari itu dikatakan mengambil masa sehingga 250 hari.
Dr Sheikh Muszaphar berkata, selepas berjaya menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober tahun lalu, dia kini menyimpan dua lagi cita-cita yang perlu dipenuhi iaitu mahu menjadi juruterbang dan membantu kanak-kanak malang di Afrika.
"Saya menetapkan sasaran memiliki lesen juruterbang pada 2013 kerana itu antara impian peribadi saya.
"Sekarang jadual harian saya ketat dan masih belum mendaftar untuk menjalani latihan membawa kapal terbang," katanya.
Mengulas ketahanan mental dimilikinya sehingga berjaya melepasi pelbagai halangan untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar berkata, dia juga berasa sedih jika sesuatu yang menyentuh hati berlaku dalam hidupnya.
"Kejayaan meneroka angkasa menyebabkan perspektif hidup saya berubah, malah menjadi lebih kental dan tidak peduli lagi perkara remeh-temeh yang berlaku di sekeliling saya.
"Bagaimanapun, saya akui menangis selama tiga hari apabila adik, Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie atau Ajil, meninggal dunia pada 22 Oktober tahun lalu.
"Allahyarham sangat rapat dengan saya, tetapi saya tidak sempat bertemu dengannya, malah tidak dapat menyaksikan majlis pengebumian jenazahnya," katanya.
Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar berkata, setakat ini buku bertajuk Reaching For The Stars hasil karya Allahyarham adiknya itu sudah dijual melebihi 15,000 naskhah.
"Semua hasil jualan buku ini disalurkan kepada dana untuk membantu dua anak Allahyarham, Sheikh Aiman, 3, dan Balkish,1.
"Saya harap orang ramai boleh mengetahui akrabnya hubungan kami sekeluarga apabila membaca karya Ajil, terutama penghargaannya yang begitu tinggi apabila saya berjaya menjadi angkasawan negara," katanya.
Berita Harian