Biranchi Das dan Budhia
NEW DELHI - Seorang jurulatih di India yang mencetuskan kontroversi apabila melatih seorang kanak-kanak lelaki dalam perlumbaan maraton bagi mencipta satu rekod dunia mati ditembak di timur India, kata seorang anggota polis semalam.
Jurulatih itu, Biranchi Das dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Budhia Singh menjadi selebriti apabila kanak-kanak tersebut cuba berlari sejauh 70 kilometer dalam satu perlumbaan maraton pada tahun 2006.
Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Das telah didakwa mendera pelari muda itu selepas ibunya mendapati beberapa parut di badan kanak-kanak tersebut.
Seorang pegawi polis, Amitabh Thakur berkata, Das ditembak oleh lelaki bersenjata di luar pusat latihannya di bandar Bhubaneshwar lewat kelmarin.
Thakur turut berkata, Das, 40, mungkin terlibat dalam satu perbalahan dengan beberapa penjenayah tempatan.
Selain itu, kes penderaan yang dilakukan oleh Das tidak dibicarakan disebabkan proses perbicaraan tersebut memakan masa selama beberapa tahun di India dan dia dibebaskan dengan ikat jamin.
Jurulatih itu juga menafikan segala dakwaan terhadapnya dan berkata dia berjaya menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu daripada dijual oleh ibunya kepada seorang penduduk dengan harga AS$15 (RM47).
- AP