LONDON - Mayat pengacara program televisyen kanak-kanak terkenal, Mark Speight (gambar) ditemui tergantung di sebuah stesen kereta api di London Barat pagi kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia dipercayai menggantung diri di sebuah ruang tersorok di stesen tersebut sejak beberapa hari lalu dan para pekerja kereta api menemui mayatnya.
Speight mengalami kemurungan dan kekecewaan teruk selepas tunangnya seorang aktres televisyen, Natasha Collins, 31, ditemui mati bersama sejumlah dadah di dalam tab mandi pada Januari lalu.
Selebriti itu dilihat kali terakhir berada di stesen kereta api bawah tanah Queen's Park, barat laut London pada minggu lalu dan satu sumber polis pula menyatakan mayat Speight ditemui tidak jauh dari kawasan berkenaan.
Ibu bapa Speight, Jacqueline dan Oliver kelmarin meluahkan kesedihan mereka berikutan kematiannya.
Speight meletak jawatan sebagai pengacara siri kanak-kanak SMart yang diterbitkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pada Februari lalu.
Dia pernah ditahan oleh dua pegawai polis berhampiran Kilburn kerana kelihatan sangat murung dan mahu menghubungi doktor tetapi Speight menjelaskan dirinya berada dalam keadaan baik sebelum dilepaskan pihak berkuasa.
Speight dijadualkan bertemu dengan ibu teman wanitanya, Carmen tetapi dia tidak pernah tiba manakala telefon bimbitnya dimatikan.
Polis Pengangkutan Britain enggan memberi tahu tempat sebenar mayat Speight dijumpai tetapi mengesahkan ia tidak dilanggar oleh kereta api.
- Agensi