Isnin, 14 April 2008

Tulang bantu ramal usia


Peralatan saintifik boleh jangka hayat fungsi umum seseorang

NEW YORK: Proses penuaan memang tidak mampu dihentikan tetapi ia boleh diramalkan, seperti dikemukakan oleh kajian baru, yang membayangkan orang ramai pada masa depan mungkin dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan lebih sihat. Penyelidik di Universiti Tel Aviv menjalankan kajian berkenaan dan mendapati kepantasan seseorang itu menjadi tua sebenarnya tertulis di tulang individu berkenaan kerana proses penuaan fizikal amat dipengaruhi genetik.

Mereka turut membangunkan penanda biologikal yang mewakili usia tulang tubuh.

Ketua penyelidik dari Universiti Boston, Leonid Kalichman berkata: "Petunjuk baru, osseographic score (OSS), ini boleh digunakan oleh doktor sebagai peralatan saintifik bagi meramalkan jangka hayat dan fungsi umum seseorang.

"Jika doktor boleh menentukan seseorang itu menjadi tua lebih cepat secara biologi daripada yang sepatutnya, langkah seperti pengambilan vitamin tambahan dan senaman dapat membantu melambatkan proses itu," katanya.

Beliau berkata, ketika penanda biologi berbeza seperti uban, kedutan atau keanjalan kulit boleh membantu kita menganggar usia biologi seseorang, penampilan seperti ini sukar dijumlahkan tetapi dengan penanda bio OSS, dan rawatan pada usia muda, pada umur 90 tahun, seseorang bertenaga seperti baru berusia 30. Beliau meramalkan proses penuaan biologi akan menjadi topik hangat dalam kajian pada tahun akan datang, terutama di dunia Barat yang menyaksikan penduduknya hidup lebih lama berbanding sebelum ini.

Dalam kajian mereka, penyelidik menyiasat tulang kira-kira 400 keluarga Russia - 787 lelaki, 18 hingga 89 tahun, dan 723 wanita, 18 hingga 90 tahun. Hasil menunjukkan kedua-dua golongan itu mewarisi corak penuaan berbeza. Pada lelaki, gen menunjukkan lebih berkemungkinan untuk mempengaruhi betapa pantas mereka akan tua. Bagi wanita pula, gen lebih berkemungkinan membayangkan pada usia berapa perubahan ketara pada tulang akan mula muncul, lapor Science Daily.

Hasil kajian baru ini akan menyertai siri peralatan lain yang digunakan saintis yang menyelidik proses penuaan dan cara mengatasinya.

"Pada akhirnya, harapan doktor dan saintis cuma untuk membantu orang ramai berfungsi dengan lebih baik berbanding usia kronologi - usia yang tertulis dalam pasport," kata Kalichman.

- Agensi