Memaparkan catatan dengan label AV. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AV. Papar semua catatan

Isnin, 14 April 2008

Pengacara TV ditemui mati tergantung


LONDON - Mayat pengacara program televisyen kanak-kanak terkenal, Mark Speight (gambar) ditemui tergantung di sebuah stesen kereta api di London Barat pagi kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia dipercayai menggantung diri di sebuah ruang tersorok di stesen tersebut sejak beberapa hari lalu dan para pekerja kereta api menemui mayatnya.

Speight mengalami kemurungan dan kekecewaan teruk selepas tunangnya seorang aktres televisyen, Natasha Collins, 31, ditemui mati bersama sejumlah dadah di dalam tab mandi pada Januari lalu.

Selebriti itu dilihat kali terakhir berada di stesen kereta api bawah tanah Queen's Park, barat laut London pada minggu lalu dan satu sumber polis pula menyatakan mayat Speight ditemui tidak jauh dari kawasan berkenaan.

Ibu bapa Speight, Jacqueline dan Oliver kelmarin meluahkan kesedihan mereka berikutan kematiannya.

Speight meletak jawatan sebagai pengacara siri kanak-kanak SMart yang diterbitkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pada Februari lalu.

Dia pernah ditahan oleh dua pegawai polis berhampiran Kilburn kerana kelihatan sangat murung dan mahu menghubungi doktor tetapi Speight menjelaskan dirinya berada dalam keadaan baik sebelum dilepaskan pihak berkuasa.

Speight dijadualkan bertemu dengan ibu teman wanitanya, Carmen tetapi dia tidak pernah tiba manakala telefon bimbitnya dimatikan.

Polis Pengangkutan Britain enggan memberi tahu tempat sebenar mayat Speight dijumpai tetapi mengesahkan ia tidak dilanggar oleh kereta api.

- Agensi

Khamis, 10 April 2008

Toni Braxton jatuh sakit


PENYANYI terkenal, Toni Braxton terpaksa dimasukkan ke wad hospital di Las Vegas, Isnin lalu kerana tiba-tiba diserang sesak nafas.

Kata jurucakapnya, Toni, 40, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa dia sedang sakit. Ketika tiba-tiba mengadu sesak nafas, penyanyi yang terkenal dengan lagu Un-Break My Heart itu sudah menandatangani kontrak mengadakan persembahan untuk lima malam di Flamingo Hotel & Casino di Las Vegas.

"Kami harap Toni akan cepat sembuh. Dia mungkin perlukan sedikit masa untuk kembali stabil. Kami benar-benar berharap dia boleh kembali menyanyi seperti biasa," lapor New York Daily News berhubung satu kenyataan yang diberikan oleh Don Marrandino, presiden hotel berkenaan.

Punca sesak nafas yang dialami oleh Toni masih belum diketahui. Walau bagaimanapun, sebelum ini Toni pernah diserang sejenis komplikasi jantung, ketika itu dia baru sahaja melahirkan anak keduanya.

-Kosmo!

"Media sangat teruk"


AKTRES terkemuka, Gwyneth Paltrow menghentam pihak media yang disifatkannya keterlaluan dan menjadi penyebab kehancuran hidup penyanyi yang penuh kontroversi, Britney Spears.

Gwyneth juga mendakwa, media bertanggungjawab terhadap gangguan mental yang sedang dialami oleh Britney ketika ini.

Kata Gwyneth, dia sangat memahami keadaan Britney yang tertekan kerana dihantui oleh paparazzi.

Dia sendiri pernah berdepan situasi yang sama ketika berkahwin dengan Chris Martin daripada kumpulan Coldplay yang menjadi bahan spekulasi media.

Bagaimanapun, situasinya itu tidak seteruk apa yang dilalui oleh Britney yang sekejap okey dan sekejap tidak dengan seorang jurugambar, Adnan Ghalib ketika ini.

"Lihatlah apa yang telah media lakukan terhadap Britney, mereka seolah-olah memiliki pisau yang bila-bila sahaja boleh menikam Britney. Kerana mereka, Britney menjadi gila," katanya kepada Contactmusic, baru-baru ini.

Tambah Gwyneth juga: "Britney mengidap satu sindrom yang dikenali sebagai Stockholm Classic. Dia jatuh cinta dengan paparazzi dan jadi gila. Pihak media sebenarnya sangat teruk."

-Kosmo!

Pete Doherty dipenjara 14 minggu


PENYANYI utama kumpulan rock terkenal, Babyshambles, Pete Doherty dijatuhkan hukuman penjara 14 minggu oleh Mahkamah Majistret Barat London, Selasa lalu.

Pete didapati bersalah kerana melanggar undang-undang termasuklah penggunaan dadah dan meninggalkan pusat pemulihan tanpa kebenaran.

Peguam kepada Pete, Sean Curran menjelaskan, penyanyi muda itu seboleh-bolehnya tidak mahu dipenjarakan.

"Tapi dia kena sedar bahawa dirinya bukanlah malaikat. Saya pasti dia akan selamat dan keluar tidak lama lagi," beritahu peguam berkenaan.

Kerana sikap buruk dan tidak mampu keluar dari ketagihan dadah ini, konsert Babyshambles yang dijadualkan berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 26 April ini juga terpaksa dibatalkan.

-Kosmo!

Selasa, 8 April 2008

Depp selamatkan krew filem


AKTOR Johnny Depp membuktikan bahawa dia bukan setakat hero di layar perak apabila dia tidak mempedulikan bahaya dengan berusaha menyelamatkan beberapa orang krew filem yang tersangkut dan terhimpit di bawah sebuah kereta dalam satu insiden di lokasi penggambaran filem terbarunya, Public Enemies, di Washington, Amerika Syarikat.

Ketika penggambaran, pelakon berusia 44 tahun ini sedang menjayakan babak tembak-menembak dalam satu rompakan bank. Kemudian seorang pelakon stunt yang memandu sebuah kereta Ford tersasar dari laluan dan terbabas menyebabkan sekumpulan pelakon tambahan dan krew yang berada berhampiran terjatuh dan dihimpit kereta berkenaan.
Dengan tidak berfikir panjang, Depp melompat dari tempat duduknya dan terus membantu mengeluarkan krew-krew berkenaan.

"Johnny tidak pedulikan statusnya sebagai pelakon kelas A, dia bersungguh-sungguh menyelamatkan keadaan walaupun itu bukan tugasnya," lapor satu sumber kepada Contactmusic yang turut menyaksikan kejadian itu di depan matanya.

-Kosmo!

Isnin, 7 April 2008

Plot filem terbaru James Bond


PERISIK terkenal Britain, James Bond sebelum ini tampil dengan watak tegap dan gagah tetapi dalam filem terbarunya, dia menjadi putus asa selepas kecewa dalam percintaannya.

Penggambaran filem terbaru Bond, Quantum of Solace kini sedang dilakukan di sebuah bandar di utara Chile.

Aktor popular, Daniel Craig sekali lagi melakonkan watak perisik terkenal itu selepas kejayaan filem Casino Royale yang merupakan filem pertamanya sebagai Bond.

Bagaimanapun, watak perisik yang dicipta oleh penulis novel terkenal Britain, Ian Fleming itu kali ini mempunyai perwatakan berlainan dengan watak-watak Bond sebelum ini.

"Bond telah kehilangan cinta dalam filem terbaru kali ini dan perkara terakhir yang diketahui ialah kekasihnya itu juga belot," kata Craig.

Dalam filem Casino Royale, Bond yang baru memulakan kariernya sebagai penyiasat jatuh cinta dengan seorang perisik, Vesper Lynd yang dilakonkan oleh aktres terkenal, Eva Green.

Menurut Craig, pembelotan serta kematian Lynd memberi kesan yang mendalam pada Bond dan filem terbaru ini dia perlu mencari kebenaran untuk meneruskan kehidupannya.

"Dia mempunyai satu persoalan dalam hatinya yang perlu dirungkai dan selagi ia tidak terjawab, Bond terus merana.

"Filem ini juga merupakan permulaan kepada satu penemuan," ujarnya.

Filem ini juga masih menerapkan ciri-ciri filem Bond yang penuh dengan aksi turut menjalani penggambaran di beberapa negara seperti di Austria, Haiti dan Itali.

Dalam edisi kali ini, Bond akan mengembara di seluruh dunia untuk menjejaki ketua satu organisasi penjenayah, Dominic Greene yang dilakonkan oleh Mathieu Amalric.

Greene merancang menguasai sumber semula jadi yang banyak di Bolivia dengan menyokong satu rampasan kuasa di negara Latin Amerika itu.

Filem Bond juga tidak akan lengkap tanpa mempunyai perisik yang jelita dan kali ini model dan aktres kelahiran Ukraine, Olga Kurylenko akan melakonkan watak Camille.

Krew penggambaran Quantum of Solace berada di Chile sejak minggu lalu selepas sebulan setengah bekerja di Panama dan Mexico.

Di Chile, penggambaran tertumpu di sebuah balai cerap di Cerro Paranal di mana ia dijadikan pusat operasi oleh organisasi penjenayah.

"Lihatlah di sekeliling tempat ini, anda tidak boleh menemui pemandangan seperti ini di mana-mana tempat di seluruh dunia," tambah Craig.

Kedatangan krew itu juga mencetuskan perasaan seronok di kalangan para saintis di balai cerai yang terletak di kawasan pergunungan pada ketinggian 2,400 meter dari aras laut.

"Ia merupakan satu minggu yang sungguh istimewa," kata pentadbir balai cerap Paranal, Frank Ruseler.

Bagaimanapun, penggambaran filem itu dilakukan di luar balai cerap yang menempatkan teleskop antara paling berkuasa di dunia.

Pengarah filem Bond, Marc Foster berkata, kali pertama dia melihat balai cerap itu di internet, dia merasakan ia adalah lokasi paling sesuai untuk babak pertarungan antara ketua penjenayah dan Bond.

"Setiap lokasi yang dipilih mempunyai karakternya yang tersendiri," katanya.

- AFP

Khamis, 3 April 2008

Filem Pakistan pertama ditayang di India


MUMBAI - Filem popular Pakistan, Khuda Kay Liye mula ditayangkan hari ini di seluruh India iaitu yang pertama sejak empat dekad lalu, kata pengarahnya, Shoaib Mansoor.

Filem itu dibintangi oleh aktor terkenal Pakistan, Shan, model Iman Ali dan Naseeruddin Shah yang memegang watak sebagai seorang ulama.

Ia yang diterbitkan oleh Geo Films itu mengisahkan dua beradik pemuzik pop di Lahore, Pakistan di mana seorang daripadanya terpengaruh dengan kumpulan pelampau manakala seorang lagi ditahan di Amerika Syarikat ketika berada di negara tersebut.

Filem yang dilaporkan melibatkan kos sebanyak AS$1.5 juta (RM4.7 juta) itu sekali gus menunjukkan berakhirnya perang dingin antara kedua-dua buah negara sejak 1965.

Filem yang ditayangkan pada tahun lalu di Pakistan itu turut memenangi anugerah khas juri pada Festival Filem Antarabangsa ke-31 di Kaherah pada Disember tahun lalu.

- AFP

Cara Ziyi belajar bahasa Inggeris


PENYANYI rap terkenal, Eminem bukan merupakan tutor pilihan utama tetapi aktres terkenal China, Zhang Ziyi yang berlakon dalam filem Hero and House of Flying Daggers mempelajari bahasa Inggeris daripadanya.

Ziyi mendengar lagu-lagu penyanyi rap yang berasal dari Detroit itu menerusi cakera padat (CD) bagi membolehkannya fasih dalam bahasa Inggeris.

"Ia adalah sesuatu yang normal," katanya.

Jika anda melihat aktres berumur 29 tahun itu di skrin, adalah sukar untuk menggambarkan gadis yang mempunyai wajah seperti kanak-kanak itu boleh menyanyi lagu Slim Shady.

Bagaimanapun, jika anda mahu menakluk Hollywood, anda perlu mempelajari bahasa Inggeris.

Ziyi hanya berumur 21 tahun ketika dia berlakon buat pertama kalinya dalam sebuah filem Amerika pada 2001 iaitu Rush Hour 2.

Dalam filem berkenaan, dia bercakap bahasa Inggeris dalam jumlah yang sedikit di mana pelakon aksi, Jackie Chan terpaksa menterjemahkan untuk Ziyi.

"Mereka (penerbit filem) kerap memberikan peranan kepada gadis Asia seperti seeorang gadis dari China yang belayar ke Amerika.

"Saya tidak dapat mempelajari manfaat daripadanya (watak sedemikian)," kata Ziyi.

Namun, sebelum ini dia berjaya menonjolkan bakat dirinya.

Pada 1999, lakonannya dalam filem The Road Home arahan Zhang Yimou menyebabkan aktres tersebut berjaya memperoleh watak dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon arahan Ang Lee.

Sebelum ini seorang lagi aktres China, Gong Li, terpaksa mengambil tempoh 10 tahun untuk meuncul dalam filem berbahasa Inggeri pertama.

Sejak itu, Li mempertaruhkan nasibnya dalam dua filem berbahasa Inggeris iaitu Miami Vice dan Hannibal Rising.

Bagaimanapun, Ziyi dilabelkan sebagai Gong Li baru.

"Tidak ada sesiapa pun yang boleh menggantikan tempat Gong Li kerana dia merupakan aktres utama di China.

"Saya tidak merasakan saya boleh menggantikan tempatnya," tambah Ziyi.

Ziyi juga berlakon dalam filem Memoirs of a Geisha pada 2006 di mana Li juga membintangi filem berkenaan.

"Geisha memberikan kami peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kami dari Asia dan kami tidak hanya bijak melakukan lakonan aksi, kami juga boleh berlakon," kata Ziyi.

Aktres itu menjadi duta kebudayaan China dan wajahnya digunakan dalam kebanyakan produk di Asia termasuk gergasi kosmetik, Maybelline.

Ziyi juga tidak menutup pintu kepada pasaran Asia.

Dalam filem terbarunya, The Banquet, dia bergabung tenaga dengan pengarah komersial China, Feng Xiaogang.

Ziyi berlakon sebagai Maharani Wan dalam filem berlatar belakang era 1,000 tahun lalu.

Dilahirkan di Beijing, Ziyi dipujuk oleh ibu bapanya supaya memasuki Akademi Tarian Beijing ketika dia berumur 11 tahun.

Ketika berumur 15 tahun, dia memasuki Akademi Drama di mana empat tahun kemudian, aktres itu berlakon dalam filem The Road Home yang berjaya memenangi anugerah Silver Bear dalam Festival Filem Berlin.

Kini, aktres itu berlakon dalam filem thriller, The Horsemen arahan Jonas Ackerlund.

Dalam filem itu, dia berlakon sebagai seorang gadis yang membentuk sebuah kumpulan lelaki untuk membalas dendam bagi pihak mangsa ketidakadilan.

Ziyi mempelajari kursus dialet Inggeris dan suara di sebuah sekolah bahasa berprestij di New York, Juilliard School untuk melakonkan watak gadis berkenaan.

Aktres itu juga mempelajari cara aktor terkenal Britain dan Hollywood, Anthony Hopkins

melakonkan watak pembunuh bersiri Hannibal Lecter untuk tujuan menjayakan lakonannya.

"Anda boleh lihat cara dia menggunakan perkataan dengan penuh berhati-hati.

"Tidak ada satu pun perkataan yang dibazirkannya.

'Saya kerap melihat cara Hopkins melakukan persembahan itu (lakonannya) itu."

- Agensi

Selasa, 1 April 2008

Filem agungkan Islam paling laris


Lebih 3 juta termasuk Presiden Indonesia tonton

JAKARTA: Sebuah filem Indonesia yang diterbitkan bertujuan memperlihatkan keindahan Islam dan menghapuskan tanggapan negatif terhadap agama suci itu tersenarai sebagai filem 'pecah panggung' dan paling laris di negara itu. Lebih tiga juta orang termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan pegawai tinggi kerajaan Indonesia pergi ke panggung wayang untuk menyaksikan filem Ayat Ayat Cinta, sebuah kisah cinta Islam yang diterbitkan pada pertengahan Januari lalu.

Filem yang diadaptasi daripada novel karya Habiburrahman El Shirazy membicarakan beberapa isu sensitif termasuk layanan Islam terhadap wanita dan pelbagai perkahwinan melalui kisah Fahri Abdullah Shiddiq, seorang graduan Indonesia yang belajar di Universiti Al-Azhar dan cabaran yang terpaksa dilaluinya untuk menjalani hidup sebagai Muslim.

Ia juga dipercayai mampu menjadi media menentang video menuduh al-Quran menggalakkan keganasan yang dibuat ahli parlimen Belanda Geert Wilders disiarkan melalui internet minggu lalu. Ia mengisahkan Fahri seorang pelajar yang terpaksa memilih calon isteri daripada empat orang wanita yang jatuh cinta terhadapnya.

Dia akhirnya mengahwini Aisha seorang pelajar Turki-Jerman yang bertudung, tetapi hidup mereka dilanda masalah selepas Fahri dipenjarakan atas tuduhan palsu merogol dan berdepan hukuman gantung sampai mati.

Maria, seorang wanita Kristian Mesir, adalah satu-satunya orang yang dapat membuktikan Fahri tidak bersalah, tetapi jatuh sakit dan koma selepas mendapat tahu Fahri sudah berkahwin. Aisha merayu Fahri mengambil Maria sebagai isteri kedua bagi membolehkan dia sembuh dan memberi keterangan untuknya.

Penerbit filem Hanung Bramantyo, 33, yang pernah memenangi dua anugerah Citra berkata misi beliau ialah untuk mempersembahkan Islam sebagai agama yang penuh tolak ansur dan cintakan keamanan.

"Saya mahu menceritakan kepada penonton mengenai Islam daripada sudut yang bersifat sejagat. Saya juga mahu memberitahu mereka bahawa ada orang yang mampu bergaul dengan orang lain, bergaya dan hebat, tetapi pada masa sama dapat mengamalkan Islam.

"Saya percaya Islam adalah agama yang indah. Sebilangan orang berkata berjuang untuk Islam bermaksud melakukan sesuatu yang hebat, tetapi bagi saya kisah cinta juga mampu membawa mesej Islam," katanya.

Beliau berkata Islam tidak hanya membicarakan mengenai syurga dan negara atau kehidupan selepas mati, tetapi ia juga boleh membicarakan mengenai cinta dan jatuh cinta pandang pertama.

Sementara itu Presiden Susilo dan keluarganya yang menyaksikan filem itu bersama 80 duta dan diplomat asing berkata filem berkenaan amat menarik.

- Reuters

Ahad, 30 Mac 2008

Populariti tunjang utama dunia artis


Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2007, M Nasir berkongsi pendapat

DALAM sejarah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), M Nasir pernah dipilih oleh peminatnya sebagai Bintang Paling Popular pada tahun 1994 mengatasi mereka yang masih muda dan lebih popular daripadanya pada waktu itu seperti Awie, Erra Fazira, Ziana Zain, Sofia Jane, kumpulan KRU, Spring dan Nora. Pada tahun itu juga, beliau dipilih sebagai Penyanyi Lelaki Popular. Bahkan M Nasir yang menampilkan genre muzik agak unik dan tersendiri itu dipilih sebagai Penyanyi Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada ABPBH2000 dan 2001.

"Tahun 1994 menjadikan saya mengerti realitinya berada dalam dunia seni. Bagi saya, selagi ada di sini, saya kena hadapi, nak rasa apa pun, suka atau tak suka, kita kena terima yang orang ramai memang suka kita. Jadi pada saya, apabila orang suka pada kita, baguslah," katanya yang ditemui di pejabat Luncai Emas Sdn Bhd, syarikat miliknya di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Sebaliknya, jelas Nasir, apabila orang tidak suka, seseorang artis perlulah mencari sebab mengapa dirinya tidak lagi disukai.

"Orang yang sudah biasa popular, tetapi tiba-tiba orang sudah tidak suka, dia mesti merindui (zaman popularitinya). Jadi, adakah kita masih nak salahkan orang? Manusia ini suka mencari sesuatu yang menyebabkan dia menyukainya. Itu sebab apabila orang sudah sukakannya, dia akan jadi popular," katanya.

Beliau berkata, seseorang penghibur, pelakon atau penyanyi memang seorang yang sensitif dan perasaan itu memang seharusnya ada dalam jiwa mereka.

"Mereka (artis) memang perlu sensitif kerana perasaan itu akan mendorong mereka untuk menjadi popular. Memang artis nak pujian. Kalau ada yang kata mereka tidak mahu pujian atau populariti, itu cakap saja. Mereka yang kata tidak mencari populariti adalah mereka yang berada dalam keadaan di bawah sedar. Mereka sedar pujian penting, tapi mengaku kononnya tidak perlukan pujian," jelasnya.

Populariti adalah pokok dalam dunia artis dan ia penting bukan saja di kalangan penggiat dunia hiburan tetapi juga bidang lain. Ini kerana populariti boleh membawa kemasyhuran. Dan, kemasyhuran itu menjadi 'kuasa' bagi artis yang berasakan dirinya popular. Demikian pandangan M Nasir dalam memberikan definisi mengenai populariti.

"Orang nak popular kerana mahu disukai ramai, dikenali dan inginkan kemasyhuran. Populariti adalah pokok utama dalam dunia artis. Memang populariti sangat penting, bukan saja kepada artis tetapi semua orang.

"Dalam perniagaan, populariti penting kerana ia dapat membantu meningkat produk jualannya. Inilah tujuan mengapa mereka perlukan populariti sebab boleh digunakan untuk banyak tujuan," katanya.

Nasir berkata, dia tidak percaya langsung dengan dakwaan mereka yang menceburi bidang hiburan tidak memerlukan populariti.

"Populariti penting kerana bagi penyanyi atau pelakon, mereka mahu dikenali ramai dan orang suka pada dirinya. Bayangkan awak nak nak jadi penyanyi, tapi orang tidak suka dengar suara awak sebab awak tidak popular. Adakah awak boleh seorang penyanyi berjaya? Seseorang artis yang tidak dapat mencari populariti bermakna dia gagal dalam kerjayanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, orang suka kepada seseorang artis itu kerana beberapa sudut tertentu seperti kecantikannya, personaliti, gaya, penampilan dan bakat.

"Bakat ini termasuklah dengan hasil kerja yang bagus. Kalau penyanyi, suaranya bagus," jelasnya.

Nasir juga menjelaskan pengertian populariti juga terbahagi kepada beberapa jenis. Pertamanya, popular secara umum, bermakna semua orang suka pada dirinya. Kelompok kedua pula ialah 'cult artist' iaitu mereka yang popular dalam kelompok tertentu saja.

"Mereka yang dalam golongan 'cult artist' ini tidak disukai atau tidak popular di kalangan semua orang. Mereka disukai oleh golongan tertentu. Golongan 'cult artist' ini lebih daripada peminat setia. Kumpulan rock indie atau underground, misalnya, adalah kumpulan 'cult artist'.

"Walaupun tidak popular tetapi mereka ada pengikutnya tersendiri," katanya.

Kata Nasir, satu lagi kategori populariti disebut sebagai 'admire' atau memuja.

"Kerana terlalu admire, seseorang artis menjadi pujaan dan dianggap sebagai idola atau diva. Peminat tidak peduli apa yang pujaan mereka buat. Bagi mereka semuanya betul.

"Ramai juga artis yang popular dalam kelompok ini. Mereka berasakan dirinya masyhur, sudah ada kuasa dan boleh buat apa saja yang mereka suka dengan 'kuasa' populariti yang mereka peroleh," kata Nasir lagi.

Tambahnya lagi, apabila seseorang artis tidak dapat menangani kuasa kemasyhuran itu dengan sewajarnya, ia boleh mendatangkan kesan negatif. Oleh itu, mereka yang sudah mempunyai kuasa kemasyhuran itu perlu berhati-hati membawa gelaran populariti. Populariti boleh membantu mengembangkan kerjaya seni. Bagaimanapun, populariti juga boleh membunuh atau menyekat kerjaya seorang pelakon, penyanyi atau sesiapa saja. "Apabila sudah ada kuasa masyhur, mereka mula menunjukkan perangai yang bukan-bukan. Ini kerana mereka sudah ada 'kuasa' iaitu kuasa kemasyhuran daripada populariti tadi," jelasnya.

Apakah populariti membebankan seseorang artis?

Nasir menjawab; "Sebelum popular, seseorang itu kena kejar dan berusaha meletakkan dirinya dikenali ramai. Seseorang artis mesti popular. Popular tidak dapat dielakkan. Saya tidak percaya kepada mereka yang cakap popular tidak penting.

Menurutnya, sama ada seseorang artis itu boleh mengawal diri dengan populariti yang dibawanya, ia bergantung kepada peribadi masing-masing.

Oleh Zainuri Misfar
Berita Harian

Khamis, 27 Mac 2008

Punca Pussycat Dolls didenda


LONDON - Sebuah akhbar di Britain semalam mendedahkan punca kumpulan penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Pussycat Dolls didenda ketika mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Kumpulan itu sebelum ini terkenal kerana persembahan dan pakaian seksi. Ketika persembahan, payu dara kiri anggota kumpulan itu, Carmit Bachar terdedah kerana bajunya yang ketat.

Seorang lagi anggota kumpulan itu, Ashley Roberts memakai seluar pendek yang ketat dan ketika beraksi dengan menundukkan badannya, sebahagian kemaluannya terdedah di pentas. Gambar-gambar Ashley dan Carmit itu juga disiarkan oleh akhbar berkenaan.

Promoter konsert itu didenda RM10,000 berikutan aksi kedua-dua anggota terbabit yang berkelakuan tidak senonoh.

Denda tersebut dikenakan selepas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyatakan konsert kumpulan berkenaan menampilkan penghibur yang berpakaian terlalu mendedahkan anggota badan.

Kumpulan Pussycat Dolls itu ditubuhkan pada 1995 dan ia pernah menghasilkan album berjudul PCD yang dijual tujuh juta unit di seluruh dunia.

- Agensi

Kisah banduan juara tinju difilemkan


Siriporn Thaweesuk

BANGKOK: Seorang pengedar dadah wanita yang dibebaskan dari penjara dengan menjuarai pertandingan tinju ketika menjalani hukuman menandatangani kontrak semalam untuk memindahkan ceritanya ke layar perak. Timothy Zajaros Jr, seorang penerbit bebas beribu pejabat di Los Angeles, menandatangani kontrak dengan Siriporn Thaweesuk, yang menjadi juara ‘light-flyweight’ Majlis Tinju Sedunia wanita ketika berada dalam penjara kerana menjual amfitamim.

Kemenangan mengatasi Ayaka Miyano dari Jepun di gelanggang tinju di perkarangan penjara April tahun lalu disambut hangat oleh banduan lain dan pengawal penjara. Pesalah kali pertama, Siriporn dibesarkan dalam keluarga miskin di Bangkok, yang menyaksikan keluarganya mencari nafkah dengan menjual pakaian di tepi jalan.

“Saya tidak akan terbabit dengan dadah lagi,” katanya semalam, dengan deraian air mata ketika menjual hak kisahnya.

Zajaros, yang enggan memberikan maklumat mengenai perjanjian itu, berkata dia akan menjadikan kisah itu sebagai filem dan rundingan untuk memperoleh hak dilakukan oleh sebuah syarikat penerbitan.

- AP

Rabu, 26 Mac 2008

Obama, Brad Pitt bersaudara


Brad Pitt bersama Bill Clinton


Barrack Obama

Kajian juga mendakwa Hillary ada hubungan keluarga dengan Angelina Jolie

WASHINGTON: Mereka mungkin bermusuhan dari segi politik tetapi satu kajian susur galur kekeluargaan mendapati calon Presiden Demokrat, Barack Obama, adalah saudara jauh dengan pelakon Brad Pitt manakala saingannya, Hillary Clinton pula mempunyai kaitan persaudaraan dengan kekasih Pitt, Angelina Jolie. Lebih mengejutkan, Obama juga dikatakan sepupu jauh Presiden George W Bush yang dihubungkan oleh Samuel Hinkley dari Cape Cod, yang meninggal dunia pada 1662.

Kaitan persaudaraan kedua-dua calon Demokrat itu ditemui oleh sebuah pertubuhan ginekologi yang dihormati Amerika selepas siasatan selama tiga tahun. Pitt dan Obama sepupu menerusi hubungan keluarga dengan Edwin Hickman yang mati di Virginia pada 1769.

Clinton dan Obama juga boleh berbangga dengan senarai panjang kaitan persaudaraan mereka dengan tokoh terkenal lain. Jurucakap Persatuan Ginekologi Bersejarah New England, Christopher Child, berkata keturunan ahli politik menunjukkan mereka sebenarnya mempunyai persamaan lebih banyak daripada yang difikirkan.

Persatuan berkenaan yang diasaskan pada 1845, adalah yang tertua dan persatuan ginekologi tidak berasaskan keuntungan di Amerika.

Penyelidikan itu, yang dilakukan oleh Child dan Gary Boyd Roberts, turut menunjukkan kaitan kekeluargaan luar biasa. Obama adalah anak kepada wanita kulit putih dari Kansas dan lelaki kulit hitam dari Kenya.

Beliau sebelum ini dikenali pasti sebagai sepupu jauh Naib Presiden Amerika, Dick Cheney. Keturunan politiknya bukan hanya sekadar Bush sebaliknya termasuk ramai bekas Presiden Amerika seperti Gerald Ford, Lyndon Johnson, Harry S Truman dan Winston Churchill.

Hubungan kekeluargaan dengan Pitt cuma menambah suntikan populariti kepada susur galur keluarganya. Bagaimanapun, saudara mara Hillary jauh lebih popular kerana sepupu jauh Senator New York itu termasuk penyanyi Madonna, Celine Dion dan Alanis Morisette, selain isteri Putera Charles, Camilla Parker-Bowles.

Beliau dan Jolie adalah sepupu kesembilan dan kedua-duanya dihubungkan dengan Jean Cusson, yang meninggal dunia di St Sulpice, Quebec, pada 1718.

- Agensi

Aktres guna pacat untuk awet muda


Demi Moore

NEW YORK: Aktres Hollywood, Demi Moore mengakui menggunakan pacat sebagai terapi kecantikan awet muda yang membantunya kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya yang sudah mencecah 45 tahun.

“Badan anda akan dicukur dan disapu dengan sejenis bahan kimia. Apabila rasa sakit itu hilang, pacat akan diletakkan bagi menghisap darah,” katanya ketika diwawancara hos televisyen Amerika Syarikat, David Letterman.

Moore berada di kota New York bagi mempromosi filem terbarunya, Flawless, tetapi pertemuannya dengan Letterman ternyata dikuasai topik berhubung usahanya untuk kelihatan muda.

Tambahan pula perkahwinannya dengan aktor, Ashton Kutcher yang berusia 30 tahun atau 15 tahun lebih muda daripada Moore.

“Saya akui sentiasa mencari kaedah alternatif kecantikan yang dapat meningkatkan kesihatan serta proses pemulihan badan. Saya berada di Austria bagi melakukan usaha pembersihan badan yang turut membabitkan penggunaan pacat.

“Ini bukanlah pacat biasa, tetapi pacat khas yang dilatih khusus untuk menghisap darah.”

Terapi menggunakan pacat sememangnya mempunyai sejarah yang lama dan pakar perubatan Mesir pernah menganggap haiwan penghisap darah itu sebagai penawar segala penyakit. Malah, pada masa ini, pacat ada kalanya digunakan dalam rawatan pembedahan plastik serta kaedah bagi menyambung semula bahagian tubuh yang rosak atau parah.

Moore, janda aktor Bruce Willis, berkata dia pada mulanya mengunjungi pusat perubatan itu bagi tujuan melakukan proses membuang toksik dalam darah.

“Pacat mempunyai sejenis enzim yang disalurkan ke dalam darah kita menerusi gigitannya. Selepas gigitan itu, anda akan mengeluarkan darah yang banyak dan kesihatan anda dapat dipertingkatkan.

Moore juga menjalani pelbagai pembedahan dan rawatan kecantikan termasuk menyedut lemak perut, membesarkan payu dara, menegangkan kulit muka dan kening, suntikan kolagen, pembedahan lutut, mencantikkan dan memutihkan gigi, pemutihan kulit dan senaman.

- Agensi

Potret bogel Carla Bruni dilelong


Carla Bruni

LONDON: Satu gambar foto Wanita Pertama Perancis, Carla Bruni tanpa seurat benang akan dijual firma lelongan Christie’s di New York, beberapa jam sebelum Presiden Nicolas Sarkozy mula melawat Britain. Gambar yang dirakamkan jurugambar Michel Comte menunjukkan Bruni ketika muda merenung ke kamera tanpa berpakaian tetapi kedua tangannya disilangkan untuk menutup kemaluan.

Aksi berkenaan yang merujuk kepada lukisan seorang artis ‘neo-impressionist’ Perancis, Georges Seurat dijangka dilelong dengan permulaan sekitar £2,000 apabila lelongan bermula pada 10 April nanti.

Bruni dan Sarkozy tiba di England semalam untuk memulakan lawatan rasmi dua hari dan akan bertemu Ratu Elizabeth serta Perdana Menteri, Gordon Brown. Sarkozy berhadapan dengan kritikan imej melampaunya dengan memakai Rolex dan beliau berharap lawatan itu akan menambah tarikan umum beliau.

Pembantunya berkata beliau juga berharap kepada isterinya warga Itali yang berusia 40 tahun untuk menarik perhatian Ratu dan Duke of Edinburgh.

Bruni yang mendapat pendidikan di Switzerland fasih berbahasa Inggeris tidak seperti suaminya yang terpaksa mengambil kelas intensif bahasa untuk menarik perhatian tuan rumah ketika lawatan berkenaan. Christie’s mempertahankan keputusan untuk menjual gambar itu sambil menyifatkan Bruni adalah antara wanita tercantik di dunia.

“Ia adalah hasil seni. Ia dirakamkan pada 1993 ketika Bruni menjadi seorang model dan ia adalah potret bogel yang ada cita rasa,” kata Milena Sales, kata jurucakap Christie’s.

- Agensi

Isnin, 24 Mac 2008

Paris tunjuk kebodohan


LOS ANGELES – Selebriti Paris Hilton sekali lagi menunjukkan kebodohan dirinya apabila menyatakan Afrika Selatan dan Afrika Barat adalah dua buah negara yang hebat, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang terkenal menerusi siri realiti televisyen The Simple Life membuat kenyataan sedemikian ketika mengikuti kekasihnya yang juga seorang anggota kumpulan muzik, Benji Madden ke Afrika Selatan. Teman lelaki baru Paris itu kini sedang mengikuti konsert jelajah ke Afrika menerusi kumpulan Good Charlotte.

Ketika ditemu ramah, Paris berkata; “Pada umumnya, saya meminati Afrika dan Afrika Barat, kedua-duanya adalah negara yang hebat.”

Kenyataan itu menunjukkan dia tidak mengetahui bahawa Afrika Barat bukannya sebuah negara. Ia sebenarnya adalah kawasan di benua Afrika yang mengandungi beberapa buah negara seperti Benin, Malta dan Liberia.

– Agensi

Khamis, 20 Mac 2008

Zara mahu cipta sejarah


ZARA diundang jalani ujibakat filem Bond.

LONDON - Seorang model dan aktres, Zara Adams berharap bakal mencipta sejarah dengan menjadi gadis Muslim pertama di Asia yang menjadi gadis James Bond, menurut satu laporan semalam.

Zara yang pernah melancarkan majalah terbitannya, Talent Magazine kini diundang menghadiri uji bakat untuk membintangi filem terbaru Bond, Quantum of Solace.

"Ejen uji bakat dan penerbit berminat dengan gambar-gambar saya dan telah menjemput saya untuk menjalani uji bakat," kata Zara.

"Bekerja dengan nama besar seperti Marc Foster dan Daniel Craig dan beberapa pelakon lain akan memberikan satu pengalaman yang mengagumkan," katanya.

Gadis berusia 25 tahun itu di mana bapanya berketurunan Iran manakala ibunya berasal dari Pakistan berkata, menjadi gadis Bond Muslim pertama dari Asia merupakan kejayaan terbesar yang pernah dicapai dalam hidupnya.

"Menjadi gadis Bond yang pertama daripada kalangan wanita Muslim Asia bukan sahaja akan membuka pintu untuk saya tetapi juga ia memecahkan halangan untuk orang lain," katanya.

Model yang dilahirkan di Glasgow itu juga memberitahu bahawa sekiranya terpilih memegang watak dalam filem tersebut, ia merupakan satu dorongan untuk memperkembangkan karier lakonannya.

- Agensi

Selasa, 18 Mac 2008

Harry Potter ketagih rokok


RAKAN-RAKAN Daniel Radcliffe dilaporkan telah merayu kepadanya supaya menghilangkan tabiat buruknya yang menghisap sehingga 20 batang rokok sehari.

Aktor berusia 18 tahun itu yang ketika ini sedang menjalani penggambaran filem Harry Potter and the Half-Blood Prince dikatakan begitu ketagih merokok sehingga rakan-rakan pelakonnya dalam filem itu telah menggelarkan Radcliffe sebagai 'Harry Puffer'.

Satu sumber berkata, "Daniel menghisap rokok sehingga 20 batang sehari. Setiap kali selesai menjalani satu babak lakonan, dia akan menyalakan sebatang rokok. Ia sangat memalukan.

Rakan-rakan lakonannya termasuk Rupert Grint dan Emma Watson sudah memberi amaran buatnya tentang bahaya merokok, tetapi Daniel buat tidak kisah."

Menurut laporan akhbar Britain The Sun lagi, Radcliffe menghisap sekotak rokok ketika dia menghadapi kesukaran dalam satu babak filem tersebut yang membabitkan teknik lagak ngeri pada minggu lepas.

Tambah sumber tersebut, "Daniel sangat gementar untuk menjalani babak tersebut dan impaknya dia cuba raih keberanian dengan merokok sehingga habis satu kotak rokok."

Pihak penerbitan filem tersebut yang dikatakan bimbang keadaan itu akan menjejaskan imej baik Harry Potter selama ini, telah menasihatkan Radcliffe supaya tidak merokok di tempat awam.

Kosmo!

Isnin, 17 Mac 2008

RM162.8j harga cerai


Heather Mills dan Paul McCartney

LONDON: Heather Mills menang pampasan £24.3 juta (RM162.8 juta) atas keputusan mahkamah selepas bercerai dari Paul McCartney, bekas penyanyi The Beatles. Sebuah mahkamah keluarga memberi Mills wang tunai £16.5 juta (RM102.3 juta) termasuk aset yang dipegangnya bernilai £7.8 juta (RM53.8 juta), kata dokumen mahkamah.

"Saya gembira dengan keadaan sekarang. Saya gembira semuanya sudah berakhir," kata Mills dalam sidang akhbar di Mahkamah Kehakiman.

Bagaimanapun, Mills bercadang merayu keputusan mahkamah mendedahkan keputusan prosiding termasuk butir-butir peribadi anak pasangan itu yang berusia 4 tahun, Beatrice.

McCartney, 65, dan Mills, 40, berada di mahkamah bulan lalu bagi memutuskan keputusan mengenai sejauh mana pampasan dengan harta penyanyi berkenaan dianggarkan bernilai £825 juta.

- AP

Khamis, 13 Mac 2008

Filem terakhir siri novel Harry Potter dua bahagian


Dua buah novel Harry Potter yang terbaru, Harry Potter and the Half Blood Prince dan Harry Potter and the Deathly Hallows

LOS ANGELES - Syarikat penerbit Warner Brothers dijangka menerbitkan dua buah filem berdasarkan karya terakhir siri novel kanak-kanak Harry Potter, lapor akhbar Los Angeles Times semalam.

Filem berdasarkan buku bertajuk Harry Potter and the Deathly Hallows itu merupakan judul ketujuh karya penulis JK Rowling yang diedarkan diseluruh dunia pada tahun lalu.

Bahagian pertama filem itu akan ditayangkan pada November 2010 manakala bahagian kedua akan menemui peminat di seluruh dunia pada Mei 2011.

Penerbit filem itu, David Heyman memberitahu bahawa penghasilan filem fantasi terbaru ini benar-benar mencabar kreativiti ramai pihak.

"Berbeza dengan buku-buku lain, anda tidak boleh memotong beberapa elemen yang terdapat di dalam buku ini kerana ia akan menganggu jalan cerita," katanya.

Penggambaran filem untuk novel keenam Harry Potter and the Half-Blood Prince pada September ini.

Sejak pengenalan filem fantasi itu pada 2001 ia dilaporkan berjaya mencecah kutipan box-office sebanyak AS$4.5 bilion (RM14.2 bilion) di seluruh dunia.

- Agensi