Isnin, 7 April 2008

Plot filem terbaru James Bond


PERISIK terkenal Britain, James Bond sebelum ini tampil dengan watak tegap dan gagah tetapi dalam filem terbarunya, dia menjadi putus asa selepas kecewa dalam percintaannya.

Penggambaran filem terbaru Bond, Quantum of Solace kini sedang dilakukan di sebuah bandar di utara Chile.

Aktor popular, Daniel Craig sekali lagi melakonkan watak perisik terkenal itu selepas kejayaan filem Casino Royale yang merupakan filem pertamanya sebagai Bond.

Bagaimanapun, watak perisik yang dicipta oleh penulis novel terkenal Britain, Ian Fleming itu kali ini mempunyai perwatakan berlainan dengan watak-watak Bond sebelum ini.

"Bond telah kehilangan cinta dalam filem terbaru kali ini dan perkara terakhir yang diketahui ialah kekasihnya itu juga belot," kata Craig.

Dalam filem Casino Royale, Bond yang baru memulakan kariernya sebagai penyiasat jatuh cinta dengan seorang perisik, Vesper Lynd yang dilakonkan oleh aktres terkenal, Eva Green.

Menurut Craig, pembelotan serta kematian Lynd memberi kesan yang mendalam pada Bond dan filem terbaru ini dia perlu mencari kebenaran untuk meneruskan kehidupannya.

"Dia mempunyai satu persoalan dalam hatinya yang perlu dirungkai dan selagi ia tidak terjawab, Bond terus merana.

"Filem ini juga merupakan permulaan kepada satu penemuan," ujarnya.

Filem ini juga masih menerapkan ciri-ciri filem Bond yang penuh dengan aksi turut menjalani penggambaran di beberapa negara seperti di Austria, Haiti dan Itali.

Dalam edisi kali ini, Bond akan mengembara di seluruh dunia untuk menjejaki ketua satu organisasi penjenayah, Dominic Greene yang dilakonkan oleh Mathieu Amalric.

Greene merancang menguasai sumber semula jadi yang banyak di Bolivia dengan menyokong satu rampasan kuasa di negara Latin Amerika itu.

Filem Bond juga tidak akan lengkap tanpa mempunyai perisik yang jelita dan kali ini model dan aktres kelahiran Ukraine, Olga Kurylenko akan melakonkan watak Camille.

Krew penggambaran Quantum of Solace berada di Chile sejak minggu lalu selepas sebulan setengah bekerja di Panama dan Mexico.

Di Chile, penggambaran tertumpu di sebuah balai cerap di Cerro Paranal di mana ia dijadikan pusat operasi oleh organisasi penjenayah.

"Lihatlah di sekeliling tempat ini, anda tidak boleh menemui pemandangan seperti ini di mana-mana tempat di seluruh dunia," tambah Craig.

Kedatangan krew itu juga mencetuskan perasaan seronok di kalangan para saintis di balai cerai yang terletak di kawasan pergunungan pada ketinggian 2,400 meter dari aras laut.

"Ia merupakan satu minggu yang sungguh istimewa," kata pentadbir balai cerap Paranal, Frank Ruseler.

Bagaimanapun, penggambaran filem itu dilakukan di luar balai cerap yang menempatkan teleskop antara paling berkuasa di dunia.

Pengarah filem Bond, Marc Foster berkata, kali pertama dia melihat balai cerap itu di internet, dia merasakan ia adalah lokasi paling sesuai untuk babak pertarungan antara ketua penjenayah dan Bond.

"Setiap lokasi yang dipilih mempunyai karakternya yang tersendiri," katanya.

- AFP