Lelaki Australia buat pengakuan terbuka dapat cahaya mata hasil sumbang mahram
CANBERRA: Seorang lelaki Australia dan anak perempuannya, membuat pengakuan secara terbuka mengenai perhubungan sumbang mahram mereka yang turut menghasilkan seorang anak. John Deaves, 61, dan anak perempuannya Jenny, 39, mencetuskan kejutan apabila berani tampil mengakui hubungan mereka dalam program 60 Minutes dan mengakui pernah mempunyai seorang anak sebelum ini yang mati akibat komplikasi jantung beberapa hari selepas dilahirkan.
Mereka kini mempunyai bayi perempuan berusia sembilan bulan hasil hubungan sumbang itu. Pasangan bapa dan anak itu, bagaimanapun, dilarang mengadakan hubungan seks selepas mahkamah mendakwa mereka atas dua kesalahan melakukan sumbang mahram.
Mereka turut diletakkan di bawah pengawasan mahkamah selama tiga tahun dan diarah berkelakuan baik.
"Mereka sememangnya di bawah pemerhatian pihak berkuasa terbabit," kata jurucakap polis Australia Selatan kepada agensi berita Reuters, semalam.
Deaves dan Jenny mengakui hubungan terlarang bermula ketika mereka berdua dipertemukan semula, kira-kira lapan tahun lalu. Ini disebabkan Deavers meninggalkan rumah ketika Jenny baru berusia setahun dan pasangan dua beranak itu tidak bertemu selama 30 tahun. Jenny berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan ketika bertemu semula dengan bapanya.
Beberapa minggu selepas penyatuan itu, pasangan berkenaan melakukan hubungan seks yang disifatkan ahli psikologi sebagai 'tarikan seksual genetik.'
"Kami golongan dewasa intelektual dan mempunyai kerjaya masing-masing, memiliki kehidupan normal tetapi jatuh cinta dengan satu sama lain biarpun ada pertalian darah. Kami jatuh cinta selepas bertemu semula dengan satu sama lain," kata Jenny.
Biarpun dua anak perempuannya hasil perkahwinan terdahulu sihat, agensi berita Australia (AAP) melaporkan dokumen mahkamah menunjukkan pasangan bapa dan anak itu pernah mempunyai seorang anak.
- Reuters