Memaparkan catatan dengan label PANORAMA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PANORAMA. Papar semua catatan

Isnin, 21 April 2008

Paderi tertipu berkati kelab bogel

MOSCOW: Seorang paderi menyuarakan kemarahannya apabila ditipu supaya memberkati sebuah kelab tarian bogel di bandar Chelyabinsk. Paderi yang dikenali sebagai Nickolai itu mendoakan keberkatan kepada kelab bogel Studio 74 selepas diberitahu tempat itu adalah sebuah sekolah balet.

Nickolai berkata, dia tidak tahu menahu bahawa tempat itu adalah sebuah kelab tarian bogel.

Jurucakap Studio 74, Anna Usmanova berkata: "Nampaknya doa paderi itu memang berkat. Sejak dia mengadakan sesi doa itu, semakin ramai yang mengunjungi kelab dengan berkata suasananya begitu berbeza.”

- Agensi

Ahad, 20 April 2008

Tingkap rumah disangka pintu tandas

SHIJIAZHUANG: Seorang lelaki yang terlalu mabuk menyangka tingkap rumah pangsanya adalah pintu tandas menyebabkan dia membuka tingkap itu dan melangkah keluar sehingga terjatuh dari tingkat lima, baru-baru ini. Li mabuk selepas makan malam bersama rakannya di luar rumah.

Rakan sebiliknya, Zhao, berkata Li pulang ke rumah mereka di Shijiazhuang, ibu kota wilayah Hebei dalam keadaan mabuk dan ingin menggunakan tandas.

Bagaimanapun, akibat mabuk, lelaki itu membuka tingkap rumah mereka yang disangkanya sebagai pintu tandas sebelum melangkah ke luar. Li terjatuh ke bawah dari tingkat lima dan patah kedua-dua kakinya.

- Agensi

Khamis, 17 April 2008

Budak bernama Islam disuruh tukar nama

LONDON: Ibu bapa seorang budak lelaki Perancis merancang menyaman sebuah syarikat televisyen tempatan atas alasan diskriminasi kerana enggan membenarkannya menyertai satu rancangan hanya kerana namanya Islam dan diminta mengubah nama berkenaan. Akhbar Daily Telegraph memetik akhbar tempatan, Le Parisian melaporkan semalam, syarikat Angel Productions itu turut memaklumkan budak lelaki yang nama penuhnya Islam Alaouchiche, beliau diketepikan kerana namanya ‘mewakili agama yang tidak disukai di Perancis.’

Menteri Hal Ehwal Bandar Perancis, Fadela Amara yang juga seorang Muslim, turut menyuarakan rasa marah di atas kejadian itu.

“Saya amat kesal dengan kejadian itu.”

Menurut ibu bapanya, anak mereka disenarai pendek bagi sebuah rancangan permainan remaja dikenali In ze boite (In the box) di Gulli, satu saluran kanak-kanak.

Namun sebaik beliau dan ibu bapanya yang berketurunan Algeria muncul untuk pemilihan peringkat akhir, mereka dimaklumkan agensi pencari bakat: “Ada sedikit masalah. Anak lelaki anda tidak boleh kekalkan nama pertamanya. Panggilan Islam bagi budak lelaki adalah seperti budak perempuan yang bertudung.”

Jurucakap wanita itu sebaliknya menggesa beliau menggunakan nama Arab lain seperti Mohammed atau Sofiane, tetapi ibunya enggan.

Keluarga itu kemudian kembali ke rumah mereka berhampiran Paris dan tidak pernah dihubungi syarikat itu selepas kejadian berkenaan.

- Agensi

Gara-gara ingin kerja lebih masa

WARSAW: Seorang ahli bomba ditahan selepas dia membakar dua bangsal, bertujuan menambah kerja lebih masa kerana memadam kebakaran. Pawol Leszek, 18, berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati bersalah.

Polis berkata ketika ditahan, Leszek baru membakar dua bangsal dan sedang bersedia untuk memulakan satu lagi kebakaran.

“Ketika disoal siasat Leszek berkata dia terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan wang membeli hadiah hari jadi untuk kekasihnya,” katanya.

- Agensi

Isnin, 14 April 2008

Minta cerai selepas sedar 'isterinya' lelaki


BERLIN: Seorang petani Jerman yang berkahwin dengan seorang 'wanita' yang ditemuinya menerusi internet meminta perkahwinan itu dibatalkan selepas mendapati wanita dikahwininya itu sebenarnya adalah lelaki. Wolfgang Zober, 55, dari Naumburg, berkata dia jarang dapat bertemu dengan wanita kerana sering ke ladang dan bekerja sepanjang hari menyebabkan seorang rakan mencadangkan supaya dia mencari kenalan wanita di internet.

“Saya berasa amat bertuah apabila bertemu Randy Victoria, 38, dan semakin gembira apabila bertemu dengannya di luar, dia kelihatan cantik seperti dalam gambar yang dikirimkan,” katanya.

“Pada malam perkahwinan kami, dia memberitahu saya bahawa dia memiliki zakar dan nama sebenarnya adalah Ralf. Saya amat kecewa,” katanya.

- Agensi

Ahad, 13 April 2008

Doktor diserang strok rawat pesakit jantung


MADINAH: Seorang doktor yang baru merawat seorang pesakit jantung di Hospital Raja Fahd apabila dimasukkan ke hospital dia turut mengalami masalah jantung tidak lama selepas itu. Akhbar Arab News melaporkan, beberapa minit selepas berjaya menstabilkan pesakit berkenaan, doktor itu pula mula diserang sakit jantung.

Pasukan perubatan kemudian segera memberi rawatan kepadanya dan berjaya menstabilkan keadaan doktor itu. Beliau diletakkan di katil bersebelahan pesakit yang baru dirawatnya.

- Agensi

Khamis, 10 April 2008

Bawa bom 200 meter elak kecoh


EAMANATHAN (kanan) menunjukkan tempat dia menemui bom mortar dan pelurudi Flat San Peng, Kuala Lumpur semalam. Gambar oleh Kosmo!

KUALA LUMPUR - Anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kenanga, berhampiran Flat San Peng di sini semalam terkejut apabila seorang lelaki menyerahkan kepada mereka sebuah kotak kasut yang berisi sebutir bom mortar serta 12 butir peluru.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Muhammad Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kotak kasut itu ditemui oleh seorang lelaki yang merupakan penghuni flat itu di tempat pembuangan sampah kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Ketika membuang sampah, lelaki itu terlihat sebuah kotak kasut di dalam tong sampah besar dan apabila membukanya beliau terkejut melihat bom mortar dan peluru tersebut lalu menyerahkan kotak itu kepada balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, selain bom mortar, kotak itu mengandungi beberapa butir peluru bersaiz 5.5 mm.

Muhammad berkata, bom mortar serta peluru itu telah dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia di Cheras untuk mengetahui sama ada ia masih aktif atau sebaliknya.

Sementara itu, L. Eamanathan, 28, yang menjumpai bom tersebut berkata, dia terus berjalan kaki sambil membawa bom tersebut ke balai polis bagi mengelak keadaan kecoh berlaku di kawasan perumahannya.

Menurutnya, kotak tersebut dijumpai di tempat pembuangan sampah di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Selangor, Jalan San Peng di sini dan dia membawanya ke Balai Polis Kenanga yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus mengangkat kotak itu ke balai polis berdekatan untuk mereka membuat tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

-Kosmo!

Potong rambut RM5,440

BEIJING: Sebuah salun rambut China, Baolou International Beauty Salon di Zhengzhou, diarah tutup dan didenda lebih AS$70,000 (RM224,000) berikutan tindakannya menjadikan dua pelajar sebagai tebusan dan memaksa mangsa membayar bayaran tinggi bagi potongan rambut mereka. Dua pelajar sebuah kolej tempatan, Zhang Yi dan Yuan Sha Sha dikatakan terkejut apabila diarah membayar AS$1,700 (RM5,440) bagi perkhidmatan itu.

Kedua-dua gadis itu menyangka mereka hanya perlu membayar kira-kira AS$6 (RM19.20 sen) seorang seperti yang diiklankan salun rambut berkenaan.

- Agensi

Kunci seluar elak hubungan seks

JAKARTA: Pusat urut di sebuah pekan di Indonesia meminta tukang urut wanitanya supaya "mengunci dengan mangga" skirt dan seluar mereka sebagai tanda bahawa seks tidak ditawarkan dalam khidmat urut mereka. Tapi langkah itu dibantah oleh menteri hal-ehwal wanita Indonesia, di mana pusat urut sering dilihat sebagai bahagian hadapan pelacuran.

"Ia bukan cara yang betul untuk mengelakkan seks rambang," Meutia Swasono dipetik sebagai berkata dalam akhbar Jakarta Post semalam. "Ia menghina wanita seolah-olah merekalah di pihak yang salah."

Sekurang-kurangnya sebuah pusat urut di pekan pelancongan Batu di Jawa mengarahkan tukang urutnya "mengunci dengan mangga" skirt atau seluar mereka sebagai tanda jelas bahawa tempat itu tidak menawarkan khidmat pelacuran. Pusat lain sudah mulai mengikutinya selepas pegawai kerajaan menganggapnya sebagai satu idea baik pada satu pertemuan dengan pemilik pusat urut. Gambar televisyen dan gambar biasa menunjukkan tukang urut dengan mangga pada zip seluar atau skirt mereka sejak akhir-akhir ini.

"Fenomena mengunci dengan mangga itu dilihat di beberapa pusat urut dan ia adalah sesuatu yang disokong," kata Imam Suryono, ketua pihak berkuasa tempatan pekan berkenaan. Beliau menafikan laporan media bahawa beliau mengeluarkan arahan itu dengan secara rasmi.

- AP

Selasa, 8 April 2008

Unta betina dibeli RM8.67 juta


Sheikh Hamdan

ABU DHABI - Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashed al-Maktoum membeli seekor unta betina yang berharga AS$2.72 juta (RM8.67 juta), kata penganjur pertandingan ratu cantik unta di Abu Dhabi semalam.

Seorang pegawai penganjur, Hamad bin Kardoum al-Amiri berkata, Sheikh Hamdan membeli beberapa ekor unta dengan harganya berjumlah AS$4.49 juta (RM14.32 juta) termasuk seekor unta betina pada harga AS$2.72 juta (RM8.67 juta).

Hamad membuat kenyataan tersebut sebagai mengulas pertandingan ratu cantik unta yang berlangsung selama sembilan hari bermula Rabu lalu di Abu Dhabi.

Lebih 10,000 ekor unta dari seluruh negara dipertandingkan bagi merebut hadiah berjumlah AS$9.5 juta (RM30.29 juta).

Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada festival unta di Abu Dhabi yang bertujuan untuk meraikan dan mengekalkan warisan budaya negara tersebut.

- AFP

Isnin, 7 April 2008

Bapa 'bercinta' dengan anak

Lelaki Australia buat pengakuan terbuka dapat cahaya mata hasil sumbang mahram

CANBERRA: Seorang lelaki Australia dan anak perempuannya, membuat pengakuan secara terbuka mengenai perhubungan sumbang mahram mereka yang turut menghasilkan seorang anak. John Deaves, 61, dan anak perempuannya Jenny, 39, mencetuskan kejutan apabila berani tampil mengakui hubungan mereka dalam program 60 Minutes dan mengakui pernah mempunyai seorang anak sebelum ini yang mati akibat komplikasi jantung beberapa hari selepas dilahirkan.

Mereka kini mempunyai bayi perempuan berusia sembilan bulan hasil hubungan sumbang itu. Pasangan bapa dan anak itu, bagaimanapun, dilarang mengadakan hubungan seks selepas mahkamah mendakwa mereka atas dua kesalahan melakukan sumbang mahram.

Mereka turut diletakkan di bawah pengawasan mahkamah selama tiga tahun dan diarah berkelakuan baik.

"Mereka sememangnya di bawah pemerhatian pihak berkuasa terbabit," kata jurucakap polis Australia Selatan kepada agensi berita Reuters, semalam.

Deaves dan Jenny mengakui hubungan terlarang bermula ketika mereka berdua dipertemukan semula, kira-kira lapan tahun lalu. Ini disebabkan Deavers meninggalkan rumah ketika Jenny baru berusia setahun dan pasangan dua beranak itu tidak bertemu selama 30 tahun. Jenny berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan ketika bertemu semula dengan bapanya.

Beberapa minggu selepas penyatuan itu, pasangan berkenaan melakukan hubungan seks yang disifatkan ahli psikologi sebagai 'tarikan seksual genetik.'

"Kami golongan dewasa intelektual dan mempunyai kerjaya masing-masing, memiliki kehidupan normal tetapi jatuh cinta dengan satu sama lain biarpun ada pertalian darah. Kami jatuh cinta selepas bertemu semula dengan satu sama lain," kata Jenny.

Biarpun dua anak perempuannya hasil perkahwinan terdahulu sihat, agensi berita Australia (AAP) melaporkan dokumen mahkamah menunjukkan pasangan bapa dan anak itu pernah mempunyai seorang anak.

- Reuters

Lelaki ceroboh rumah rasmi ditahan


Admiralty House, Sydney

SYDNEY: Seorang pelancong menyelam dengan hanya memakai seluar dalam dari sebuah feri dan berenang ke tepi pantai ke arah rumah tepi pantai milik gabenor jeneral Australia serta sempat berenang 10 pusingan dalam kolam renang kediaman itu sebelum ditahan, kelmarin. Insiden itu menyebabkan kawalan keselamatan dikaji semula di kediaman berkenaan.

Lelaki terbabit memeranjatkan beberapa penumpang kerana menanggalkan baju kecuali seluar dalam dan kemudian menyelam dari feri itu, berenang kira-kira 600 meter dengan polis laut mengekori di belakangnya sebelum memanjat dinding Admiralty House yang bertentangan Rumah Opera, kata polis.

Kediaman Perdana Menteri, Kevin Rudd, juga bersebelahan rumah gabenor terbabit.

"Dia mengelak daripada polis laut dengan memasuki kawasan lapang kediaman itu. Dia kemudian menyelam ke dalam kolam renang sebelum diarahkan keluar oleh polis," kata jurucakap polis.

Rumah dua tingkat yang dibina pada 1845 adalah kediaman wakil Ratu England di Australia, gabenor jeneral dan mempunyai taman bunga yang luas, deretan tiang di beranda dan pemandangan Jambatan Harbour dan kawasan sekitarnya.

Kawasan lapang Admiralty House digunakan untuk meraikan tetamu Presiden Amerika George W Bush dan pemimpin lain ketika sidang kemuncak Asia-Pasifik tahun lalu dan rumah itu biasanya digunakan Ratu Elizabeth ketika berada di Australia.

- Reuters

Borang mohon kerja perangkap suspek rompak

ATHENS: Polis memperoleh petunjuk utama untuk mengesan seorang suspek rompakan di sebuah pusat beli-belah melalui borang permohonan kerja diisinya. Penyiasat di Athens, Georgia, berkata Demetrius Robinson, 28, mengisi borang itu ketika menunggu semua pelanggan pulang.

Dia turut mencatatkan nombor telefon bapa saudara tetapi memberi alamat palsu, sebelum menghunuskan pisau kepada kakitangan di bahagian kaunter. Polis menangkap Robinson Sabtu lalu atas dakwaan melakukan rompakan bersenjata.

- AP

Ahad, 6 April 2008

Lebah serang pelari maraton


TOKYO – Sekumpulan lebah menyerang separuh daripada pelari maraton di barat daya Jepun semalam menyebabkan 30 orang dikejarkan ke hospital, kata beberapa anggota penyelamat.

Menurut ketua anggota penyelamat, Tomomi Koyanagi, ketika perlumbaan di bandar Saga itu, beberapa atlet diserbu oleh sekumpulan lebah apabila mereka berlari berhampiran sebuah tebing sungai.

“Saya tidak pernah mempunyai pengalaman sebegini sebelum ini. Kebanyakan mangsa mengadu kesakitan walaupun tiada seorang pun yang pengsan,” katanya.

Seorang pelari berkata, dia mendengar satu bunyi di belakang kepalanya dan kemudian mengalami kesakitan dan apabila melihat ia adalah seekor lebah. Seorang lagi pelari memberitahu bahawa beberapa ekor lebah masuk ke dalam bajunya menyebabkan dia terkena beberapa gigitan di leher dan belakang badannya.

– AFP

Lelaki terlepas hukuman kemuka alasan unik

EDINBURGH: Seorang lelaki Muslim, Mohammed Anwar, terlepas daripada sebarang hukuman kerana kesalahan memandu kereta terlalu laju selepas memberitahu sebuah mahkamah Scotland yang dia terpaksa berbuat demikian bagi memenuhi kewajipan kepada dua isterinya. Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, alasan diberikan Anwar yang juga pemilik restoran, dianggap antara hujah unik yang pernah dikemukakan di mahkamah itu bagi mengelak hukuman di atas kesalahannya trafik berkenaan.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan Bola Sepak Manchester United Alex Ferguson dilepaskan daripada kesalahan memandu laju atas alasan dia mahu bergegas ke bilik air.

Dalam kes terbaru, Anwar yang diwakil peguam belanya di mahkamah berkata, lesennya tidak boleh ditarik balik kerana ia menjadi antara ‘pasport’ utamanya berulang alik antara rumah isteri pertama dan keduanya yang tinggal di Motherwell dan Glasgow. Ini disebabkan dia mengamalkan poligami dengan bermalam secara bergilir-gilir di rumah kedua-dua isterinya pada hari yang berbeza.

Pada masa sama, dia juga terpaksa menguruskan restorannya di Falkirk, Stirlingshire.

Anwar mengakui kesalahannya dan Sherif John C Morris menerima rayuannya itu dan tidak merampas lesen memandunya. Bagaimanapun, dia tetap dikenakan denda £200 (RM1,400).

Sementara itu, jurucakap Majlis Kebajikan Keselamatan Jalan Raya Britain menyifatkan keputusan yang dikenakan ke atas Anwar sebagai mengejutkan.

- Agensi

Khamis, 3 April 2008

Urica menang ratu periuk api


ANGOLA - Seorang wanita yang kehilangan sebahagian kakinya kerana terpijak periuk api, Augusta Urica berjaya memenangi Pertandingan Ratu Mangsa Periuk Api di Angola.

Seramai 18 wanita telah mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik yang diadakan pada malam kelmarin di Luanda, Angola di mana ia terbuka kepada wanita yang terseksa akibat letupan periuk api.

Kesemua peserta pertandingan ratu cantik itu memakai kaki palsu dengan menggayakan beberapa pasang gaun labuh dan serta pakaian mandi ketika rancangan itu ditayangkan.

Menteri Perhubungan Keluarga, Candida Celeste berkata, pertandingan itu akan membantu meningkatkan harga diri mangsa periuk api disebabkan perang.

Pemenang pertandingan itu menerima satu kaki palsu dan wang bernilai AS$2,500 (RM7,973) serta pelbagai peralatan kelengkapan rumah.

- AP

Seluar dalam RM389,083


SINGAPURA - Sehelai seluar dalam bernilai AS$122,000 (RM389,083) yang dihiasi berlian mencuri tumpuan umum pada pertunjukan fesyen pakaian dalam wanita di Singapura semalam.

Pakaian dalam mewah jenama Triumph bertatah 518 butir berlian 30 karat itu dihiasi pada bahagian depan celana bercorak flora serta 27 jumbai emas putih.

Seorang model dari Romania, Danielle Luminita diberikan pengiktirafan untuk memperagakan pakaian dalam tersebut bersama-sama dua model lelaki.

"Ia sangat selesa, tidak berat atau gatal atau sebagainya," katanya.

Jurucakap Triumph International, iaitu pengeluar pakaian dalam itu berkata, ia perlu dicuci sebelum dipamerkan.

- Reuters

Rabu, 2 April 2008

Berat manusia tergemuk di dunia berkurangan


LONDON – Manusia paling gemuk di dunia, Manuel Uribe berjaya mengurangkan 254 kilogram berat badannya dengan mengamalkan diet kalori rendah, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada satu masa, berat Uribe adalah 570 kilogram setelah dia makan makanan ringan secara berlebihan selama 14 tahun.

Bekas mekanik berumur 42 tahun itu pernah terlantar di atas katil selama enam tahun sambil memakan burger, piza dan minuman bergas.

Uribe belajar daripada kesilapannya setelah kulitnya melecet dan berkudis sehingga terpaksa dibalut dengan pita pelekat untuk mengelak dijangkiti kuman.

Dia kini bertekad untuk mencapai berat ideal 99.7 kilogram menerusi diet ketat yang hanya membolehkan dia makan sup ikan, sebiji limau, separuh epal dan 18 biji kacang tanah.

“Saya rasa hebat. Doktor memberitahu bahawa saya sangat sihat berbanding dulu.

“Ramai orang yang berpendapat bahawa saya boleh memakan seekor lembu tetapi kegemukan saya bukan disebabkan terlebih makan tetapi ia sebenarnya adalah masalah hormon,” kata Uribe.

– Agensi

Selasa, 1 April 2008

Ahli politik Belanda sunting filem anti-Islam takut kena saman


Geert Wilders - gambar oleh Reuters

THE HAGUE: Ahli politik Belanda, Geert Wilders yang berdepan ancaman saman dan bantahan keras ekoran kebiadapannya menghina Islam menerusi penghasilan filem pendek Fitna terpaksa bertindak menyunting dokumentari itu. Wilders memberitahu agensi berita Belanda ANP yang dia akan memadamkan karikatur Belanda menunjukkan seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, penghinaan terhadap junjungan mulia itu diteruskannya dengan menggantikan satu lagi karikatur lain yang merujuk kepada nabi.

Tindakannya itu bukan atas menyedari kontroversi yang dihadapinya tetapi disebabkan kartunis terbabit yang juga rakyat Belanda, Kurt Westergaard menuduhnya menggunakan imej berkenaan tanpa kebenaran.

“Saya tidak akan membiarkan lakaran saya diambil dan digunakan bagi tujuan berbeza,” kata Westergaard.

Wilders juga terpaksa memadamkan gambar seorang penyanyi rap Maghribi-Belanda yang dituduh sebagai pembunuh pengeluar filem tempatan Theo Van Gogh pada 2004.

Sementara itu, pemimpin Muslim Belanda, Mohamed Rabbae merancang menyaman Wilders atas tuduhan mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Islam di negara itu yang berjumlah 1 juta orang daripada keseluruhan 16 juta penduduk. Undang-undang Belanda sememangnya melarang mana-mana pihak membangkitkan soal bangsa, agama atau ideologi, jantina dan orientasi seksual.

Hukuman maksimum bagi jenayah itu adalah dua tahun penjara dan denda.

Dalam pada itu, kecaman dan bantahan dari hampir pelusuk dunia yang menyusuli penyiaran filem pendek itu menerusi internet, menyebabkan kerajaan Belanda terpaksa mengambil langkah mengawal kemarahan penduduk Muslim.

“Kami sedia maklum dengan rasa tidak senang masyarakat Muslim di seluruh dunia mengenai filem itui,” kata Menteri Luar, Maxime Verhagen kepada dua 27 negara Muslim, kelmarin.

- Agensi

Bekas ahli gusti dipenjara.


Juana Barraza - gambar oleh AP

MEXICO CITY: Seorang bekas ahli gusti wanita Mexico yang disifatkan antara pembunuh paling kejam negara itu dengan mencekik dan memukul sampai mati 11 warga tua di rumah mereka, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, kelmarin. Juana Barraza, 50, memberitahu polis, dia berbuat demikian sebagai membalas dendam ke atas wanita tua selepas ibunya sendiri bertindak menyerahkannya kepada seorang lelaki yang mencabul kehormatannya.

Dia membunuh sekurang-kurangnya 11 wanita tua di ibu negara Mexico itu sejak 2000 tetapi polis berkata secara keseluruhannya sudah membunuh sehingga 40 orang.

Bagi melaksanakan jenayahnya, wanita berambut merah itu yang ketika menjadi ahli gusti dikenali dengan nama 'The Silent Lady' akan bersiar-siar di jalan raya Mexico City, adakalanya mengenakan pakaian seragam jururawat dengan harapan menarik perhatian wanita tua dengan menawarkan tugasan seperti membasuh baju dan kerja rumah lain. Sebaik berada dalam rumah mereka, dia akan mencekik mangsa dengan menggunakan stokin wanita, tali langsir atau wayar telefon. Paling kejam, dia akan memukul mereka dengan barang yang mampu dicapainya dan mencuri barangan berharga.

Baranza dijatuhkan hukuman penjara 759 tahun kerana jenayahnya itu tetapi undang-undang Mexico hanya membenarkan hukuman itu selama 50 tahun.

Dia ditahan pada 2006 selepas saksi melihatnya meninggalkan sebuah rumah wanita tua berusia 80 tahun yang mati dicekiknya. Selain menjadi ahli gusti, dia juga pernah mencari nafkah sebagai penjual kerepek jagung ketika sesi perlawanan gusti.

Selepas ditahan, polis menemui patung 'Santa Muerte' yang melambangkan kematian dan menjadi patung popular di kalangan pencuri dan penyeludup.

- Reuters