Selasa, 1 April 2008

Ahli politik Belanda sunting filem anti-Islam takut kena saman


Geert Wilders - gambar oleh Reuters

THE HAGUE: Ahli politik Belanda, Geert Wilders yang berdepan ancaman saman dan bantahan keras ekoran kebiadapannya menghina Islam menerusi penghasilan filem pendek Fitna terpaksa bertindak menyunting dokumentari itu. Wilders memberitahu agensi berita Belanda ANP yang dia akan memadamkan karikatur Belanda menunjukkan seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, penghinaan terhadap junjungan mulia itu diteruskannya dengan menggantikan satu lagi karikatur lain yang merujuk kepada nabi.

Tindakannya itu bukan atas menyedari kontroversi yang dihadapinya tetapi disebabkan kartunis terbabit yang juga rakyat Belanda, Kurt Westergaard menuduhnya menggunakan imej berkenaan tanpa kebenaran.

“Saya tidak akan membiarkan lakaran saya diambil dan digunakan bagi tujuan berbeza,” kata Westergaard.

Wilders juga terpaksa memadamkan gambar seorang penyanyi rap Maghribi-Belanda yang dituduh sebagai pembunuh pengeluar filem tempatan Theo Van Gogh pada 2004.

Sementara itu, pemimpin Muslim Belanda, Mohamed Rabbae merancang menyaman Wilders atas tuduhan mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Islam di negara itu yang berjumlah 1 juta orang daripada keseluruhan 16 juta penduduk. Undang-undang Belanda sememangnya melarang mana-mana pihak membangkitkan soal bangsa, agama atau ideologi, jantina dan orientasi seksual.

Hukuman maksimum bagi jenayah itu adalah dua tahun penjara dan denda.

Dalam pada itu, kecaman dan bantahan dari hampir pelusuk dunia yang menyusuli penyiaran filem pendek itu menerusi internet, menyebabkan kerajaan Belanda terpaksa mengambil langkah mengawal kemarahan penduduk Muslim.

“Kami sedia maklum dengan rasa tidak senang masyarakat Muslim di seluruh dunia mengenai filem itui,” kata Menteri Luar, Maxime Verhagen kepada dua 27 negara Muslim, kelmarin.

- Agensi