
Juana Barraza - gambar oleh AP
MEXICO CITY: Seorang bekas ahli gusti wanita Mexico yang disifatkan antara pembunuh paling kejam negara itu dengan mencekik dan memukul sampai mati 11 warga tua di rumah mereka, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, kelmarin. Juana Barraza, 50, memberitahu polis, dia berbuat demikian sebagai membalas dendam ke atas wanita tua selepas ibunya sendiri bertindak menyerahkannya kepada seorang lelaki yang mencabul kehormatannya.
Dia membunuh sekurang-kurangnya 11 wanita tua di ibu negara Mexico itu sejak 2000 tetapi polis berkata secara keseluruhannya sudah membunuh sehingga 40 orang.
Bagi melaksanakan jenayahnya, wanita berambut merah itu yang ketika menjadi ahli gusti dikenali dengan nama 'The Silent Lady' akan bersiar-siar di jalan raya Mexico City, adakalanya mengenakan pakaian seragam jururawat dengan harapan menarik perhatian wanita tua dengan menawarkan tugasan seperti membasuh baju dan kerja rumah lain. Sebaik berada dalam rumah mereka, dia akan mencekik mangsa dengan menggunakan stokin wanita, tali langsir atau wayar telefon. Paling kejam, dia akan memukul mereka dengan barang yang mampu dicapainya dan mencuri barangan berharga.
Baranza dijatuhkan hukuman penjara 759 tahun kerana jenayahnya itu tetapi undang-undang Mexico hanya membenarkan hukuman itu selama 50 tahun.
Dia ditahan pada 2006 selepas saksi melihatnya meninggalkan sebuah rumah wanita tua berusia 80 tahun yang mati dicekiknya. Selain menjadi ahli gusti, dia juga pernah mencari nafkah sebagai penjual kerepek jagung ketika sesi perlawanan gusti.
Selepas ditahan, polis menemui patung 'Santa Muerte' yang melambangkan kematian dan menjadi patung popular di kalangan pencuri dan penyeludup.
- Reuters