Ahad, 6 April 2008

Lelaki terlepas hukuman kemuka alasan unik

EDINBURGH: Seorang lelaki Muslim, Mohammed Anwar, terlepas daripada sebarang hukuman kerana kesalahan memandu kereta terlalu laju selepas memberitahu sebuah mahkamah Scotland yang dia terpaksa berbuat demikian bagi memenuhi kewajipan kepada dua isterinya. Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, alasan diberikan Anwar yang juga pemilik restoran, dianggap antara hujah unik yang pernah dikemukakan di mahkamah itu bagi mengelak hukuman di atas kesalahannya trafik berkenaan.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan Bola Sepak Manchester United Alex Ferguson dilepaskan daripada kesalahan memandu laju atas alasan dia mahu bergegas ke bilik air.

Dalam kes terbaru, Anwar yang diwakil peguam belanya di mahkamah berkata, lesennya tidak boleh ditarik balik kerana ia menjadi antara ‘pasport’ utamanya berulang alik antara rumah isteri pertama dan keduanya yang tinggal di Motherwell dan Glasgow. Ini disebabkan dia mengamalkan poligami dengan bermalam secara bergilir-gilir di rumah kedua-dua isterinya pada hari yang berbeza.

Pada masa sama, dia juga terpaksa menguruskan restorannya di Falkirk, Stirlingshire.

Anwar mengakui kesalahannya dan Sherif John C Morris menerima rayuannya itu dan tidak merampas lesen memandunya. Bagaimanapun, dia tetap dikenakan denda £200 (RM1,400).

Sementara itu, jurucakap Majlis Kebajikan Keselamatan Jalan Raya Britain menyifatkan keputusan yang dikenakan ke atas Anwar sebagai mengejutkan.

- Agensi