
Admiralty House, Sydney
SYDNEY: Seorang pelancong menyelam dengan hanya memakai seluar dalam dari sebuah feri dan berenang ke tepi pantai ke arah rumah tepi pantai milik gabenor jeneral Australia serta sempat berenang 10 pusingan dalam kolam renang kediaman itu sebelum ditahan, kelmarin. Insiden itu menyebabkan kawalan keselamatan dikaji semula di kediaman berkenaan.
Lelaki terbabit memeranjatkan beberapa penumpang kerana menanggalkan baju kecuali seluar dalam dan kemudian menyelam dari feri itu, berenang kira-kira 600 meter dengan polis laut mengekori di belakangnya sebelum memanjat dinding Admiralty House yang bertentangan Rumah Opera, kata polis.
Kediaman Perdana Menteri, Kevin Rudd, juga bersebelahan rumah gabenor terbabit.
"Dia mengelak daripada polis laut dengan memasuki kawasan lapang kediaman itu. Dia kemudian menyelam ke dalam kolam renang sebelum diarahkan keluar oleh polis," kata jurucakap polis.
Rumah dua tingkat yang dibina pada 1845 adalah kediaman wakil Ratu England di Australia, gabenor jeneral dan mempunyai taman bunga yang luas, deretan tiang di beranda dan pemandangan Jambatan Harbour dan kawasan sekitarnya.
Kawasan lapang Admiralty House digunakan untuk meraikan tetamu Presiden Amerika George W Bush dan pemimpin lain ketika sidang kemuncak Asia-Pasifik tahun lalu dan rumah itu biasanya digunakan Ratu Elizabeth ketika berada di Australia.
- Reuters