Khamis, 27 Mac 2008

Punca Pussycat Dolls didenda


LONDON - Sebuah akhbar di Britain semalam mendedahkan punca kumpulan penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Pussycat Dolls didenda ketika mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Kumpulan itu sebelum ini terkenal kerana persembahan dan pakaian seksi. Ketika persembahan, payu dara kiri anggota kumpulan itu, Carmit Bachar terdedah kerana bajunya yang ketat.

Seorang lagi anggota kumpulan itu, Ashley Roberts memakai seluar pendek yang ketat dan ketika beraksi dengan menundukkan badannya, sebahagian kemaluannya terdedah di pentas. Gambar-gambar Ashley dan Carmit itu juga disiarkan oleh akhbar berkenaan.

Promoter konsert itu didenda RM10,000 berikutan aksi kedua-dua anggota terbabit yang berkelakuan tidak senonoh.

Denda tersebut dikenakan selepas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyatakan konsert kumpulan berkenaan menampilkan penghibur yang berpakaian terlalu mendedahkan anggota badan.

Kumpulan Pussycat Dolls itu ditubuhkan pada 1995 dan ia pernah menghasilkan album berjudul PCD yang dijual tujuh juta unit di seluruh dunia.

- Agensi